Jarak antara rumah aku di Ulu Kumbang tu dengan Sg. Merapoh ni lebih kurang 1-2 kilometer. Apabila sampai ke rumah, banyak lagi kerja kena buat. Emak aku tentulah kena ke dapur untuk menyiapkan juadah makan malam. Aku dengan ayah aku pula memberi ayam itik makan dan bersiap untuk sembahyang Maghrib atau adakalanya ke Masjid.
Masa tu badan masing-masing dah penat manakala menda-menda ralik di rumah ni tidak ada seperti kita sekarang. Jika adapun radio menggunakan bateri kering. Jadi biasanya cepatlah kami tidur. Selepas Isyak biasanya atau lebih-lebih pukul 10.30, kami tidur dah. Aku masa tu tidur dengan mak ayah lagi. Memang bergelap betul masa tidur ni. Mana ada elektrik lagi masa tu. Kalau ada cahaya pun daripada cahaya bulan yang memancar dari celah-celah dinding atau atas alang rumah jika bulan timbul. Takutlah aku nak tidur sorang-sorang. Bunyi pula macam-macam seperti bunyi kridek, burung hantu dan macam-macamlah. Hai biasalah kat kampung tradiasional.
Sedap sangat tidur masa tu. Pukul 8.00 malam tu dah terasa sejuk. Apatah lagi bila pukul 12.00 malam ke atas. Kami semua mesti guna selimut. Tak tahan sejuk weh! Selain tu gangguan nyamuk memang tidak ada walaupun rumah kami dikelilingi semak dan belukar. Kelambu memang siap tersedia di setiap bilik atau katil. Bila masa tidur, tarik je kelambu yang kami lipat ke atas. Besoknya, lepas bangun tidur, kami lipat balik kelambu tu ke atas semula. Aku tidur tak berketik sampai ke pagi. Maklumlah penat, tambahan pula sekeliling gelap gelita dan sejuk.
Walaubagaimanapun bila masa meriau ni, sebelum tidur mak ayah aku kena bersihkan dan keringkan bijih emas yang dikumpul semasa meriau waktu siang tadi. Mak ayah aku buka baliklah lipatan Daun Puyuh yang berisi bijih emas tu. Kemudian bijih emas tu akan dibubuh di atas kertas timah yang diambil dari dalam kotak rokok. Tujuannya ialah untuk dilayar di atas api pelita supaya bijih emas tu betul-betul kering dan boleh disimpan ke dalam botol. Masa melayar tu, mak ayah aku akan tiup sikit-sikit supaya tahi emas (pasir hitam) yang masih ada sikit-sikit bersama bijih emas tu melayang keluar. Bijih emas yang dah betul-betul kering akan dimasukkan ke dalam botol kecil seperti botol minyak atar.
Begitulah aktiviti yang mak ayah aku buat setiap hari apabila mereka meriau ni. Biasanya setelah seminggu bijih emas tu dikumpul, mak ayah aku akan bawa bijih emas tu ke Gua Musang untuk dijual. Seminggu meriau tu dapatlah dalam 3-4 ratus. Kira lumayan jugalah pada masa tu kan.
Pekan Gua Musang
Gua Musang ni merupakan pekan terpentinglah bagi penduduk Merapoh. Walaupun Merapoh terletak di Daerah Kuala Lipis, Pahang dan bandar Kuala Lipis merupakan pusat pentadbirannya tetapi oleh kerana untuk ke sana adalah lebih jauh, maka penduduk Merapoh lebih gemar ke Pekan Gua Musang, Kelantan untuk membeli barang keperluan dan sebagainya.
Masa dulu untuk pergi ke Pekan Gua Musang atau ke Pekan Kuala Lipis, kami menggunakan kereta api sahaja. Jalan raya tidak wujud lagi masa tu. Dengan menggunakan pengangkutan ini, masa yang diambil untuk sampai ke Gua Musang ialah kira-kira setengah jam. Manakala untuk ke Kuala Lipis pula hampir 3 jam. Hingga sekarangpun, Gua Musang masih lagi menjadi pekan terpenting bagi penduduk Merapoh.
Ukuran berat bagi bijih emas masa tu yang biasa aku dengar ialah 'mayam'. Tapi aku tak taulah semayam tu sama dengan berapa. Di kedai, tokey emas akan membersihkan sekali lagi bijih emas tu menggunakan magnet sebelum menimbangnya. Magnet tu akan didekatkan kepada bijih emas supaya tahi emas yang masih ada akan melekat kat magnet tu.
Itulah antara pendapatan mak ayah aku untuk menyara kami semua. Penat lelah mereka membesarkan kami tidak ternilai harganya. Bila ku singkapkan kisah-kisah lama ni, kesedaran ku akan pengorbanan mak ayah semakin bercambah. Betapa bersungguh-sungguhnya mak ayahku berusaha untuk melihat anak-anak yang mereka sayangi berjaya.
Sanggupkah kita mengabaikan mereka yang kini semakin uzur? Sedarlah bahawa apa yang kita kecapi kini adalah juga hasil daripada pengorbanan dan doa ikhlas mereka. Sebagaimana kita menyayangi anak-anak kita, begitulah juga mereka menyayangi kita. Kepada kitalah mereka mencurah harapan setinggi gunung. Ingat! "Syurga di bawah tapak kaki ibu".
koi amik
BalasPadamambiklah..
BalasPadamsalam weh...
BalasPadamambik mende?
kisoh yg menarik weh..boleh buat buku ni..hehe best
Salam kenel juga drp kawas...
BalasPadamDia nok ambik criter koi.
BalasPadamNanti koi link blog demeh dalam blog koi boleh?