Mak mahu ke Pulau Pinang

Kesian sangat pada mak aku ni. Semakin hari semakin uzur. Dulu masa di rumah aku, boleh juga dia pergi ke ruang tamu menonton televisyen jika bosan dengan berjalan perlahan-lahan berpapah kat dinding tetapi sekarang ni dia hanya terbaring di katil di biliknya sahaja. Kalau bangunpun untuk buang air atau makan. Makanannya kami kena hantar kat bilik kerana dia tak larat nak duduk lama-lama di kerusi.

Penyakit kencing manis dan jantungnya semakin teruk. Dulu ubatnya pil sahaja tetapi sekarang doktor kata mak aku perlu disuntik insulin. Masa di rumah aku ni, aku tolong suntik insulinnya dua kali sehari. sekali pagi dan sekali petang. Memang aku rasa ngeri untuk menyuntiknya tetapi apa nak buat, dah terpaksa.

Baru-baru ni mak aku dimasukkan ke wad semula setelah dibawa ke hospital oleh abang cik aku. Semasa aku balik ke Merapoh pada Hari Raya Haji baru-baru ni, aku memang dah perasan yang mak aku nampak macam tak berdaya sahaja. Aku ajak dia ke rumahku di Temerloh tetapi dia enggan dengan alasan kerja-kerja membuat bilik dan mengubahsuai bahagian depan rumahnya di Merapoh ni belum siap sepenuhnya. Dia kena tunggu sehingga selesai semua urusan itu barulah boleh ambilnya. Walaupun keberatan meninggalkannya dalam keadaan begitu tetapi aku tak bolehlah memaksanya.

Beberapa hari kemudian aku bertambah bimbang selepas menelefonnya di kampung. Suaranya memang macam tak sihat sangat lalu aku sms semua adik beradik aku yang jauh untuk memaklumkan keadaan mak aku itu. Abang cik aku di Keratong dengan penuh perihatin terus balik ke Merapoh untuk melihat mak aku. Kemudianm dia membawa mak aku ke Hospital Temerloh lalu mak dimasukkan ke wad. Terima kasihlah abang cik atas keperihatinan itu. Semoga menjadi contoh dan teladan kepada kita semua.

Setelah hampir dua minggu di wad, barulah mak aku dibenarkan keluar. Masa di wad kami semua bergilir-gilir menemaninya di wad itu. Kakde, Kakjang, Kakdak, dan abang cik tidur di wad lebih kurang tiga malam seorang. Bila tiba giliran aku, Alhamdulilah mak dibenarkan dibawa pulang dan aku membawa mak ke rumah aku di Taman Temerloh Jaya.

Aku memang dah lama merancang untuk pergi berjalan atau melancong ke Pulau Pangkor dalam cuti sekolah hujung tahun ini. Aku tertarik mendengar aktiviti snorkeling seperti yang diceritakan oleh seorang rakanku yang pernah pergi ke sana. Sebelum ke situ aku merancang untuk menziarahi abang bong aku yang sudah lama sakit di Penaga, Pulau Pinang. Tempat jauh ni susahlah nak datang melawat kerana bukan sahaja jaraknya yang jauh tetapi kita juga kena bersedia dengan masa dan wang ringgit. Memang sudah lama aku tak melawat abang bong aku yang sakit tu tetapi apakan daya, keadaan tidak mengizinkan aku ke sana selalu.

Aku ceritakan hasrat aku itu kepada mak aku. Aku juga beritahunya tidak dapat membawanya sekali dengan alasan dia masih terlalu lemah untuk ke sana. Aku ingin menghantar mak aku ke rumah abang cu aku di Bagau Parit sementara aku berjalan ke sana. Sebelum itu aku ada bercerita kepada abang-abang dan kakak-kakak aku tentang perkara itu dan mereka semua melarang aku membawa mak aku berjalan sekali memandangkan dia masih terlalu lemah.

Aku lihat mak aku diam saja setiap kali aku beritahu akan menghantarnya nanti ke rumah abang cu di Bagau Parit. Sehari sebelum aku bertolak ke Pulau Pinang, aku ajaklah mak aku ke rumah abang cu tetapi rupanya mak aku ingin mengikutku walaupun keadaannya seperti itu. Puas aku memujuknya supaya tinggal sahaja di rumah abang cu tetapi dia tetap bertegas untuk mengikut kami ke Pulau Pinang yang memakan masa 6 hingga 7 jam perjalanan dari Temerloh. Aku risau nanti dia tidak larat duduk di dalam kereta selama itu,  apatah lagi dia baru sahaja beberapa hari keluar dari wad. Bagaimanapun akhirnya aku dengan rela hati membawa juga mak aku memandangkan kesungguhannya untuk mengikutku ke sana walaupun mungkin menerima risiko mak jatuh sakit dek kerana terlalu keletihan berjalan. Aku cukup tersentuh apabila dia berkata "Nak risau apa, kan awok ada!". Aku bertawakkal kepada Allah, semoga mak aku selamat pergi dan pulang.

Kenapa mak aku beria-ia sangat nak mengikutku ke Pulau Pinang?

Sebenarnya mak aku tu terlalu rindukan abang bong. Abang bong memang dah tak berdaya untuk datang menjengoknya. Khabarnya penyakit abang bong semakin teruk sekarang. Entah kenapa bahagian belakang dan lehernya membengkak tanpa diketahui sebabnya.

Setibanya kami di rumah abang bong kira-kira pukul 4.30 petang. Di muka pintu rumahnya, aku terus nampak abang bong tersenyum sambil memandangku. Aku memberi salam dan terus menuju kepadanya yang tersandar di kerusi malas untuk bersalaman. Aku melihat wajahnya, dia lebih kurus dan cengkung daripada masa aku datang ke rumahnya hampir setahun lalu. Aku melihat dan merasa tempat bengkakan di leher dan di belakangnya. Bengkak itu agak besar dan rasanya keras bagai ada tulang di dalamnya. Katanya tempat itu memang sentiasa terasa sakit bagai ada duri yang menusuk. Ada masa rasa sakitnya terlalu kuat dan ada masanya agak reda. Masa redalah dia dapat terlelap sesekejab di kerusi malas itu. Cubalah bayang jika kita berada di tempatnya sekarang yang sentiasa menanggung sakit dan tidak dapat tidur secukupnya sudah lebih setengah tahun. Adakah kita terus bersabar dan mampu tersenyum sepertinya...

Dia memberitahuku di kerusi inilah dia duduk setiap hari termasuklah pada waktu malam. Dia tidak dapat tidur di katil kerana bengkak di belakang dan lehernya itu akan lebih terasa sakitnya apabila berbaring di atas katil. Di kerusi inipun bukanlah dapat tidur lena sangat tetapi dia berasa lebih selesa dan dapatlah terlelap juga sekali sekala...

Kucing



Dah lama aku minat memelihara kucing ni tetapi tak jadi sebab beberapa masalah. Pertama aku ni duduk kat kawasan taman, susahlah kucing tu kalau nak cari tempat untuk berak. Kalau di kampung, kucing boleh cari sendiri tempat di luar rumah kalau nak berak. Kawasan taman ni tanahnya terlalu terhad sebab semuanya dah bersimen atau bertar.

Kedua kalau nak pelihara juga kucing di kawasan taman ni boleh tapi terpaksa banyaklah sikit belanjanya. Bekas najis dan pasir kucing mesti kena beli. Itu dah berapa puluh ringgit sebulan. Nak ajar kucing berak kat tandas pula rasanya susah, apatah lagi kedua-dua tandas kat rumah aku ni tandas duduk. Boleh ke ajar kucing tu nanti berak kat tandas duduk tu. Selain tu rasanya aku kena beli makanan kucing sebab ramai orang kata kalau kita bagi makan nasi, bulu kucing tu akan gugur. Lecehlah kalau macam tu.

Sebenarnya dulu aku pernah sekali pelihara kucing. Aku dah lupa macam mana aku dapat kucing tu tapi tak silap aku, anak kucing tu aku jumpa kat depan rumah aku, tempat parking kereta. Mungkin anak kucing tu ditinggalkan ibunya jadi aku kesianlah takut dia kebulur nanti. Anak aku pun memang suruh sangat aku jaga kucing tu. Aku jaga kucing tu dalam sebulan dua tetapi lepas tu terpaksa aku bagi kucing tu kat abang cu aku. Ini kerana kucing tu asyik berak di tanah kat laman rumah jiran aku je. Rumah akupun ada juga sikit kawasan tanah tetapi kucing tu lebih minat berak kat laman rumah jiran aku. Aku naik malulah sebab setiap kali aku balik kerja, aku tengok jiran aku tu sedang membuang najis kucing aku kat dalam tanah laman rumahnya. Akhirnya kucing tu aku serahkan kepada abang cu aku. Anak kucing tu warna putih dan kami panggilnya Comel.

Baru-baru ni dalam sebulan dua, ada lagi seekor anak kucing ditinggalkan oleh ibunya kat depan rumah aku. Anak kucing ni halus sangat lagi. Berjalanpun tak berapa betul, terhengkang-hengkang. Pada mulanya aku letak dia dalam sebuah kotak dan biarkan kat luar rumah. Aku harap ibunya akan datang ambil anaknya nanti. Beberapa hari berlalu tetapi ibunya tak datang juga. Akhirnya aku ambil keputusan untuk menjaga anak kucing ni sebab rasa kesian sangat.

Pada mulanya aku bagi dia susu biasa je tetapi masalahnya anak kucing ni cirit pula. Nampaknya terpaksalah aku keluar belanja untuk anak kucing ni. Habis duit aku dekat rm50 membeli susu khas untuk anak kucing serta puting susunya sekali. Ha ha ha, semenjak itu jadilah aku bapa angkat anak kucing ni. Kemudian aku beli pula sangkar kucing, pasir kucing, makanan kucing dan lain-lain lagi. Ada sekali tu dia monyok je, terpaksalah bawa kucing ni ke klinik. Kalau balik kampung pun aku bawa anak kucing ni balik sekali. Selalu juga aku terpaksa tumpangkan anak kucing ni di rumah abang cu kalau kami berjalan tak lama. Terima kasihlah abang cu sekeluarga. Anak aku namakan anak kucing jantan ni Si Citam kerana warnanya bertompok tiga iaitu warna hitam, putih dan kelabu.

Memang susah jaga kucing ni tetapi sebenarnya ia menyeronokkan. Aku rasa aku nak terus jaga kucing ni, InsyaAllah...

Satu perkara yang aku terfikir sangat-sangat apabila aku menjaga kucing ni ialah kehebatan Allah Yang Maha Agung. Aku pelik melihat kejinakkan kucing ni seperti memang diciptakan Allah sebagai binatang manjaan manusia. Kucing ni memang ada tindak balas secara langsung dengan manusia seperti boleh bergurau, bermain, dan sebagainya yang cukup menenangkan kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Pencipta yang menciptakan pelbagai-bagai makhluk dengan pelbagai-bagai peranan. MasyAllah....  

Ini link video aksi Si Citam, anak kucing aku tu...

Tua

Apabila aku teringatkan akan hari tua, kecut rasanya hatiku. Aku kerap terfikirkan hari itu lebih-lebih lagi melihatkan ibuku yang semakin uzur dari hari ke hari. Badannya semakin lemah dan tak berdaya, kesihatannya sering terganggu serta kemampuan diri untuk berdikari semakin terhad. Deria pendengaran pula semakin lemah, manakala lutut sentiasa menjadi masalah kepadanya untuk bergerak.  


Nak atau tidak banyak urusan termasuklah hal-hal peribadinya terpaksa dibantu oleh orang lain terutamanya anak-anak. Jika hendak ke bandar contohnya, anak-anak atau cucu-cucu mesti sentiasa ada berhampirannya kerana dia selalu perlu dipimpin atau dipapah. Bagiku, selagi dia ada keinginan untuk bersiar-siar dan sebagainya, selagi itulah aku harus melayannya dengan penuh tanggungjawab seikhlas mungkin mengikut kemampuanku. Itulah yang aku sentiasa harapkan dan berdoa agar tidak timbul rasa malas atau payah untuk melayannya dengan keadaannya itu. Sesungguhnya itu semua adalah dugaan besar kepadanya dan semua anak-anaknya.



Apakah aku nanti akan menempuh keadaan itu. Mungkin jika aku panjang umur. Siapa tahu umurnya berapa?

Selain kematian rasanya itulah keadaan yang juga amat digeruni oleh semua orang iaitu 'hari tua'. Aku rasa ibuku lebih beruntung daripada aku kerana dia mempunyai anak yang ramai dan masing-masing mengambil berat tentangnya. Nasibku nanti tak tahulah bagaimana jika sampai ke saat itu. Semuanya dugaan Allah dan aku berharap akan sentiasa tabah menghadapi saat sedemikian.

Walaupun dikelilingi anak-anak yang mengambil berat, padaku itu sebenarnya masih tidak memadai untuk melegakan beban yang ditanggung oleh seorang tua.  Mereka perlu betul-betul tabah untuk menghadapi ujian yang berat itu. Mungkin pada masa itu mereka sering merasa kesunyian dan dipinggirkan. Apatah lagi jika anak-anak kurang mengambil berat tentang perasaan mereka.

Mungkin ramai anak-anak kurang mengambil berat soal perasaan mereka ini dan melayan ibu bapa seperti pada waktu mereka sihat dahulu. Mereka sering sendirian dan kurang berbual untuk meluahkan masalah atau perasaan kerana anak-anak dan cucu-cucu bosan dengan cara perbualan mereka. Apatah lagi jika perbualan itu diganggu oleh kelemahan pendengaran mereka hingga terpaksa bercakap dengan suara yang tinggi dan diulang-ulangi.    

Zaman muda dahulu mereka boleh ke sana ke sini untuk menemuai dan berbual rakan-rakan tanpa halangan tetapi sekarang mereka perlukan anak-anak untuk melayan luahan mereka. Jangan sampai ibu bapa kita yang sudah tua berasa berat untuk meluahkan masalah mereka kerana sikap kita yang sering mengelak daripada berbual denga mereka.

Bagaimanapun sebagai peringatan semua, elakkan daripada berbual tentang keburukan orang lain. Alihkan kepada perkara-perkara lain jika sekira mereka berbual tentang salah anak itu, salah anak ini atau jika perlu, tegur atau nasihatkan mereka dengan lembut dan penuh hormat. InsyaAllah semuanya akan diberkati Allah.

Polis, Saman dan Along

Siapa suka kena saman? Semua orang tak suka kena samankan? Tapi kenapa ramai sangat yang kena saman jalan raya ni? Tak lain tak bukan kerana tidak mematuhi peraturan jalan rayalah. Tak kiralah peraturan tu bagus atau tidak, peraturan tetap peraturan.

Apabila kena saman, ramai orang yang tak puas hati. Apatah lagi jika kena saman ekor. Mereka kata tak patut saman ekor ni. Cara ni zalim dan tak bertimbang rasa.

Akupun sependapat begitu. Saman ekor ni memang tidak adil dan satu peraturan yang zalim, bukan bertujuan untuk mendidik rakyat mematuhi  peraturan jalan raya. Ada beberapa sebab aku beranggapan saman ekor tu begitu.

Pertama saman ekor ni akan terus dikenakan tanpa diberi amaran. Jika benar tujuannya untuk mendidik rakyat, kenapa kesalahan pertama di laluan itu tidak diberi surat ingatan atau amaran sahaja dahulu. Sepatutnya, jika melakukan kesalahan kedua, di tempat yang sama barulah dikenakan saman. Jika lakukan lagi untuk kali yang seterusnya, nilai saman boleh digandakan atau dinaikkan dengan alasan orang itu degil atau sengaja melanggar peraturan. Aku rasa cara ni lebih berhemah dan berperikemanusiaan.

Kedua, apa yang aku tahu saman tak boleh dibatalkan. Jika itu benar, aku rasa cara ini satu tindakan yang tidak perihatin kepada masalah orang ramai.Ini kerana kadang-kadang mereka memandu melebihi had laju kerana sesuatu yang memaksa seperti hal-hal kecemasan. Aku kira pihak berkuasa perlu mendengar dahulu rayuan mereka untuk dipertimbangkan.  Jika ada alasan serta bukti-bukti yang kukuh, apalah salahnya saman itu dibatalkan atau dikurangkan.

Aku dahulu pernah disaman ditempat yang sama dalam masa tidak sampaipun setengah jam. Saman pertama masa perjalanan mengambil anakku di sekolah. Manakala saman kedua pula semasa aku dalam perjalanan balik semula ke rumah. Kenapa satu daripada saman ini tidak boleh dibatalkan sahaja.

Memang aku memandu melebihi had laju 60/kmj tetapi jalan selepas jambatan Temerloh ke Mentakab tu lurus. Akupun bukan bawa laju sangat, dalam 70 ke 80 kmj sahaja, sesuailah dengan keadaan jalan raya yang begitu. Aku rasa dalam keadaan begini sepatutnya aku diberi peluang untuk membuat rayuan. Sekurang-kurangnya satu daripada saman itu dibatalkan sahaja. Barulah orang ramai tidak rasa dizalimi dengan peraturan jalan raya.

Ketiga, kenapa tindakan kepada orang yang tidak membayar saman tidak dilakukan secara berperingakat-peringkat. Aku rasa tiba-tiba sahaja semua orang kena bayar saman sebelum tarikh tertentu sedangkan ada orang lama dan ada orang yang baru kena saman. Sepatutnya tindakkan yang lebih tegas untuk orang yang dah lama kena saman. Selain itu orang ramai mesti dibenarkan membayar saman secara ansuran kerana ramai di antara mereka yang nilai samannya mencecah beribu-ribu ringgit. Cara ini sudah tentu lebih bertimbang rasa.

Bukan salah mereka tetapi dahulu pihak berkuasa seperti tidak mengambil tindakan setegas ini. Pada masa itu ramai yang menganggap jika tidak membayar samanpun tidak akan diambil apa-apa tindakan. Janganlah terburu-buru dalam bertegas sehingga menggunakan pendekatan ala-ala along menuntut hutang.

Bagiku penguatkuasaan peraturan jalan raya amat penting. Saman mesti dikenakan kepada pesalah jalan raya tetapi mestilah caranya lebih bertimbang rasa dan perihatin akan masalah orang ramai.

Budak dahulu dan sekarang

Aku sambung balik cerita aku tentang "Tanah Getah Pinggir"  Merapoh.

Biasanya aku akan berada di tanah getah pinggir ni sehingga pukul 1.00 ke 2.00 petang. Masa tu bukan seperti penoreh sekarang yang akan membiarkan sahaja susu getah beku dalam mangkuk getah untuk dijadikan getah skrap. Dahulu kebanyakkan penoreh getah akan memungut susu getah kira-kira sejam selepas selesai mereka menoreh. Mereka menggunakan tin minyak gas atau minyak tanah 12 gelen sebagai bekas untuk memungut susu getah.

Masa menolong memungut susu getah ni, aku membawa bekas yang kecil sahaja iaitu tin cat 5 liter.
Satu demi satu mangkuk susu getah aku kutip dari pangkal pokok-pokok getah lalu susu di dalamnya aku tuangkan ke dalam bekas tin cat yang aku bawa. Apabila tin cat itu telah penuh dengan susu getah, aku akan ke pondok mesin getah untuk menuang susu getah dalam tin itu ke dalam bekas atau tin yang lebih besar pula. Banyak kali juga aku berulang-alik ke pondok itu sebelum kerja mengumpul susu getah ini selesai.



Mula-mula ringan saja tin tu tetapi apabila susu getah di dalam tin tu semakin banyak, kehek atau lengohlah lengan aku membawanya. Apatah lagi makin lama, semakin jauh pula aku terpaksa berjalan untuk mengumpul susu getah itu kerana awal tadi aku punggut susu getah yang hampir dengan pondok mesin getah.

Masa mengumpul susu getah tu, kadang-kadang aku sengaja berlumba supaya boleh mengumpul sebanyak mungkin susu getah. Aku kiralah berapa baris pokok getah yang aku berjaya selesaikan. Aku berjalan dengan pantas atau berlari anak untuk tujuan itu. Bagaimanapun pada masa tu akar getah yang timbul dipermukaan tanah dengan keadaan tanah lembab dan licin dapatku redah dengan mudah. Jarang sangatlah aku tergelincir atau terjatuh masa memungut susu getah tu.

Kecekapan inilah yang menyebabkan aku dapat mengumpul susu getah setara dengan mak ayah aku. Malahan ada kalanya aku lebih banyak lagi daripada mereka walaupun pada masa tu mungkin aku baru dalam darjah 5 atau 6.

Begitu jugalah dengan budak-budak lain pada masa itu. Kami dapat meredah semak dan belukar, paya, sungai, meniti kayu, memanjat pokok dan sebagainya dengan cekap. Tidak hairanlah mak ayah pada masa itu tidak begitu risau melepaskan anak-anak mereka bermain ke mana sahaja kerana mereka tahu akan kemampuan anak mereka.

Ada masanya kebun getah ini akan disewakan kepada orang lain. Aku tak boleh lupa peristiwa aku bermain panjat-panjat pokok getah dengan Zul, anak lelaki kepada "Deraman Balak" iaitu salah seorang penoreh yang pernah menoreh di tanah getah pinggir mak ayah aku itu. Masa tu mak ayah aku hanya menoreh separuh kebun getah ini manakala separuh lagi ditoreh oleh "Deraman Balak" dan isterinya.

Zul ni memang cekap memanjat pokok. Dia boleh berjangkit dari satu dahan ke satu dahan pokok dengan begitu yakin sekali. Aku kagum melihatnya bergayut, meniti dahan dan melompat dari satu dahan ke dahan lain dengan begitu berani dan cekap. Aku akui, aku memang tak dapatlah menandingi kecekapannya itu. Dia ni tak ubah seperti beruk, fikirku masa tu.

Dah lama "Deraman balak" ni meninggal dunia iaitu samasa aku sekolah menengah lagi. Semoga rohnya dicucuri Rahmat Allah.

Apabila diingatkan kembali masa keciku, terasa pelik pula aku apabila membandingkan dengan anak aku. Usia sebegitu aku dah boleh melakukan kerja seperti itu. Berbeza dengan anak aku, sesekali dia aku bawa ke kebun, nampak sangat kekekokannya dengan suasana di situ.

Aku tengok masa dia berjalan di kebunpun bermasalah sangat. Terlalu berhati-hati takut digigit semut dan sebagainya. Aku dulu sedang dia ni, mana semak yang aku tak masuk. Mana aku fikir sangat tentang gigitan nyamuk atau semut.

Setakat gigitan semut atau kerengga ni langsung tak menjadikan aku takut atau serik untuk masuk ke hutan atau meredah semak-samun. Malahan lebih daripada itu, aku pernah digigit tebuan tanah dan lebah tetapi aku masih suka mengikut mak ayah aku pergi ke kebun atau ke hutan.

Apabila dapat mengikut mak ayah ke kebun, ke paya atau mencari ikan, aku berasa teruja sekali. Di situ aku cuba melakukan kerja seperti mak ayah aku lakukan. Kalau mereka menoreh, aku akan cuba menoreh. Kalau ke sungai, aku akan cuba menangguk ikan dan sebagainya.

Itulah budak dulu-dulu dibanding dengan budak sekarang. Zaman dah berubah. Anak aku orang bandar, aku pula orang kampung. Mana nak samakan. Satu lagi aku tengok anak aku ni memang sensitif betul dengan gigitan serangga. Apabila terkena gigitan serangga, kulit anak aku ni terus merah membengkak selebar duit syiling 50 sen. Emmm... kalau macam nilah, dia kena belajar rajin-rajinlah. Kena cari kerja di pejabat dan sebagainya yang tak ada nyamuk, semut atau  kerengga.

Gayanya tak dapat lagi aku nak habiskan cerita ni. Aku sambung balik nanti...

Tanah Getah Pinggir

Aku rasa tak lengkap kalau tak cerita pasal Tanah Getah Pinggir Merapoh yang banyak meninggalkan kenangan kepadaku. Mungkin masa aku belum lahir lagi, tanah getah pinggir ni dah dibuka. Tanah getah pinggir ni memang banyak jasanya kepada mak ayah atau keluargaku. Tanah inilah yang banyak membantu mak ayah aku menyara anak-anak.

Ini Tanah Getah Pinggir Mak Ayah Aku

Masa aku sekolah rendah, aku selalu mengikut mak ayah ke tanah pinggir. Masa tu mak ayah aku dah   berpindah ke Perumahan Merapoh dari Ulu Kumbang. Mak ayah aku akan menoreh di tanah pinggir ini jika mereka tak buat kerja lain. Jika mereka ada projek lain seperti buat padi atau buat cerang, tanah getah ni akan ditoreh oleh orang lain dan hasilnya nanti dibahagikan separuh-separuh.

Jika mak ayah aku menoreh di tanah pinggir, seawal pagi lagi ketika cahaya masih samar-samar, aku dah bertolak mengikut mereka ke situ. Sebelum itu, aku bersarapan dahulu di rumah. Biasanya aku makan nasi putih dengan berlaukkan sambal dan ikan masin.

Aku ke situ dengan berbasikal atau berjalan kaki sahaja. Setelah hampir sejam berjalan kaki, sebelum pukul 8.00 pagi aku sudah sampai ke situ. Masa tu kabus masih tebal manakala daun-daun pokok masih dibasahi embun. Masih sejuk sangat masa tu weh! Kalaulah tak ke mana-mana, nampaknya masa begitulah tengah sedap tidur...

Setibanya di bangsal mesin getah di tanah pinggir itu, seperti juga dengan mak dan ayah, aku akan menyalin pakaianku dengan baju basan (basahan) yang memang disimpan di bangsal itu. Malah stokin dan kasut getah khas untuk menoreh juga disimpan di situ. Stokin dan kaki seluar akan disembur dengan racun serangga seperti Ridsect atau Baygon bagi mengelakkan pacat yang memang banyak di kebun getah itu daripada memanjat pakaianku.

Pacat tidak suka bau racun serangga ini. Aku juga sering terjumpa pacat yang dah mati di kaki seluar atau stokin. Inilah pentingnya racun ini, untuk menghalang pacat daripada cuba memanjat ke badanku. Terimalah akibatnya pacat jika cuba menghisap darahku.

Luas juga tanah getah pinggir mak ayah aku tu. Adalah dalam 7 ke 8 ekar. Biasanya ayah aku menoreh separuh manakala separuh lagi ditoreh oleh emakku. Aku pula terpulanglah, sama ada nak ikut mak atau ayah. Tugasku hanya menolong membetulkan mangkuk susu getah di pokok-pokok getah dan memastikan susu getah mengalir betul ke dalamnya. Awal-awal tu rajin jugalah tetapi biasanya tidak lama kemudian, mulalah aku bermain.

Di dalam kebun getah ni ada sebatang anak sungai. Pada musim kemarau biasanya anak sungai ni kering. Air dalam anak sungai ini hanya ada pada masa hujan atau musim tengkujuh. Airnya sangat jernih dan banyak anak ikan bermain di dalamnya. Aku selalu bermain di tepi anak sungai ni apabila dah bosan menolong membetulkan mangkuk-mangkuk susu getah.

Ini Gua Bekong sebelah kebun getah pinggir tu. Dahulu, masa aku mengikut mak ayah aku menoreh, selalu aku dengar ayam hutan berkokok kat situ.

Kebun Getah Tanah Pinggir mak ayah aku ni terletak di tanah hujung sekali bersebelahan dengan Gua Bekong. Selepas tanah ini ialah hutan tebal dan di situlah terdapat sebuah gua yang tinggi di panggil Gua Bekong.

Dahulu tepi Gua Bekong ni hutan tebal tetapi sekarang dah jadi kebun durian mak ayah aku.

Masa tu, selalu juga aku mengikut mak ayah aku ke dalam hutan tebal itu hingga ke kaki gua untuk mencari buluh atau kayu. Dari tepi gua itu aku suka melauh untuk mendengar gemaan suaraku apabila aku melauh ke arah gua tersebut. Sekarang kawasan hutan tu dah menjadi dusun durian, hasil  keringat mak ayah aku "membuka tanah". Kliklah kat pautan tu kalau nak tahu macam mana mak ayah aku "buka tanah".

OK. InsyaAllah aku sambung lagi cerita Tanah Getah Pinggir ni.

Klik sini "Budak dahulu dan sekarang"  untuk sambungan cerita ini.

Orang Jual Ubat Seksi

Aku masih ingat lagi suasana pekan sari di 'slow' keretapi Merapoh di Merapoh Baru. Sekarang ni mungkin ramai terutama budak-budak baru di Merapoh ni tak tahu yang sebenarnya dulu-dulu Merapoh ni terpecah kepada dua. Satu Merapoh Lama yang terletak di kawasan Stesen Keretapi Merapoh sekarang. Satu lagi Merapoh Baru yang terletak di kawasan Masjid Lama Merapoh. Sebelum sampai ke masjid lama tu dulu ada deretan kedai dan juga sebuah pondok tempat orang menunggu keretapi yang dipanggil 'slow'.

Lokasi Pekan Sari Merapoh dulu-dulu.

Di kawasan deretan kedai itulah Pekan Sari Merapoh diadakan pada setiap hari Jumaat sehinggalah kemudiannya berpindah ke Merapoh Lama setelah beberapa tahun Perumahan Merapoh di buka sekitar Tahun 1980.

Meriah sikitlah di slow keretapi tu apabila tiba hari pekan sari. Walaupun orang yang datang berniaga di situ kebanyakkannya orang sekitar Merapoh sahaja tetapi kadang-kadang ada juga orang luar dari Merapoh yang datang berniaga. Antara peniaga yang datang ke situ ialah peniaga ubat.

Aku memang dari kecil lagi suka menengok orang jual ubat ni. Mereka bukan sahaja pandai bercakap tetapi mereka juga selalu membuat lawak dan silap mata menyebabkan aku terus ralik berkerumun sama di situ.

Di pekan sari ini aku pernah melihat orang jual ubat menjadikan air kotor atau air berwarna biru bertukar bersih atau jernih sekelip mata apabila air itu dicampur dengan segelas air putih. Aku  tak pasti dia jual ubat apa kerana aku kecil lagi.

Selain di pekan sari itu, seingat aku ada sekali aku tengok orang jual ubat di depan Kedai Pak Cik Wahab di Stesen Keretapi Merapoh. Aku kagum sungguh dengan kekuatan tangannya. Dengan kekuatan hanyunan tangannya, dia dapat memacakkan paku sepanjang 5 inci ke sepotong balak dan sebatang pokok yang ada di situ.

Pakcik Wahab ni ialah seorang India Muslim yang berniaga di kedai Stesen Keretapi Merapoh waktu tu. Lama juga dia di Merapoh tetapi sekarang ni dah berpindah ke manapun aku tak tau.

Memang kuat paku tu terpacak. Dia menyangkut beg plastik yang penuh dengan barang dan mempelawa orang mencabut paku yang terpacak di situ dan aku lihat susah juga orang yang cuba mencabut kembali paku tu.

Kemudian, terkejut aku apabila penjual ubat itu tiba-tiba menanggalkan pakaiannya kecuali seluar dalam di khalayak ramai. Rupa-rupanya dia ingin menunjukkan bodynya yang berketul-ketul kepada orang yang berkerumun.

Tidak lama kemudian, tanpaku sangka seorang anggota polis dari Balai Polis Merapoh yang berhampiran muncul dan menghalangnya dari terus berbuat begitu. Selepas itu dia dibawa ke balai. Aku tak taulah apa terjadi kepadanya selapas itu.

Itulah antara peristiwa dengan orang jual ubat semasa umurku  dalam 6 ke 8 tahun di Merapoh.  

Minat untuk melihat orang menjual ubat ni berterusan hingga aku sekolah menengah atau remaja. Pantang nampak orang jual ubat, pasti aku akan berkerumun sama hingga habis.

Selepas tamat tingkatan 3 di Padang Tengku pada tahun 1986, aku berpindah belajar ke bandar iaitu di
di Sekolah Agama Menengah Hisamuddin, Klang.  Di bandar, lagilah banyak peluang melihat orang jual ubat ni. Nanti aku akan ceritakan peristiwa aku seterusnya dengan orang jual ubat sekitar Kuala Lumpur pula.

Kubota

Lama dah aku tak bercerita pasal masa aku kecil-kecil di Merapoh. Kenangan masa kecil ni sebenarnya samgat indah untuk dikenang. Masa kecil, mana ada masalah. Lantaklah orang lain buat apa atau orang nak kata apa asalkan aku dapat bermain sekehendak hatiku. Yang aku fikir cuma main saje. Mana ada aku fikir pasal tanggungjawab atau masalah. Aku cuma terfikir nak main apa, nak berjalan ke mana dan sebagainya.

Semua perkara aku harapkan mak ayah. Aku berasa selamat dengan kasih sayang dan perhatian mereka kepadaku. Apa-apa masalah aku, aku percaya mak ayah boleh menyelesaikannya. Jadi, kenapa nak susah hati. Senang betul hatiku masa tu. Tiada apa yang hendak dirisaukan.

Akukan budak, memang masanya aku bermain. Orang lain mungkin risaukan aku kerana bermain setiap masa tetapi aku tak nampakpun apa masalahnya. Bagi  aku bila besar nanti, aku akan jadilah macam mereka juga. Sekarang ni aku budak lagi, memanglah macam tu.

Begitulah senangnya masa budak-budak. Masa tu kalau dapat berjalan atau merayau-rayau dengan kawan-kawan, itulah yang sangat menyeronokkan. Bila berkawan, mulalah berpakat nak buat sesuatu aktiviti yang menyeronokkan. Masing-masing memberi cadangan. Kadang-kadang aktiviti itu memang membahayakan tetapi dilakukan juga tanpa berfikir panjang. Itulah akhirnya membawa kepada kecederaan dan sebagainya.

Antara aktiviti yang biasa dilakukan seperti memangkah ( baling buah kat hujung dahan pokok dengan kayu) atau mendaya buah seperti buah mempelam jika masa tu musim buah, mandi sungai ataupun memedap (tangkap dengan tangan kosong) ikan terutama apabila musim kemarau.

Bila bertemu kawan-kawan ni kadang-kadang sampai tak ingat nak balik ke rumah. Sedar-sedar hari dah tengah hari atau dah beransur petang. Perut mula pedih tetapi nak balik makan terasa malas pula kerana jauh dan tak puas lagi bermain dengan kawan-kawan.

Jadi, biasanya aku makan apa saja yang dapatlah seperti buah jambu padang, mempelam dan sebagainya untuk mengalas perut. Akibatnya aku pernah pengsan semasa bermain dengan kawan-kawan kerana tak makan nasi.

Kalau berjalan ke rumah kawan, selalu juga aku dipelawa makan tengah hari sekali. Aku bukan reti malu, aku makan jelah bila orang dah jemput.

Ada satu mendalah yang masih segar dalam ingatanku. Aku dan kawan-kawan cukup seronok apabila terserempak dengan menda ni. Apabila menda ni lalu, dari jauh lagi kami dah dengar bunyinya.



Menda yang aku maksudkan itu ialah "Kubota" milik Tok Siak Sulaiman. Tok Siak Sulaiman ni memang seorang yang baik. Dia tak pernah memarahi aku dan kawan-kawan kerana menumpang Kubotanya. Kubotanya tu telah diubah suai dengan memasang tempat membawa barang di belakangnya. Tempat barang tu dipasang dengan dua biji tayar motosikal di kiri dan kanan, disangkutkan pada Kubotanya.

Seingat aku, biasanya dia membawa guni yang penuh berisi padi atau tiang kayu pagar atau rumah. Apabila Kubotanya lalu di hadapan kami,  kami akan melompat naik ke tempat barang itu. Rasanya tak pernah dia memarahi kami kerana melompat ke atas kenderaannya yang sedang bergerak itu kecuali menegur supaya kami lebih berhati-hati.

Seronok sungguh menumpang di atas Kubotanya yang berbunyi bising dan bergegar kuat itu walaupun hanya bergerak perlahan. Masa tu memang susah untuk melihat kereta di Merapoh ni, apatahlah lagi dapat menaikinya. Itulah agaknya yang menjadikan kami seronok sangat apabila dapat menumpang Kubotanya itu.

Sekarang Tok Siak itu masih ada lagi tetapi khabarnya sudah lama tidak keluar rumah kerana terlalu uzur. Entah kenapa penglihatanya tiba-tiba gelap-gelita. Sudah berbelas tahun keadaan itu berlaku. Masa baru-baru matanya jadi begitu, ada juga aku nampak dia ke masjid. Sekarang mungkin tidak lagi... Aku doakan semoga beliau sembuh seperti sedia kala serta mendapat pengampunan Allah berkat kebaikan yang beliau lakukan khususnya kepadaku semasa aku budak-budak dahulu...

Sembahyang bersama para malaikat.

Tengah hari tadi macam biasalah, kalau aku tak pergi ke mana-mana, aku akan sembahyang Jumaat di Masjid Taman Temerloh Jaya, masjid kebangganku. Bagaimanapun barulah hari ini aku perasaan yang aku sebenarnya  bersembahyang bersama para malaikat di masjid tu. Sebelum ni mana aku perasan sebab masa khutbah aku asyik nak terlelap aje.

Hari ini Ustaz Salleh yang memberikan khutbah. Aku tengok macam biasalah, bersemangat sungguh dia setiap kali menyampaikan khutbah. Aku yang mengantukpun jadi segar dengan kelantangan suaranya. Baguslah menyampaikan khutbah macam ni.

Hari ini Ustaz Salleh bercerita tentang kewajipan sembahyang Jumaat. Aku ni biasanya selalu datang lewat untuk pergi sembahyang Jumaat. Imam sedang baca khutbah, barulah aku sampai. Ini mungkin kerana aku rasa dengan pergi bersembahyang Jumaat tupun sudah cukup untuk menunaikan tanggungjawabku sebagai seorang muslim yang baligh. Tak kisahlah kalau aku sampai lambat sikit walaupun tak sempat mendengar khutbah.

Masjid Temerloh jaya

Rasa untuk datang awal ke masjid setiap kali Jumaat terlalu kurang dalam diriku. Bagaimanapun seminggu dua ni aku dapat datang lebih awal iaitu sebelum khatib membaca khutbah lagi. Ini mungkin hasil daripada ceramah di masjid itu yang selalu juga aku ikuti walaupun tidak sepenuhnya telah memberi sedikit kekuatan atau membuka sedikit pintu hatiku.

Mendengarkan khutbah di masjid tadi, barulah aku sedar bahawa besarnya fadhilat orang yang berusaha datang awal ke masjid pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Jika kita buat perbandingan pahala seperti haiwan ternakanlah, orang yang datang awal iaitu kira-kira sejam sebelum khubah akan mendapat pahala seperti mendapat seekor unta. Kemudian, yang datang lewat sedikit dapat pahala seperti lembu. Seterusnya seperti seekor kambing dan akhir sekali orang yang datang lewat tetapi sampai sebelum khutbah, umpama mendapat pahala seperti sebiji telur ayam sahaja. Manakala, orang datang selepas itu tidak akan mendapat apa-apa, sekadar terlepas daripada kewajipan solat Jumaat sahaja.

Ini kerana pada setiap kali Jumaat, para malaikat akan berada di pintu-pintu masjid untuk mencatat kedatangan orang-orang yang hendak bersolat Jumaat. Apabila khutbah dimulakan, para malaikat tersebutpun berhenti mencatat untuk bersama-sama mendengar Khutbah Jumaat. Jadi, sesiapa yang datang lewat selepas itu, namanya tidak akan dicatat oleh malaikat sebagai orang yang datang bersolat Jumaat pada hari itu.

Rupa-rupanya aku ni sokmolah sembahyang Jumaat dengan para malaikat, cuma tak nampak je. Kalau aku nampaklah, agaknya taklah aku rasa mengantuk setiap kali khutbah dibacakan.

Kalau aku nampaklah betapa besarnya aku dapat fadhilat apabila datang awal ke masjid pada hari Jumaat ni, rasaya lepas je waktu kerja, aku akan secepat mungkin ke masjid. Takkan aku tak dapat apa-apa sedangkan orang lain masing-masing bawa balik unta, lembu, kambing atau paling sederpun telur ayam.  

Selain itu ustaz tu juga beritahu, dalam masjid tak boleh cakap hal dunia. Buatlah ibadat paling tidakpun berzikir. Jagalah kemulian masjid. Niat beriktikaf dalam masjid tu mesti menjadi perkara yang pertama dibuat setiap kali masuk ke masjid.

Masa khatib baca khutbah pula, jangan sesekali tolak peti derma masjid tu. Bukan tak bagi menderma tetapi tunggulah semasa berdoa selepas solat, barulah tolak peti derma masjid tu. Ini supaya kita dapat mendengar khutbah tanpa leka membuat kerja lain. Jangan lupa ambil beratlah untuk menghulurkan derma ke masjid kerana itulah yang akan menolong kita di akhirat nanti. Didiklah hati tu supaya  sentiasa teringat nak menyumbang kepada masjid iaitu semulia-mulia tempat di sisi Allah Subhanahuwataala.

Sebenarnya banyak lagi kalau aku nak ceritakan tetapi rasanya cukuplah setakat ini untuk dikongsikan bersama.  Mudah-mudahan kita semua dimuliakan oleh Allah berkat daripada niat dan usaha kita untuk mendapat keredhaannya. 

Kuih Akok

Cerita di bawah ni ialah cerita asal-usul kuih akok yang ditulis oleh anak aku. Bagaimanapun aku semak baliklah sebelum aku siarkan dalam blog ni. Aku sengaja suruh dia tulis cerita ni supaya dia berlatih menaip. Ada juga faedahnya daripada asyik main game je.  

***    ***    ***    ***    ***    ***    ***
Pada zaman dahulu, ada dua orang budak perempuan tinggal di kampung Mentara, negeri Kelantan. Mereka tinggal bersama dengan emak mereka yang bernama Mek Siti . Ayah mereka telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu akibat penyakit barah.

Setiap hari, emak mereka menjual kuih bauhulu sebagai mata pencarian. Namun begitu, emaknya hanya mendapat sedikit keuntungan daripada hasil jualannya itu iaitu sekadar cukup untuk keperluan makanan mereka setiap hari sahaja.

Pada suatu hari Mek Siti jatuh sakit. Penyakitnya berlarutan selama bebarapa minggu dan akhirnya dia meninggal dunia. Kedua-dua adik-beradik ini begitu sedih dengan pemergian ibu mereka yang menjadi tempat bergantung hidup.

Semasa emak mereka sakit, dia ada menyuruh anaknya yang sulung pergi menjaul kuih menggantikan tempatnya. Namun, anaknya itu belum lagi melakukannya kerana tidak sampai hati meninggalkan ibu yang sedang terlantar sakit. Lagipun, makanan harian mereka masih mencukupi hasil sumbangan jiran-jiran dan penduduk kampung yang datang meziarahi mereka.

Setelah kematian ibu mereka, kakak iaitu anak sulung cubalah membuat kuih Bauhulu itu. Bagaimanapun kakak tidak berapa tahu cara membuat kuih Bauhulu tersebut lalu dia hentam sajalah.

Dia banyak menggunakan telur dan gula. Apabila kuih siap dibakar, bauhulu itu tidak seperti bauhulu ibu mereka. Bauhulu yang mereka buat ni lebih lembik daripada biasa.

Bagaimanapun kakak tetap menyuruh adiknya menjaja kuih tersebut ke serata kampung kerana berasa rugi jika kuih itu dibuang begitu sahaja.

Adiknya pun juallah. Ramailah pelanggan yang berasa hairan apabila melihat dan merasa kuih mereka itu lalu bertanya nama kuih tersebut. Oleh kerana adiknya malu untuk mengatakan kuih bauhulu, diapun cakap ajalah “kuih akok” yang maksudnya kuih kakaknya yang buat.

Bagaimanapun rupa-rupanya ramai yang suka bauhulu yang mereka tersilap buat itu kerana sangat sedap rasanya. Mereka tidak menduga sama sekali yang kuih itu sebenarnya kuih bauhulu yang tersilap buat. Lama-kelamaan “kuih akok” mereka menjadi semakin popular hingga ke luar kampung Mentara. 

Akhirnya cerita kelazatan “kuih akok” terkenal di seluruh negeri Kelantan. Kedua-dua adik beradik ini akhirnya hidup senang-lenang hasil daripada jualan“kuih akok” yang asalnya daripada kesilapan mereka membuat kuih bauhulu.

***    ***    ***    ***    ***    ***    *** 
Sebenarnya cerita ini hanya rekaan aku sahaja apabila ditanya oleh anakku tentang sebab orang panggil kuih tu “kuih akok”. Setiap kali berjalan ke Gua Musang masa balik ke Merapoh, aku sering singgah di gerai tepi jalan di Kampung Mentara. Kami anak-beranak memang gemar sangat  “kuih akok” ni.
 Ada satu hari tu aku minta izin ambil gambar abang dan kakak yang berniaga “kuih akok” kat gerai ni.  “Kuih akok” kat sini memang sedap betullah. Rasanya inilah “kuih akok” yang paling sedap.

Inilah rupa “kuih akok” tu. Sungguh lembut dan lemak rasanya. Sesiapa yang nak ke Kelantan ikut Merapoh tu, singgah-singgahlah ke gerai itu untuk merasa. Maaf, padaku “kuih akok” kat tempat lain tidak setanding dengan kelazatan “kuih akok” kat sini.

Terima kasih polis

Pengalaman ditahan polis seterusnya berlaku pada pertengahan tahun 1999. Semasa itu aku, isteri dan anakku yang baru berumur 2 bulan dalam perjalanan ke Temerloh dari Felda Sungai Koyan. Kereta Proton Isawara ku penuh dengan sebahagian lagi barang rumah yang mahu dihantar ke Temerloh. Beberapa hari sebelum ini, aku telahpun memunggah barang-barang dari rumah lama ku di Sg. Koyan ke rumah sewa baru ku di Taman Temerloh Jaya dengan sebuah lori enam tayar yang disewa khas.

Sebenarnya perjalananku pada kali ini adalah perjalanan perpindahan kami ke Temerloh. Selepas hari itu, aku dan isteri akan bertugas di Temerloh pula setelah hampir 4 tahun berada di Sungai Koyan. Kami memang memohon untuk bertukar ke Temerloh atas alasan tertentu. Alhamdulillah, permohonan kami itu telah berjaya.

Aku mengikut jalan Sungai Koyan - Kuala Lipis Benta - Jerantut kerana rasanya jalan itu lebih dekat dari ikut jalan Raub. Bagaimanapun jalan yang aku pilih ini akan melalui banyak selekoh tajam yang bermula dari Pekan Benta ke Jerantut.

Masa tu aku rasa dari Sungai Koyan kalau nak ke Temerloh ikut jalan Lipis lagi dekat tetapi jika tengok pada peta google ni pula, rasa lebih kurang je jaraknya dengan ikut jalan Raub tu. Entah-entah ikut jalan Raub dekat lagi. Kawasan yang aku buat garis bulat tulah tempat keretaku ditahan polis. 

Apabila hampir dengan Pekan Benta, aku nampak ada polis buat sekatan jalan raya. Aku dan isteri gelabah jugalah kerana kereta kami penuh dengan barang-barang, tentu akan disaman nanti. Setibanya di tempat sekatan polis itu, beberapa orang polis memandang ke arah keretaku dengan pandangan yang  mencurigakan lalu menahan kami.

Kemudian, seorang anggota polis datang menghampiri lalu bertanya kepadaku "Ke mana dengan barang banyak-banyak ni, encik? "Nak berpindah ke Temerloh, encik. Kami bawa sekalilah barang ni kerana jauhlah kalau nak datang ambil balik. Ini sahajalah lagi barang yang tinggal. Kalau tak, kami tak buat macam ni encik," jawabku sambil tersenyum selamba. " Encik dari mana?," tanya polis itu lagi. "Sungai Koyan," jawabku.

Kemudian, polis itu menasihatkanku supaya berhati-hati sedikit kerana cermin pandang belakang mungkin terlindung. Dia menyuruh aku memastikan cermin pandang belakang dapat dilihat tanpa ganguan. Kalau cermin tu terlindung, dia menyuruh aku menyusun semula barang-barang itu supaya cermin pandang belakang boleh digunakan sepenuhnya.

Aku tengoklah cermin tu walaupun aku dari tadi dah tahu yang pandanganku melalui cermin tu memang terlindung dengan barang-barang di tempat duduk belakang. Bagaimanapun aku beritahu je polis tu yang cermin itu cuma terlindung sedikit sahaja tetapi boleh lagi untuk melihat ke belakang. Tak dayalah aku nak menyusun balik barang-barang kat tempat duduk belakang tu. Bukannya senang kerana ruangnya memang dah cukup-cukup muat.

Nampaknya polis itu berpuas hati lalu membenarkan kami pergi sambil mengingatkanku supaya berhati-hati semasa memandu. Uhh! Lega rasanya kerana aku selamat daripada di saman tadi. Inilah satu lagi contoh polis yang bertimbang rasa dan menggunakan budi bicara yang sesuai dengan situasi pada waktu itu.

Kasihanlah sedikit kepada orang yang tengah berpindahkan. Lainlah kalau mereka buat perkara yang melampau atau terlalu berbahaya. Poliskan cekap! Mestilah mereka dapat menilai sesuatu keadaan tu dengan sewajarnya.

Cara macam ni menampakkan polis tidak mengambil kesempatan atas kesalahan atau pelanggaran peraturan oleh orang ramai. Pendekatan macam ini sebenarnya akan merapatkan lagi hubungan orang ramai dengan anggota-anggota polis. Sebagai sebuah pasukan yang menjaga keamanan negara, kewajaran sesuatu tindakan polis itu mestilah berasaskan kepada timbang rasa. Bukan penguatkuasaan undang-undang semata-mata.

Hapuskan saman ekor.

Makan bersama Ketua Menteri Sarawak

Peristiwa kedua yang berlaku padaku tanpa diduga sama sekali ialah peristiwa aku makan semeja dengan Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya di Masjid Bahagian Kuching Sarawak.

Masjid Bahagian Kuching, Sarawak. Aku penah beberapa kali bersolat di masjid ini.

Masa tu aku baru belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SHOAW) Kuching, Sarawak. Pada suatu hari, pelajar yang tinggal di asrama telah dibawa ke masjid ini kerana pada hari itu masjid ini mengadakan suatu majlis. Aku tak pasti majlis apa tetapi rasanya majlis sempana Sambutan Maulidul Rasul.

Kami dibawa ke sana dengan menaiki bas. Waktu Maghrib sudahpun hampir masuk setibanya aku ke masjid itu. Aku lihat ramai betul orang datang ke masjid ini pada malam itu. Setelah mengambil air sembahyang, aku terus menuju ke bahagian depan masjid untuk mendapat saf yang paling hampir dengan imam. Walaupun aku lihat orang dah memenuhi saf di bahagian itu tetapi aku berjaya juga mencelah ke satu tempat yang agak dekat dengan tempat imam.

Dari situ aku terlihat seseorang yang rasanya aku pernah lihat. Beliau kelihatan amat dihormati dan berada di saf yang dihadapan sekali bersama beberapa orang kenamaan lain. Setelah diamat-amati, rupa-rupanya orang itu ialah Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu iaitu Tan Sri Abdul Taib Mahmud.


Tan Sri Abdul Taib Mahmud

Orang-orang kenamaan lain pula aku tak camlah sebab waktu tu aku bukan ambil tahu sangat akan sesiapapun. Kalau orang yang ada kaitan dengan apa yang aku belajar kat sekolah tu mungkin aku kenallah. Tan Sri ni aku kenallah sebab beliau jadi ketua menteri. Kalau beliaupun aku tak kenal juga, teruk sangatlah pengetahuan semasa aku nikan.

Setelah solat Maghrib, aku mendengar ceramah tentang Maulidul Rasul. Setelah solat Isyak, satu jamuan diadakan. Aku yang baru pertama kali datang ke sini agak terpinga-pinga kerana tidak tahu di mana tempat jamuan itu. Budak-budak yang satu sekolah denganku juga tidak kelihatan berdekatan denganku. Aku ikut arus sahajalah. Ke mana orang ramai pergi, ke situlah aku tuju.

Sampai di suatu tempat, aku nampak orang seperti berebut untuk mendapatkan bungkus makanan. Akupun berebut jugalah tetapi sayangnya aku tak dapat bungkusan makanan itu. Mungkin bungkusan makanan yang lain sedang diambil untuk diedarkan kepada para jemaah yang belum dapat. Orang yang dah dapat makanan pula duduk bersila sebaris sebaris di dalam masjid itu untuk menikmati makanan masing-masing.

Meleleh air liur aku melihat orang lain makan. Perut aku dah lapar sangat ni tetapi makanan tak sampai-sampai lagi. Masa tu aku berada berdekatan dengan tangga dalam masjid menuju ke tingkat atas masjid. Tiba-tiba aku nampak ada beberapa orang naik ke tingkat atas tu. Akupun ikutlah sekali kerana aku sangka orang yang tak dapat makanan lagi kena naik ke tingkat atas untuk makan di sana.

Setibanya di atas, aku lihat satu meja panjang yang dipenuhi dengan pelbagai masakan yang tampak menyelerakan sekali. Masa tu tempat tu masih kosong lagi dan aku di antara orang yang terawal masuk ke bilik yang istimewa tu. Walaupun rasa hairan melihat keadaan itu tetapi aku teruskan juga memilih satu tempat duduk apabila aku lihat orang-orang lain mula mengambil tempat duduk masing-masing.

Kerusi dan meja tempat ini juga dihias cantik. Ada beberapa orang yang sedang sibuk menyusun hidangan. Agaknya mereka ni adalah pelayan yang dikhaskan untuk melayan tetamu semasa jamuan di sini. Hidangannya pula dihias cantik. Ini sudah pasti untuk orang kenamaan sahaja ni, fikirku.

Perasaanku mula rasa tak menentu. Adakah aku tersilap masuk bilik ni? Gayanya ini tempat yang dikhaskan untuk orang kenamaan sahaja. Kalau aku turun balik, malu pula rasanya. Nanti jadi perhatian orang pula bila sorang-sorang je turun ke bawah semula.

Tidak lama kemudian, ketua menteri dengan beberapa orang lagi masuk ke bilik itu melalui sebuah pintu di suatu sudut bilik tersebut. Melihat kepada orang-orang yang mengiringinya itu, aku rasa tak lain tak bukan orang yang bersamanya tu adalah kaum keluarganya sendiri selain orang-orang kenamaan negeri. Ohh, rupanya isterinya orang putih. Anak-anaknya pun, putih dan cantik-cantik belaka. Semua yang masuk ke bilik itu berpakain kemas dengan berbaju melayu bersampin dan berbaju kurung.  Aku sorang je yang berbaju melayu putih dan bersampin biru, pakaian seragam sekolah. Nampak benar lainnya.

Tiba-tiba aku dengar pelayan tu bercakap perlahan " Tak cukup satu kerusi, ambil satu kerusi lagi,". Berdebar juga aku. Ini tentu sebab akulah tak cukup satu kerusi ni.

Setelah imam membacakan doa makan, akupun makanlah dengan berselera sekali. tau-tau jelah, perut tengah lapar manakala lauk pula sedap-sedap belaka. Walaupun ada juga terdetik perasaan malu tetapi aku makan buat tak tau jelah. Nasiblah orang nak cakap apa! Bukannya aku sengaja! Inilah namanya rezekikan. Allah dah tetapkan rezeki aku kat situ malam tu.

Aku tak taulah dia orang perasaan atau tak aku tersalah masuk kat bilik tu. Bagaimanapun aku ucap terima kasihlah kepada semua yang makan bersamaku waktu itu kerana tak menyebabkan aku berasa janggal makan di situ. Aku dilayan dengan mesra dan dipelawa mengambil pelbagai hidangan oleh orang di sebelah kanan dan kiriku walaupun mereka mungkin tahu aku tetamu yang tidak dijemput.

Aku selesa di situ sehingga kenyang. Bukan senang nak dapat makan dengan Ketua Menteri Sarawak dengan layanan VVIP oooo! Terima kasih semua.

Nak baca satu lagi ceritaku tentang peristiwa yang berlaku tanpa diduga ni silalah klik tajuk ini "Hotel Percuma".

kain dalam

Macam biasalah musim-musim cuti ni banyaklah orang buat kenduri kahwin. Seronok juga aku bila pada cuti sekolah akhir tahun baru-baru ini (2010) aku dapat pergi ke beberapa majlis kenduri kahwin di kampung lahirku di Merapoh, Kuala Lipis, Pahang dan di kampung isteri aku di Sungai Siput, Lubuk China, Melaka. Selain daripada dapat berjumpa dengan saudara mara yang dah lama tak jumpa serta makan kenduri, aku juga seronok tengok pelbagai ragam manusia yang datang ke majlis ini.

Salah satu majlis perkahwinan yang aku hadiri baru-baru ini.

Dalam majlis beginilah orang  berkumpul untuk meraikan pengantin termasuklah mereka yang bekerja di perantauan. Ada rakan-rakan atau saudara mara yang dah berpuluh tahun tak jumpa akhirnya bertemu semula di majlis seperti ini.  Apabila dah lama tak bertemu, pelbagai perasaanlah yang timbul seperti gembira, segan, dan sebagainya. Maklumlah, selain daripada dah lama tak berjumpa, penampilan, rupa dan saiz masing-masing pun dah banyak berubah.

Pelbagai perkaralah yang dibualkan. Bermula dengan bertanya khabar kawan-kawan lama hinggalah berbual tentang politik dan sebagainya. Ada khabar yang menggembirakan dan ada juga khabar yang sebaliknya.

Kadang-kadang berita itu tidak diduga sama sekali. Yelah, dulu dia ni nampak taklah pandai sangat tetapi dengar-dengarnya sekarang ni dah jadi uasahawan yang berjaya serta berkahwin dengan anak orang kenamaan pula.

Ada pula kawan yang dulunya memang nampak cemerlang di sekolah tetapi tak ke manapun rupanya. Lebih malang lagi ada yang dah macam batang buruk kerana terlibat dengan gejala dadah dan sebagainya. Lebih mengharukan, ada yang pergi terlebih dahulu daripada aku untuk menghadap yang Maha Esa. Innalillahiwainnairaajiuunn...!

Itulah lumrah kehidupan. Jadi sedarlah aku bahawa terlalu dangkal akal aku untuk menduga sesuatu perkara. Hidup ini rasanya terlalu singkat. Sedar tak sedar kini terlalu banyak menda yang dah  berubah.

Entah berapa kerat sahaja lagi orang-orang yang dulunya aku panggil pokteh, makwe, makngah dan sebagainya dapatku lihat di majlis seperti ini. Dahulu merekalah orang yang memeriahkan majlis-majlis seperti ini. Merekalah yang ligat memainkan peranan untuk menjayakan majlis dengan lawak, senda gurau dan sebagainya.

Dah lama aku tak mengukur kelapa ni weh. Zaman aku sekolah menengah dulu, selalulah buat kerja ni menolong mak ayah aku masa di kampung. Sekarang kalau aku nak kelapa tak payah kukur sendiri dah. Beli jelah di kedai. Masa kenduri pertunangan anak saudara aku Huda di Merapoh baru-baru, aku tolonglah mengukur kelapa di rumah akok jang. Banyak juga  kelapa yang aku kukur. Rasanya dalam 20 biji tu habislah. Mulanya rasa sakit juga belakang tetapi dalam 10 minit mengukur, sakit tu hilang sendiri je.

Sekarang ramai di kalangan mereka tidak kelihatan lagi. Kebanyakkannya yang aku lihat kini adalah orang-orang baru yang aku sendiri tidak berapa cam. Hanya saling sengih dan senyum sahaja yang dapat diberikan apabila  terpandang. Masing-masing berasa segan nak memulakan perbualan dek kerana jarang berjumpa serta kurang mengenali.

Maklumlah zaman aku sekolah rendah, kebanyakkan mereka ini masih belum lahir lagi. Masa aku sekolah menengah pula, kebanyakkan masa aku habiskan di asrama. Pada waktu tu, mereka ini masih kecil dan biasanya aku hanya bertemu mereka apabila sesekali aku balik ke kampung pada musim cuti sekolah. Sekarang mereka dah besar panjang, manalah aku cam sangat rupa mereka yang dah banyak berubah tu.

Ada satu perkaralah yang aku rasa berubah sangat apabila melihat cara orang berpakaian di majlis perkahwinan ini jika dibandingkan dengan zaman dahulu. Zaman dahulu, rata-rata orang perempuan tidak menjadikan seluar sebagai pakaian mereka untuk pergi ke majlis seumpama ini. Kebanyakkan mereka hanya memakai baju kurung dan kebaya. Pada waktu itu, seluar bagaikan pakaian khas untuk kaum lelaki sahaja. Orang akan memandang jelik jika ada anak dara yang mengenakan seluar ke majlis-majlis seumpama ini.

Kain dalam pula seperti suatu kemestian kepada perempuan apabila mereka berpakaian. Mereka tidak berani atau berasa amat janggal  jika berpakain tanpa besertakan kain dalam. Oleh itu tidak hairanlah emak aku yang sudahpun berusia lebih 80 tahun ini masih menjadikan kain dalam sebagai suatu kemestian apabila dia berpakaian. Mungkin dia dah terbiasa dengan cara ini.

Mungkin kain-kain di zaman dahulu terlalu jarang hingga menyebabkan mereka bersikap begitu. Malulah kalau tak pakai kain dalam, nanti nampaklah celahan kangkang lebih-lebih lagi apabila disinari cahaya terang. Adakah itu yang menyebabkan mereka ini memilih kain dalam atau ada sebab-sebab yang lain?

Sekarang ni aku tengok sudah ramai perempuan terutamanya golongan remaja yang memilih seluar untuk ke majlis perkahwinan. Pada aku ini tidak menjadi suatu kesalahan. Di zaman yang serba pantas ini, seluar mungkin lebih sesuai dikenakan kerana lebih selesa untuk mereka melangkah atau bergerak.

Bagaimanapun yang tak masuk akalnya kenapa kebanyakkan mereka ini memilih seluar yang terlalu ketat hingga begitu menampakkan bentuk tubuh masing-masing.  Aku rasalah, macam aku tengok perempuan berbogel berjalan di depanku. Semuanya begitu jelas, hanya dibezakan oleh warna seluar dan garis-garis jahitan sahaja. Mengapakah ramai perempuan sekarang ni tak malu sangat! Hancurlah umat Islam kalau macam ni.

Bagi yang memakai baju kurung pula, mengapalah ramai juga yang tak pakai kain dalam. Kain kurung mereka tu jarang-jarang. Aku pula duduk dalam rumah mengadap ke pintu. Bila mereka masuk je, nampaklah celahan kangkang mereka seperti melihat orang berbogel juga. Ada pula yang berdiri lama-lama kat depan pintu tu. Puaslah aku mengawal mata tak nak melihat tayangan percuma di depan mata ni. Dahlah fesyen bajunya singkat-singkat belaka. Mana perginya sifat malu yang sepatutnya lebih menebal pada kaum perempuan.

Takkan mereka tak tau yang mereka ni sedang berbuat dosa secara terang. Sekolah dah berapa tahun takkan ustaz atau ustazah tak ajar. Adakah mak ayah mereka tidak mendidik mereka hingga mereka tidak reti mengenakan pakaian yang lebih bersopan serta diredhai Allah. Semasa di kawasan sekolah elok sangat tetapi bila diluar sekolah, MasyaAllah!

Orang dulu-dulu menjaga benar anak-anak dara mereka daripada sudut pakaian. Kalau tak kena berpakaian alamat kena libaslah atau sekurang-kurangnya kena cubit.

Aku rasa orang lelaki takdalah pakai seluar ketat-ketat sangat macam perempuan ni. Lelaki yang pakai seluar pendek tu ada jugalah aku nampak. Tengok kepada seluar pendek yang dipakai tu gayanya memang fesyen terkini ni. Tak usahlah nak berfesyen sangat sampai tak ingat ke dosa pahala. Bukan anti fesyen tetapi kalau nak berfesyenpun biarlah sesuai dengan kita yang beragama Islam ni.

Wahai saudara-saudari seagamaku. Aku ni bukannya baik sangat tetapi aku risau juga melihat perkembangan dari sudut berpakaian yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Kalau kita dah pakai tak molek macam tu, macam mana kita nak mendidik anak-anak kita berpakain molek nanti.

Kita seorang, anak kita ramai. Anak kita mengikut cara kita. Kalau macam tu rasanya makin lama, makin ramailah orang yang berpakain tak molek macam itu nanti. Oleh kerana itu, semakin terjuruslah umat Islam arah kesesatan khususnya umat di Malaysia yang kita ke cintai ini.

Nak ke kita jadi penyumbang kesesatan di dunia ini. Takut nanti kita tak putus-putus dapat dosa kering walaupun dah mati hasil daripada sumbangan kita ke arah kesesatan itu. Macam orang suruh orang lain buat baik jugalah. Pahala usahanya itu akan berterusan walaupun dia dah mati selagi orang yang mengamalkan suruhannya itu melakukannya. Bahkan akan mendapat pahala yang berlipat kali ganda jika orang itu pula dapat mnyebarkan amalan kebaikan itu kepada orang lain.

Letih dah menaip malam ni. Maaflah kalau ada yang terasa. Akhirnya marilah kita jadikan matlamat hidup kita untuk mencari keredhaan Allah. InsyaAllah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mohlah ikut aku!

Catatan Popular

Mohlah jengok!

  • 9 March 2024 Sabtu. Santai2 je gi melaka . short vacation 2 hari 1 malam . gi berlapan ngan anak, menantu, besan dan cucu. Gerak dari bangi dalam ku...
  • [image: TRADISI MENUBA IKAN SUNGAI PAHANG 1930AN] [image: TRADISI MENUBA IKAN SUNGAI PAHANG 1930AN] [image: TRADISI MENUBA IKAN SUNGAI PAHANG 1930AN] [ima...
  • Halo…Slot Mudah Menang (nonton channel Youtube Slot Mudah Menang)…nice to meet you bagi seluruh pembaca blog ini. Bersama ini penulis sharing informasi pen...
  • بسم الله الرحمن الرحيم Ibu mengandung mati dibunuh... kejamnya manusia... UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPAT...
  • [image: https://drive.google.com/file/d/1gARq5pZPyhDgD94uQfTTxQGasdWyWma6/view?usp=sharing] Assalamualaikum kaum keluarga dan para sahabat semua. Sila klik...
  • *Seei Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2020 SK St Mary Kuala Lumpur* *Tarikh : 6.3.2020* *Hari : Jumaat * *Tempat : Dewan St Mary*
  • *Ogawa BG330DT Brush Cutter * Tu dia brand or model mesin rumput yang aku beli baru baru ini. Ini hasil mentelaah pak cik google dan menginterview abam aba...
  • selamat mengundi pada 9 mei 2018
  • APO DAH JADI BLOGSPOT NI MARIN KOBA NAK TUTUP TGK2 ADO LAIE SERUPO IDUP SOGAN MATI TAK MAU TAPI LOBIH TORUK DARI PARTI SUCI TERKONTUT PUN TIDAK..SENDAWO P...
  • Pohpalehh.... Melantung baunye. Dah bubuh bagei gaye dak Awang. Tak amboh ilang jugek. Sabun cak kapok te dah pipih sentei dak Awang ghate ke seme badan ny...
  • Makmur Guesthouse turut menyediakan bilik-bilik untuk disewa. Bilik-bilik ini terletak di kawasan rumah pemilik. Lokasi Makmur Rooms adalah di Kampung Ba...
  • Assalamualaikum Salam Dari Raja Beloot Saje nak bagitau yang aku... MASIH HIDUP LAGI Hahahahahahahahahahaha
  • Assalamualaikum.. Saya rasa terpanggil untuk berkongsi sesuatu di sini tentang suami saya seorang penghidap "migrain" ...Saya tak pasti ,sejak bila dia mul...
  • Baru-baru ni ramai orang terutamanye yg duduk di Dekroh Bere tersedok kuih bila buletin utama memaparkan berita mengenai pencerobohan kawasan hutan seluas ...
  • 27 - 31 Dis 2012 - percutian musim sejuk. Apa taknya - kesejukan teramat sangat bawah 10 degre C.Sebelum berangkat, saya telah dimaklumkan untuk bersiap se...
  • *6 Disember 2012* *setelah selesai makan tengahari kami sekeluarga menunggu speed boat untuk kembali ke Sibu dan seterusnya kembali ke Semenanjung* * Ting...
  • ِإن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُ...
  • Assalamu alaikum. Selamat Hari Raya maaf zahir batin kepada semua kengkawan blogger. InshaAllah panjang umur saya akan kesini lagi. Take care. Pegi open h...
  • *KEBUN HAYAT* *menanam budi* *sekebun hayat* *tumbuh harapnya* *mekar kasih.* *menyiram kasih* *sekebun hayat* *mekar budinya* *seluas sayang.* *menuai ci...
  • Air hujan yang bersih dan segar akan mengalir ke sungai-sungai yang jauhnya berbatu-batu sebelum ia berkumpul dalam empangan di mana ia akan dirawat dan...
  • Pemandangan depan rumah Mertua AbgAji di kampung. Takda rezeki balik kali ini semua buah-buahan belum masak lagi. Perdu buluh(baka rebung madu) yang bar...
  • Untuk panduan yang pertama malam ni saya nak beri panduan berkenaan bagaimana ingin setting shoutmix agar masa yang tertera sama dengan jam yang ada di Mal...
  • Jumaat yang lepas, CP berpeluang menonton Teater Natrah Musim Kedua di Istana Budaya.. Sedikit sinopsis teater tersebut seperti di bawah: *Teater Natrah...
  • *...orang senang tambah-tambah senang ......(isi tempat kosong)* Kad Kredit 1. Pakai dulu bayar kemudian 2. Lambat Bayar Kena late charge dan kena intere...
  • *Boya* Korang kenal boya? Sejenis pengangkutan air yang digunakan untuk menyeberang sungai. Rupanya seperti sampan bersaiz besar dan diperbuar dari kelul...
  • Letter from India My dear Bala, I am in a well here and hoping you are also in a well there. I'm writing this letter slowly, because I know you cannot r...
  • Sumber: Malaysian Fishing Net Teman pernah kena usik masa kat Sungai Tekam, tempatnya selepas jambatan kedua Tasik Banding akan sampai ke simpang RPS Banun...
  • *Pemilihan besi untuk dibakar, untuk dibuat mata parang, perlu teliti. Antara yang aku sukai ialah papan chain saw. Ia perlu dbelah, dipotong ke bentuk yan...