The Cool Point Hotel, Tanah Rata, Cameron Highlands

Klik sini untuk ikut cerita ni sebelumnya.

Dahulu semasa jalan raya ni baru dibuka, pernah sekali aku melalui jalan ni dari Gua Musang sampailah ke Ipoh. Masa tu aku sekeluarga balik ke Merapoh sempena  cuti sekolah. Oleh kerana jalan raya ni baru sahaja beberapa minggu dibuka, aku teruja sangatlah nak mencuba jalan raya ni. Apatah lagi aku belum pernah sampai ke Cameron Highlands. Suatu hari, aku ajaklah anak dan isteri bersama mak dan kak andak berjalan ke Cameron Highlands sambil mencuba jalan raya baru ni.

Sebelum ada jalan raya ni, bukan mudah orang Merapoh nak ke Cameron Highlands. Masa tu, jika nak ke situ, mereka terpaksa ikut jalan raya yang melalui bandar Raub ke Kuala Kubu untuk tembus ke Perak. Selepas tu barulah mereka bertemu dengan persimpangan masuk ke Cameron Highlands. Pendek kata jarang sangatlah orang Merapoh ni sampai ke sana, termasuklah aku.

Pada hari itu, pagi-pagi lagi kami mula bertolak ke Cameron Highlands. Selepas membeli sedikit sayur-sayuran dan apa-apa yang patut, kira-kira pukul 12.00 tengah hari, kami pun bertolak baliklah ke Merapoh semula. Semasa tiba di satu persimpangan selepas Kuala Terla, aku ternampak papan tanda yang menyatakan jarak ke Ipoh hanya antara 30-40km sahaja.

Aku mula teringin nak mencuba jalan ni sampai ke Ipoh pula. Aku ajaklah mak, isteri, akak andak dan anakku berjalan-jalan ke Ipoh dahulu sebelum balik ke Merapoh. Rasanya dengan jarak sebegitu, tak sampai sejam sampailah kami ke ke sana. Nanti, dapatlah aku tau keadaan jalan raya Gua Musang ke Ipoh ni sepenuhnya.  

Mereka mengikut sahaja hajatku itu. Akupun terus ke Ipoh. Tidak lama selepas itu, aku ternampak papan tanda yang menyatakan jalan raya ni akan ditutup selepas pukul 6.00 petang hingga pukul 6.00 pagi keesokannya. Namun aku teruskan juga perjalanan itu kerana jangkaan aku sebelum pukul 5.00 petang, InsyaAllah, aku akan sempat masuk semula ke jalan raya ni untuk balik ke Merapoh.

Aku sungguh seronok sepanjang perjalanan itu. Aku dapat menikmati pemandangan dari atas bukit yang indah sekali. Orang lain yang bersama denganku tak taulah dapat merasai atau tak perasaan seperti yang aku rasakan itu. Sayangnya masa tu aku tak ada kamera. Jadi, tak dapatlah aku merakamkan gambar pemandangan di situ.

Sepanjang perjalanan tu, rasanya tak sampaipun 10 buah kenderaan yang berselisih dengan kami. Lengang betul jalan raya ni pada masa tu.

Itu cerita dulu tetapi kali ni aku ikut jalan raya ni pada waktu malam pula. Sebaik sahaja aku masuk ke jalan ni kira-kira pukul 8.00 malam, aku dah dapat mengagak yang jalan ni dah sibuk. Sepanjang perjalanan tu, kami kerap berselisih dengan kenderaan sama ada kereta ataupun lori.

Masa tu pula hari hujan. Walaupun tak lebat tetapi cukuplah untuk menyukarkan aku melihat  jalan raya yang hanya terang sedikit terkena suluhan lampu kereta. Selebihnya hanya gelap pekat sahaja yang kelihatan. Perjalanan yang mendaki bukit serta selekoh tajam cukup menggerunkan isteriku. Tak henti-henti dia mengingatkan aku supaya berhati-hati memandu walaupun pada masa tu aku rasa sudah memandu dengan perlahan sekali.

Dia juga bersungguh-sungguh mengajak aku mencari sahaja hotel di Cameron Highlands. Agaknya dia terlalu bimbang untuk meneruskan perjalanan ini hingga ke Gua Musang yang mengambil masa lebih dari 3 jam lagi. Padaku kebimbangannya itu ada kebenarannya kerana tanah runtuh sering berlaku di jalan raya ini. Akupun dah mula berasa penat dan mengantuk. Sudah 2 hari aku tak dapat berehat secukupnya kerana sibuk ke hulu ke hilir di Pulau Pinang.

Mak aku mengikut sahaja apa juga keputusanku apabila diajukan pertanyaan. Setibanya di persimpangan ke Cameron Highlands, aku terus menuju ke Cameron Highlands untuk mencari hotel dan gerai makan. Timbul pula kebimbangan adakah masih ada lagi bilik hotel untuk disewa malam-malam begini. Walau bagaimanapun aku teruskan juga perjalanan itu hinggalah sampai ke Tanah Rata. Di situ kami menemui banyak gerai makan di tepi jalan. Kamipun makanlah di salah sebuah gerai makan di situ.

Kami selesai makan kira-kira pada pukul 10.00 malam. Kemudian, aku terus mencari hotel untuk menginap. Berdasarkan papan tanda yang aku lihat di satu persimpangan, akupun  menuju ke Hotel The Cool Points. Setibanya di hotel itu, isteriku turun untuk bertanyakan bilik kosong. Aku dah dapat mengagak yang kami akan bermalam di hotel ini apabila wajah isteriku kelihatan ceria sebaik sahaja keluar dari pintu hotel.

Kami dapat menyewa sebuah bilik Family Room bernombor 243 dengan bayaran rm185 semalaman. Aku berasa sedikit rugi dengan bayaran sebanyak itu untuk menginap tak sampaipun 10 jam di biilik hotel tu.

Namun apakan daya, rasanya inilah pilihan yang ada di waktu malam-malam begini. Lagipun dengan sewa sebegini, tentu lebih terjamin keselesaannya. Dapatlah aku berehat secukupnya nanti. Pujuk hatiku agar tidak berasa rugi lagi.

Tanpa berlengah aku terus membuka bonet kereta untuk mengambil barang-barang yang perlu dibawa ke bilik hotel. Apabila pintu bilik hotel itu dibuka, bau hapak terus menusuk ke hidungku. Aku lihat karpetnya yang berwarna biru  sudah kepam atau kehitam-hitaman. Rasanya sudah tentu baunya datang dari karpet ni. Kami mula tertanya-tanya kenapa bilik macam ni disewa terlalu mahal.

Tak lama kemudian isteriku membuka pintu almari hitam untuk menyangkut pakaian. Sayangnya satu hangerpun tak ada di dalam almari tu. Aircornd memang tak adalah tetapi aku fahamlah kerana tempat ni memang dah sejuk.

Di tepi cermin solek, ada disediakan water heater. Sayang sekali tiada satu pun uncang teh atau kopi yang disediakan di situ seperti bilik hotel-hotel lain yang pernah aku sewa sebelum ini. Peliklah aku bilik macam ni boleh di sewa sampai rm185 semalaman.

Bilik airnya juga padaku biasa saja, cantik lagi bilik air rumah teres aku di Temerloh Jaya. Tekanan air paipnya juga perlahan, tak puas langsung mandi dengan air meleleh macam ni.

Anak aku yang berumur 11 tahun pada mulanya riang sekali apabila mengetahui akan tidur di hotel terus menjadi mati kutu apabila masuk ke bilik hotel ni. Dia kata tak pernah lagi jumpa hotel yang teruk macam ni. Sampaikan sebelum dia berbaring di tilam,  dia mengibas-ngibaskan dahulu tilam dan bantal di situ dengan kain. Dia berasa kurang yakin akan kebersihannya setelah melihat dan mengalami sendiri keadaan di bilik hotel ni.

Pada malam tu, anak aku tidur sekatil bersama wannya. Manakala aku dan isteri pula tidur di katil yang satu lagi. Oleh kerana bau hapak yang menusuk di dalam bilik ni, aku dan isteri juga berasa was-was akan kebersihan cadar dan tilamnya. Rasanya kalau seperti inilah keadaannya, kadar sewa sepatutnya tidak lebih daripada rm60 sahaja.

Pagi esoknya, awal-awal lagi kami bangun tidur kerana tak sabar-sabar lagi nak meninggalkan bilik hotel ni. Selepas berkemas, kami terus menuju ke dewan makan hotel tersebut untuk bersarapan. Aku tertanya-tanya apakah menu sarapan pagi yang disediakan oleh hotel ni. Rasanya tentu ada makanan yang istimewa berbanding dengan hotel lain sesuai dengan kawasan ni yang terkenal dengan sayur-sayuran dan strawberrynya.

Namun apa yang aku sangkakan juga meleset sama sekali apabila menu yang disediakan hanya roti bakar, nasi goreng, bihun goreng dan ada lagilah dua tiga jenis yang padaku bukan sahaja menu biasa tetapi tak sedap pula tu. Memang hampehlah hotel ni. Nak kaya, kayalah tetapi janganlah sampai nak menipu orang.

Sebenarnya aku ni bukan suka mengutuk tetapi yang ini aku rasa elok dikutuklah supaya orang lain jangan tersilap pilih hotel macam aku. Persoalannya sekarang,  adakah harga sewaan bilik hotel di malaysia ini mempunyai standard tertentu untuk menentukan keseragaman sewaan bilik mengikut gred bilik hotel, atau tuan punya hotel bebas mengenakan sewaan sebebas-bebasnya tanpa kawalan 


 Aku sampai terlupa nak ambil gambar Hotel The Cool Point ni sebab menyampah sangat. Gambar ni aku jumpa masa rayau-rayau kat google. Inilah gambar di belakang hotel ni.

Sesak

Untuk mengikuti cerita ini yang sebelumnya, sila klik!

Untuk memudahkan aku menuju ke Seberang Prai, Syamil mengajak aku mengikut keretanya ke sana. Bagus juga tu kerana tadipun semasa nak ke Hospital Pulau Pinang, aku dah tersesat sekejap. Haripun dah hampir malam sedangkan perjalanan masih jauh lagi. Kalau aku tersesat sekali lagi, mahu pagi nanti barulah sampai ke Merapoh.

Selepas menyeberangi Jambatan Pulau Pinang, aku membunyikan hon kereta sambil melambai kepada Syamil sebagai tanda perpisahan. Oleh kerana kami belum solat lagi, aku terus mencari kawasan rehat yang terdekat sebaik sahaja masuk di lebuh raya. Setelah kami semua selesai solat jamak takhir, waktu sudah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang.Hey bila agaknya aku akan sampai ke Merapoh ni? Sebenarnya aku risau apabila memikirkan akan memandu pada waktu malam melalui jalan yang berbukit dan banyak selekoh dari Ipoh ke Gua Musang. Jalan tu pula aku rasa sunyi lebih-lebih lagi pada waktu tengah malam.

Aku ni memang teringat sangat nak merasa buah-buahan yang banyak dijual di beberapa kawasan rehat di sepanjang lebuh raya ini. Oleh itu setelah sejam lebih perjalanan, sekali lagi aku berhenti di salah satu kawasan rehat yang banyak menjual buah-buahan. Sambil tu dapat juga aku meluruskan belakang setelah berjam memandu.  Habis duitku hampir rm20 membeli buah-buahan yang sudah siap dikopek di situ. Kami makan buah-buahan tu dalam kereta sambil berbual-bual tentang lebuh raya yang sibuk ni.

Pelik juga ye kenapa lebuh raya ni sibuk sangat sedangkan sekarang ni bukan musim perayaan. Sepanjang perjalanan tadi dah beberapa kali aku terpaksa memandu perlahan kurang 70km/jam kerana masalah kesesakan kenderaan ini.  Agaknya sekarang ni dah terlalu ramai orang yang mampu beli kereta  menyebabkan jalan raya penuh dengan kereta sahaja. Tidak lama selepas itu aliran trafik semakin perlahan dan kemudian didapati ada beberapa kemalangan kecil telah berlaku di situ.

Jalan raya dari Ipoh ke Gua Musang. 
Best ikut jalan ni pada waktu siang kerana dapat melihat pemandangan yang cantik dari atas bukit tetapi pastikan dulu kereta dalam keadaan baik. Jalan ni agak merbahaya kerana mempunyai banyak selekoh tajam dan berbukit.

Keadaan sekeliling dah samar-samar semasa aku tiba di Tol masuk ke Jalan Raya Ipoh-Gua Musang. Masa tu isteri aku dah mula risau dan mengajak aku tidur di hotel sahaja. Aku cuba menenangkannya dengan mengatakan 3 jam jam perjalanan lagi sampailah kami ke Merapoh. Sebenarnya aku sendiripun dah risau lebih-lebih lagi apabila titisan hujan mula berada di cermin kereta ku. Sebelum meneruskan perjalanan, aku mencari dulu stesen minyak yang berdekatan. Selepas itu aku meneruskan perjalanan dalam hujan yang semakin lebat dengan bertemankan lampu kereta sahaja menuju ke Cameron Highlands. Perut pula mula meminta dipenuhkan. Mana aku nak cari kedai makan di sini. Tadi semasa di Ipoh, lupa pula nak berhenti makan...

Insyaallah, ada sambungannya nanti... Klik untuk cerita seterusnya!

Laksa Penang

Cerita ni sambungan daripada kisah dulu. Kliklah jika nak tahu cerita sebelumnya.

Malam itu aku, isteri dan anak tidur nyenyak sekali hingga bunyi alarm handpone pun kami tak perasan. Semasa aku dikejutkan isteri, cahaya matahari yang menembusi cermin tingkap di sebelah katil kami amat menyilaukan. Aku nak juga solat Subuh kerana ada orang beritahu jikalau masih awal terlepas solat tanpa sengaja, kita boleh cepat-cepat ambil wudhuk dan solat. Namun itupun tak menjadi apabila bilik air pula ada orang guna.

Selepas mandi dan menyiapkan diri, aku terus pergi ke kedai minum untuk mencari apa-apa makanan yang sesuai untuk bersarapan. Aku terus pergi ke Pekan Penaga kerana aku tahu pada hari Ahad ni ada pasar minggu di situ. Aku makan laksa utara dan minum nescafe tarik di sebuah warung di tepi sungai, sementara menunggu 4 keping roti telur dan 6 bungkus laksa utara yang aku pesan siap untuk aku bawa balik ke rumah abang bong. Memang sedap laksa ni. Sebenarnya aku bukan gemar sangat makan laksa tetapi dah sampai di Pulau Pinang ni, nak juga aku mencuba laksa yang sememang popular di sini. 

Tengah hari ini aku memang bercadang untuk menziarahi abang bong di wad Hospital Pulau Pinang sekali lagi sebelum aku bertolak balik ke Merapoh. Semalam aku sudah berpesan kepada mak yang tidur di rumah Syamil supaya membawa semua barang untuk di bawa balik ke Merapoh semasa melawat abang bong tengah hari ni. Nanti selepas menziarahi abang bong bolehlah aku terus balik ke Merapoh tanpa berpatah balik ke rumah Syamil untuk mengambil barang mak pula.

 Duduk di Pulau Pinang ni jenuh naik Ferilah yek!
Kami naik feri lagi sekali untuk melawat abang bong di Hospital Pulau Pinang.

Kami tiba di Hospital Pulau Pinang kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari. Semasa aku sampai, mak, Syamil, Nabil sekeluarga serta kakak dan adik telahpun berada di sisi abang bong. Walaupun aku bertolak lebih awal daripada Nabil tetapi aku terlewat kerana tersesat di bandar Georgetown semasa menuju ke Hospital Pulau Pinang. Aku mana biasa dengan jalan-jalan di bandar ni. Rasa aku jalan kat bandar ni terlalu banyak simpang menyebabkan aku hilang arah semasa menuju ke hospital tersebut. Nasib baiklah handpone aku ada kemudahan GPS yang dapat menunjukkan arah untuk kami ke sana.

Sungguh sayu rasa hati ini di saat aku nak meninggalkan abang bong di wad itu. Tatkala aku aku berpelukan dan bersalaman dengannya, terasa air mataku berlinang tetapiku tahan kerana tidak ingin menambahkan kesedihannya. Lagi sayu apabila aku lihat dia menangis teresak-esak semasa berpelukan dengan emak. Entah apa yang abang bong bisikkan ke telinga mak. Cuma yang aku nampak bibir mereka saling terkumat-kamit. Aku juga hanya mampu berdoa dan berpasrah kepada Allah semoga abang bong tabah dan selamat mengharungi ujian penyakit kanser tekak ini.  

Kome tengah tunggu nasi beriani ayam golek yang dikatakan amat sedap di restoran ni. Sayangnya aku dah lupa nama restoran mamak ni. Terima kasihlah mok kerana belanja kome makan.

Sebelum aku bertolak balik ke Merapoh, emak mengajak kami termasuk cucu-cicitnya itu mencari restoran untuk kami makan tengah hari. Haha, ini satu cadangan yang bagus sekali. Tengah lapar-lapar macam ni eloklah kalau ada orang yang nak belanja makan. Waktu pada masa tu pun dah hampir pukul 2.30 petang. Perut memang dan berkeroncong sebab pagi tadi aku hanya pekena semangkuk laksa sahaja. Akhirnya kami dibawa oleh Nabil ke sebuah restoran mamak di bandar Georgetown yang katanya popular di sini.

Hampir pukul 4.00 petang, barulah kami selesai makan. Wow, macam mana ni nak balik ke Merapoh! Bukannya dekat weh. Di restoran itu kami bersalaman kerana selepas ini aku, emak, isteri dan anakku akan terus balik ke Merapoh yang mengambil masa lebih kurang 6 jam perjalanan.

Insayaallah akan ada sambungan lagi... Sila klik untuk sambungan cerita ini.

Cuti yang sibuk

Seperti biasa apabila tiba musim cuti sekolah, aku sekeluarga akan balik ke kampung sama ada ke Merapoh kampung aku atau ke Melaka, rumah mak mertua aku. Cuti sekolah kali ini aku berasa lebih sibuk daripada biasa.

Hari Jumaat, 4 Jun 2010 iaitu hari terakhir sekolah sebelum cuti pertengahan tahun kali ini aku dah kena pergi ke Pulau Pinang. Selepas sembahyang Jumaat di Masjid Temerloh Jaya, aku bersama isteri dan anak terus bergegas ke Pulau Pinang. Walaupun sebelah paginya aku sudah penat mengajar tetapi aku gagahi juga untuk ke sana. Ini kerana itulah masa yang ada untuk membawa pulang emak aku ke Merapoh setelah berbulan mak aku berada di rumah cucunya Syamil di Pekan Darat, Butteworth, Pulau Pinang. 

Selepas ke Pulau Pinang nanti iaitu pada hari Ahad, aku akan bawa balik emak aku ke Merapoh seperti yang dipintanya. Petang Isnin pula aku akan balik ke Temerloh semula kerana aku kena mengajar untuk kelas tambahan pada hari Selasa. Kemudian, keesokannya iaitu pada Rabu, aku kena menghadapi peperiksaan PTK. Kemungkinan 4-5 hari selepas itu, aku akan balik ke rumah mak mertua aku di Sungai Siput, Melaka pula. Mak mertua aku pun bukannya sihat sangat kerana sudah berbulan dia menderita sakit di dalam perut tanpa diketahui punca yang jelas.

Perjalanan dengan menaiki kereta Proton Waja dari Temerloh ke Pulau Pinang ni bukan suatu perjalanan yang mudah. Aku terpaksa memandu lebih kurang 7-8 jam untuk sampai ke destinasi. Jika aku bertolak pukul 3.00 petang, lebih kurang pukul 11.00 malam barulah aku sampai ke sana. Itupun jika aku ikut laluan dari Janda Baik ke Batang Kali. Kalau ikut Kuala Lumpur, kemungkinan perjalanannya lebih lama lagi.   

Mak aku berada di Pulau Pinang kerana tak sampai hati melihat keadaan anak sulungnya iaitu abang bong yang dimasukkan ke wad Hospital Bukit Mertajam kerana kanser tekak. Walaupun mak aku sendiripun agak uzur tetapi dia gagahkan juga tinggal di sana kerana tak sampai hati meninggalkan anaknya yang sedang sakit teruk. Begitulah kasih sayang seorang ibu yang sudah menjangkau usia 84 tahun. 

Pemandangan dari tingkap Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas.  Walaupun membayar RM110, aku rasa berbaloi kerana biliknya memang Selesa dan menu sarapan yang disediakan pelbagai dan sedap.

Atas alasan untuk berehat secukupnya, aku memang sudah merancang untuk menginap di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas sahaja pada hari pertama di Pulau Pinang nanti. Kami masuk ke bilik hotel ini kira-kira pukul 11.00 malam. Selepas mandi dan solat jamak takhir, kami terus segera tidur kerana keletihan. Alhamdulillah padaku bilik ini cukup selesa dan aku tidur nyenyak hingga ke pagi. 

Semasa perjalanan dari Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas ke Butterworth, tanpa sengaja aku terjumpa  Restoran Ikan Bakar Din. Aku rasa tentu restoran ni istimewa kerana ramai sangat orang makan tengah hari di restoran ni. Akupun cari tempat parking kereta yg. sesuai kerana bukan senang nak cari restoran macam ni kan?  

Weh restoran ni memang istimewa! Tengoklah undang tu bapok besarnya. Tak pernah lagi aku makan udang besar tu. Restoran ni memang banyak menyediakan lauk yang dipanggang atau dibakar termasuklah sotong, daging, ayam, ikan dan lain-lain. Harganya biasa sahaja. Bolehlah try kalau sampai ke sana. 

Keesokan harinya kira-kira pukul 12.00 tengah hari, kami terus pergi ke Hospital Pulau Pinang untuk menziarahi abang bong yang di pindah ke wad hospital ini dari wad Hospital Bukit Mertajam. Sayang sekali aku tidak dapat masuk ke wad itu kerana waktu melawatnya ialah pada pukul 4 hingga pukul 7 malam. Sementara menunggu pukul 4, aku bawa anak isteri aku berjalan-jalan hinggalah ke Lapangan Terbang Bayan Lepas. 


Inilah pemandangan yang sempat aku rakamkan semasa menaiki feri untuk menyeberang ke Pulau Pinang. 

Aku agak terkejut juga melihat keadaan abang bong semasa menziarahinya pada petang itu. Dia kelihatan kurus dan cengkung. Dia tersenyum apabila terpandang kedatangan kami. Aku terus memeluk dan menciumnya. Aku berbual-bual dengannya tetapi tidak banyak perkara yang dapat kami bicarakan dalam keadaannya yang begitu. 

Kira-kira pukul 7 malam, aku keluar dari wad itu menuju ke rumah Syamil untuk menemui emakku. Lapang hatiku melihat emak berwirid di atas sejadah setibanya aku di situ. Aku sekeluarga makan malam di rumah Syamil sebelum ke rumah abang bong untuk tidur di sana. Kedatangan kami di rumah abang bong disambut oleh anak kembar perempuan abang bong yang selalu aku panggil kakak dan adik sahaja. Mereka sudah menyediakan sebuah bilik untuk kami berehat pada malam ini. Terima kasih!

Insyaallah, ada sambungannya… Klik sini untuk sambungan cerita seterusnya.

Jangan bergurau macam aku!


Sungguh seronok apabila tiba musim cuti sekolah. Biasanya pada masa tu ramailah anak cucu balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa, aki atau wan serta saudara-mara. Aku yang pada masa itu bersekolah di SM(U) Padang Tengku juga akan balik ke kampung pada musim cuti begini. Selalunya setibanya di rumah, aku akan bertanya kepada ibu bapaku siapa yang akan balik ke kampung pada cuti kali ini. Sememangnya aku mengharapkan abang atau kakak aku yang tinggal jauh akan balik ke kampung setiap kali musim cuti. Mak ayah aku mesti tahu kerana sebelum balik, mereka selalunya akan mengirim surat untuk memberitahu kepulangan mereka. Bolehlah nanti aku bermain dengan anak-anak saudaraku.

Pada masa tu abang bong sekeluarga tinggal di Padang Menora, Pulau Pinang kerana menjadi warden Asrama Perempuan Sekolah Menengah Agama Al Irsyad di situ. Kak De pula tinggal di Kuartes Polis Pulapah kerana suaminya bertugas di situ sebagai anggota polis. Kak andak pula mengikut suaminya tinggal di Taman Seri Skudai,  Johor. Manakala arwah abang teh sekeluarga pula tinggal di Taman Seri Andalas, Klang. Jadi, kakak dan abang aku ni memang tinggal jauh dari Merapoh. Jarang sangatlah kami dapat berjumpa kecuali pada masa-masa tertentu seperti pada musim cuti sekolah atau hari raya. Aku memang sentiasa mengharapkan mereka balik apabila tiba musim cuti atau hari raya. Rasanya tak sabar-sabar menunggu mereka tiba di kampung.

Jika mereka dapat balik, meriahlah sikit rumah kami. Aku boleh bawa anak saudara aku bermain, meronda dengan basikal atau motosikal, mandi sungai, ke kebun dan sebagainya. Masa tu anak saudara aku semuanya masih kecil lagi. Mereka ni ikut je jika aku ajak ke mana-mana. Merekapun memang seronok sangat apabila sesekali dapat balik ke kampung bertemu wan, aki, sepupu dan saudara-mara.


 
Dipendekkan cerita, ada sekali tu aku bawa anak abang bong iaitu Nabil, Asyraf dan Syamil pergi ke Gedung Ulu Kumbang. Aku bawa mereka ke sana supaya mereka dapat merasa naik rakit. Di gedung tu memang ada beberapa buah rakit yang ditambat di tebingnya. Aku tak tahu rakit siapa tetapi aku rasa tak apa jika guna sekejap rakit orang ni. Lepas guna nanti aku tambatlah balik rakit tu di tempat asalnya. 

Setibanya di tepi gedung, aku terus menyuruh anak-anak saudara aku naik rakit tu. Ketiga-tiga orang anak saudara aku ni memang tidak pandai berenang. Mereka semuanya masih sekolah rendah tetapi aku tak bimbang sangat sebab air gedung ni bukannya deras, sebaliknya mengalir tenang sahaja. Aku langsung tak berasa bimbang akan kemalangan yang boleh menimpa mereka apabila membawa mereka berakit ke tengah gedung tu. Keghairahan aku untuk bermain dan berseronok dengan mereka membuatkan aku terlupa untuk memikirkan risikonya.

Setibanya kami di tengah gedung, tiba-tiba aku terfikir nak mengenakan mereka pula. Aku terfikir nak biarkan mereka menggalah sendiri rakit tu ke tepi tebing. Aku nak tengok macam mana gelagat mereka mengawal rakit tu dari tebing. Ha, ha, tentu seronok melihat mereka terkial-kial nanti. Tanpa mereka duga, aku pun terjun dari rakit dan berenang menuju ke tebing. Aku biarkan sahaja mereka menjerit memanggilku dari atas rakit.
 
Di tebing gedung, aku memerhatikan gelagat mereka mengawal rakit tu untuk ke tepi tebing. Aku mula panik apabila melihat mereka mula menangis kerana ketakutan di atas rakit tu. Aku nampak mereka dah panik, berjalan ke depan dan ke belakang rakit hingga menyebabkan rakit seperti nak tenggelam. Tanpa berlengah, aku terus terjun ke gedung dan berenang ke rakit semula. Tak sangka pula aku mereka jadi takut begitu sekali. Lepas tu barulah aku terfikir jika rakit tu terbaliklah, bagaimana aku nak menyelamatkan mereka?...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mohlah ikut aku!

Catatan Popular

Mohlah jengok!

  • KELADI kemahang atau nama saintifiknya *colocasia esculenta* merupakan sejenis tumbuhan ubi jenis keladi daripada keluarga *araceae* yang lazimnya tumbuh...
  • Assalamualaikum kaum keluarga dan para sahabat, Silalah muat turun "Sejarah Kedah" oleh Haji Buyong Adil terbitan DBP tahun 1980 di sini. https://drive.go...
  • Cerita JJCM malam minggu; Petang sabtu, selepas puas berlegar -legar tanpa tujuan di OU Damansara, perut masing-masing mula berkeroncong terutama perut ...
  • Selamat tahun baru 2017. Semoga tahun 2017 ini akan membawa kejayaan kepada kita semua .
  • Pohpalehh.... Melantung baunye. Dah bubuh bagei gaye dak Awang. Tak amboh ilang jugek. Sabun cak kapok te dah pipih sentei dak Awang ghate ke seme badan ny...
  • Alhamdulillah hari ini dah masuk beberapa bulan aku bayar bulanan untuk rumah tu, walaupun macam berat nak bayar sebab rumah belum siap, tapi tanggungjawab...
  • Akademi Silat merupakan sebuah program realiti yang julung kali diterbitkan oleh TV AlHijrah pada tahun 2016 untuk menarik minat generasi muda mempelajari ...
  • Makmur Guesthouse turut menyediakan bilik-bilik untuk disewa. Bilik-bilik ini terletak di kawasan rumah pemilik. Lokasi Makmur Rooms adalah di Kampung Ba...
  • Harga Terbaru Tiket Tambang Bas 1 April 2015 Semua barang naik, harap gaji pun akan naik jugak ah...hahaha..doa banyak - banyak k...
  • Assalamualaikum Salam Dari Raja Beloot Saje nak bagitau yang aku... MASIH HIDUP LAGI Hahahahahahahahahahaha
  • *https://www.youtube.com/watch?v=IbldsUPVveo&list=UU4zhKrEaSXjd6pcVgCgGHwA&index=5* https://www.youtube.com/watch?v=MzqNnxmdTGk&list=UU4zhKrEaSXjd6pcVgCgGHw...
  • Assalamualaikum.. Saya rasa terpanggil untuk berkongsi sesuatu di sini tentang suami saya seorang penghidap "migrain" ...Saya tak pasti ,sejak bila dia mul...
  • Baru-baru ni ramai orang terutamanye yg duduk di Dekroh Bere tersedok kuih bila buletin utama memaparkan berita mengenai pencerobohan kawasan hutan seluas ...
  • 27 - 31 Dis 2012 - percutian musim sejuk. Apa taknya - kesejukan teramat sangat bawah 10 degre C.Sebelum berangkat, saya telah dimaklumkan untuk bersiap se...
  • *6 Disember 2012* *setelah selesai makan tengahari kami sekeluarga menunggu speed boat untuk kembali ke Sibu dan seterusnya kembali ke Semenanjung* * Ting...
  • ِإن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُ...
  • Assalamu alaikum. Selamat Hari Raya maaf zahir batin kepada semua kengkawan blogger. InshaAllah panjang umur saya akan kesini lagi. Take care. Pegi open h...
  • *KEBUN HAYAT* *menanam budi* *sekebun hayat* *tumbuh harapnya* *mekar kasih.* *menyiram kasih* *sekebun hayat* *mekar budinya* *seluas sayang.* *menuai ci...
  • بسم الله الرحمن الرحيم Al ikhlas Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; be...
  • Air hujan yang bersih dan segar akan mengalir ke sungai-sungai yang jauhnya berbatu-batu sebelum ia berkumpul dalam empangan di mana ia akan dirawat dan...
  • Untuk panduan yang pertama malam ni saya nak beri panduan berkenaan bagaimana ingin setting shoutmix agar masa yang tertera sama dengan jam yang ada di Mal...
  • Jumaat yang lepas, CP berpeluang menonton Teater Natrah Musim Kedua di Istana Budaya.. Sedikit sinopsis teater tersebut seperti di bawah: *Teater Natrah...
  • *...orang senang tambah-tambah senang ......(isi tempat kosong)* Kad Kredit 1. Pakai dulu bayar kemudian 2. Lambat Bayar Kena late charge dan kena intere...
  • *Boya* Korang kenal boya? Sejenis pengangkutan air yang digunakan untuk menyeberang sungai. Rupanya seperti sampan bersaiz besar dan diperbuar dari kelul...
  • Letter from India My dear Bala, I am in a well here and hoping you are also in a well there. I'm writing this letter slowly, because I know you cannot r...
  • Sumber: Malaysian Fishing Net Teman pernah kena usik masa kat Sungai Tekam, tempatnya selepas jambatan kedua Tasik Banding akan sampai ke simpang RPS Banun...
  • *Pemilihan besi untuk dibakar, untuk dibuat mata parang, perlu teliti. Antara yang aku sukai ialah papan chain saw. Ia perlu dbelah, dipotong ke bentuk yan...