Pelik2


Hasif berborak dengan wannya.
Banyak cerita orang-orang lama ni menimbulkan kepelikan kepada budak-budak!

Ok pagi ni aku nak sambung balik cerita pasal dua lagi menda pelik yang aku janji nak ceritakan tu. Pagi ini selepas solat subuh aku terus buka blog nak taip pasal cerita pelik tu. Sedang aku mengetuk-ngetuk keyboard, satu lagi menda pelik berlaku. aku terdengar bunyi budak meraung begitu kuat sekali. Anak siapa meraung ni? Nakal sangat, kena bahan dengan ayah dia agaknya.

Tiba-tiba aku terdengar budak memanggilku "Pak cik Midi!" Pak cik Midi! sambil teresak-esak. Aku selak langsir tingkap lalu nampaklah seorang budak umur dalam 6 tahun menangis di pintu pagar rumah aku. Pelik sungguh aku, hari masih gelap, buat apa budak tu kat situ!

Rupa-rupanya budak tu anak jiran selang tiga buah rumah dari rumah aku. Aku terus bertanya, kenapa dia menangis? Diapun ceritalah tetapi tak berapa jelas sebab dia sedang menangis. Abah takda! Abah takda! Berderau darah aku sebab aku sangka abahnya meninggal dunia mungkin kerana serangan jantung.

Tengah aku nak buka kunci pintu tiba-tiba budak tu belah macam tu je. Rupa-rupanya kereta abahnya entah dari mana sampai ke rumahnya. Dalam cahaya pagi yang masih samar-samar, aku nampak abahnya ok je keluar dari kereta. Pelik-pelik!

Itulah cerita pelik yang baru berlaku pada Subuh tadi. Sekarang aku cerita pula perkara pelik yang berlaku pada petang Khamis baru-baru ni. Lebih kurang pukul 6.30 petang, tiba-tiba aku terdengar seseorang memberi salam di hadapan pintu rumahku. Aku menjawab salam sambil menuju ke muka pintu.

Tanpa disangka rupa-rupanya seorang jaga di tempat aku bekerja datang ke rumah pada waktu senja itu. Mengapa tiba-tiba je dia datang ke rumahku senja-senja macam ni? Dia terus menyapa "Haaa cikgu, boleh saya masuk sekejap? Aku tersengih lalu pergi mengambil kunci pintu. Aku jadi hairan kenapa aku terbau masam sangat semasa dia bercakap tadi. Dia ni mabuk agaknya!

Apabila tiba di pintu semula, dia terus bercerita yang motosikalnya rosak dan sudah dua hari dia tidak datang bekerja. Anaknya juga sakit dan terpaksa dibawa ke klinik. Rupa-rupanya dia nak meminjam motosikal aku. Aku tersengih tanpa berkata apa-apa beberapa ketika sambil berfikir macam mana nak beritahu yang aku tak izinkan.

Akhirnya aku kata jelah "Maaflah! Tak boleh" Aku lihat mukanya berubah daripada tersenyum kepada muram sambil menunduk. Pada masa tu bau masam begitu kuat menusuk ke hidungku. Aku suspen apabila tangannya nampak memegang sesuatu di belakang pinggangnya. Mungkin pisau dan aku dah bersedia nak terajang je dia ni.

Aku lega apabila tiba-tiba dia beredar sambail berkata "Takpalah cikgu, saya balik dulu!" dengan suara yang sayu. Sedih juga aku tetapi nak buat macam mana, aku tak percaya langsung kepadanya apabila terhidu bau arak tu. Apatah lagi hutangnya rm80 denganku dah bertahun tak dipulangkan.  Sebenarnya aku dah kenal lama dengannya cuma aku tak berapa pasti perangainya macam mana. Apa yang aku dengar dia ni memang kaki botol.

Esoknya iaitu pada pagi Jumaat, aku mendapat tahu sebenarnya jaga ni dah bertukar ke Bukit Damar. Semalam dia ada bersalam dengan cikgu-cikgu lain sambil memberitahu hari ini adalah hari terakhir dia bertugas di sekolah ni. Oooh! kalau macam tu dia ni memang penipu besarlah. Mungkin dia dah merancang nak kebas motosikal aku tu. Alhamdulillah, selamat moto aku!

Satu lagi menda pelik berlaku di gerai Bukit Angin Temerloh semasa aku minum bersama kawan-kawan. Tengah berborak-borak terkejut aku bila dengar perempuna menjerit "Man mengamuk! Matilah, Man mengamuk" sambil menangis dan menuju ke gerai tempat kami minum. Perempuan tu terus masuk ke dapur gerai. Masa tu aku suspen juga takut ada orang datang mengamuk dengan parang datang ke gerai ni. Syukur hingga selesai minum, tiada orang mengamuk datang ke gerai tu.

Oklah itulah ceritanya. Isteri aku dah bising sebab sebenarnya pagi ni kami nak Shopping Hari Raya di KL. Bye.

Pelik

Inilah buah mangga depan rumah aku. Aku ingat pokok mangga ni jantan sebab tak berbuah-buah. Pokok mangga jiran aku tu berbuah lama dah. Alhamdulillah akhirnya berbuah juga dia.


Weh banyak juga perkara pelik yang aku saksikan bulan ni. Biasanya susah aku nak terjumpa perkara pelik ni tetapi bulan ni sampai tiga kali dah aku jumpa.

Petang tadi, satu lagi kejadian pelik aku saksikan. Lebih kurang pukul 5.30 petang tanpa disangka seorang kawan aku datang ke rumah. Masa tu aku baru bangun tidur. Aku ni memang selalu tidur petang. Kalau tak tidur, badan rasa letih semacam je.

Dia datang ke rumahku kerana nak belajar daripadaku tentang cara nak buat blog. Selain itu dia nak aku burn cd Windows 7 untuknya. Aku layan jelah kawan aku ni. Sebenarnya sebelum ini dah beberapa kali aku ajarnya membuat blog tetapi dia ni  tak reti-reti juga. Aku sendiripun naik malas dah mengajarnya tentang perkara yang sama. 

Lepas melayannya lebih kurang, akupun ajaknya mengeteh diluar. Aku naik kereta dia ke sebuah gerai berhampiran dengan rumahku. Masa mengeteh tu dia ada tanya aku tentang pokok mangga di depan rumahku yang adalah berbuah sebiji dua. Aku ceritalah pokok mangga aku tu berbuah sikit je tetapi pokok mangga jiran aku lagi banyak berbuah. Dia tanya juga macam mana nak buat jeruk mangga dan  cicah apa paling sedap untuk makan dengan mangga ni. Aku jawablah apa-apa yang patut sekadar yang aku tahu.

Lepas mengeteh dia terus menghantar aku balik ke rumah. Aku sampai di rumah lebih kurang pukul 7.00 malamlah. Semasa aku memberi salam di depan rumah aku, aku berpaling ke arah keretanya yang masih berada di hadapan rumahku. Pelik juga aku kenapa keretanya tak bergerak lagi. Keretanya rosak ke?

Tiba-tiba aku ternampak dia terbongkok-bongkok di bawah pokok mangga jiran aku dengan memegang beg plastik. MasyaAllah, dia mengutip buah mangga muda di depan rumah jiran aku rupanya. Ada ke patut nak buah mangga orang tetapi tak minta izin dahulu. Tak sekolah ke dia ni!

Aku mula berasa malu sebab takut jiran aku tersalah sangka yang aku menyuruh kawan aku mengambil buah mangganya. Kebetulan masa keluar kereta tadi aku menegur jiran aku tu yang baru balik dari bermain takraw. Lagi malu kalau jiran aku sangka kawan aku tu adalah sedara-mara aku. 

Itulah kejadian pelik yang baru sebentar tadi aku alami. Mana aku sangka kerana padaku kawan aku ni baik orangnya. Tak taulah kalau-kalau dia terlupa nak minta izin dahulu sebelum mengambil buah mangga tu. Tapi pelik jugalah kan? Takkanlah itupun boleh lupa!

Ada dua lagi kejadian pelik yang rasanya aku tak dapat cerita pada malam ini. Maaflah aku rasa mengantuk sangat dah. InsyaAllah malam esok aku cerita 2 lagi kejadian pelik tu.

Tahi ayam siapa ni?

Bacalah cerita ini yang sebelumnya. Klik!


Citarasa akulah, ayam kampung ni lebih sedap daripada ayam daging. Sekarang ni susah dah nak merasa ayam kampung

Rata-rata orang Merapoh semasa di kampung lama dahulu ada memelihara haiwan ternakan seperti ayam, itik, kambing, lembu dan kerbau. Ayah aku sendiri banyak memelihara itik dan ayam semasa tinggal di Ulu Kumbang.

Setiap pagi dan petang, ayah atau emak aku akan ke lambo (barenda) belakang  di sebelah dapur rumah kami untuk menabur padi atau butir jagung untuk ayam-ayam itu. Pada masa itu, aku masih kecil. Bagaimanapun aku berasa sungguh seronok apabila sesekali disuruh memberi makan ayam-ayam itu.

Manakala itik pula akan diberi sekam yang dibawa balik setiap kali selepas ayahku pergi memesin padi di kedai mesin padi Arwah Pakandak Harun. Ayahku hanya memelihara itik kampung. Seronok betul melihat gelagat itik dan ayam itu berebut makanan.

Selain  makanan itu, ayam itik ini juga mencari makanan di semak-samun di sekitar rumahku seperti ulat, belalang dan cacing tanah. Ayam dan itik itu nampak sihat sekali kerana mungkin telah mendapat makanan yang lebih daripada mencukupi.

Di belakang rumah, ayahku membina sebuah reban untuk ayam itiknya itu. Tanah yang luas di kawasan rumah kami membolehkan ayahku memelihara ayam dan itik tanpa banyak masalah. Begitu jugalah dengan orang lain. Mereka semua mempunyai halaman rumah yang luas. Kandang lembu atau kerbau juga banyak yang didirikan berhampiran dengan  rumah mereka. Jarak rumah penduduk kampung yang jauh antara setiap buah rumah membolehkan mereka memelihara sebarang jenis haiwan ternakan tanpa menimbulkan masalah kepada orang lain.

Keadaan ini berbeza apabila orang Merapoh berpindah ke RPS Merapoh. Kedudukan rumah yang terlalu  rapat menimbulkan pelbagai masalah untuk mereka memelihara haiwan ternakan. Halaman di sekeliling rumah yang terlalu sempit menyukarkan mereka untuk membina reban, apatah lagi kandang.

Mungkin kerana sudah biasa semasa di kampung lama, ramai juga yang memelihara ayam dan itik setelah berpindah ke RPS Merapoh. Walaupun tanah di kawasan rumah ini agak sempit dan kurang sesuai untuk memelihara ayam itik tetapi oleh kerana sudah menjadi kebiasaan mereka, masih ramai yang terus memelihara haiwan tersebut. Ini termasuklah ayahku.

Oleh sebab rumah itu belum disambung atau dibesarkan lagi, adalah sedikit ruang untuk ayahku membina reban untuk ayam dan itiknya. Bagaimanapun ayam itik ini kebanyakannya lebih suka tidur di luar reban seperti di dahan pokok buah-buahan di sekitar rumah. Akibatnya ada beberapa kali aku terkena atau terpegang tahi ayam semasa bermain di bawah pokok di halaman rumahku.   

Boleh dikatakan semua orang memelihara ayam itik semasa mula-mula berpindah ke perumahan ini. Kedudukan rumah-rumah di sini yang rapat menyebabkan ayam itik itu mudah masuk ke kawasan rumah orang lain. Biasalah ayam itik bukan reti bahasa. Rumah siapapun tidak terkecuali daripada dicerobohi oleh ayam itik ini.

Pada masa tu orang kampung khususnya di Merapoh memang membiarkan sahaja pintu dan tingkap rumah mereka terbuka pada siang hari walaupun pada masa itu mereka sedang berada di dapur atau tidur berehat pada waktu petang.  Mereka tidak risau tentang orang jahat yang datang menceroboh atau merompak rumah mereka kerana kejadian seperti itu amat jarang berlaku.

Oleh itu, kerap-kalilah ayam dan itik ni masuk ke rumah jiran dan berak di lantai rumah mereka. Apabila kejadian seperti itu kerap berlaku, tuan rumah naik geramlah kerana terpaksa mencuci tahi ayam, apatah lagi najis ayam orang lain. Ayam itik yang tak reti bahasa ini biasanya akan dibaling dengan batu, kayu dan sebagainya sambil disumpah seranah.

Tuan punya ayam itik ni mulalah berasa tersinggung apabila terdengar atau melihat ayamnya diperlakukan begitu. Malah, ada yang bertengkar kerana masalah ini hingga merenggangkan hubungan antara mereka.

Bagi yang menternak lembu pula, kandang lembu mereka perlu dipindahkan ke kawasan yang berdekatan dengan kawasan perumahan. Jika masih di kampung lama, besar kemungkinan lembu-lembu mereka akan dibaham harimau.

Seingat aku, ada juga lembu-lembu yang berkeliaran pada waktu malam lalu tidur di jalan-jalan di kawasan perumahan itu. Pada masa itu, kebanyakkan penduduk tidak memagar kawasan rumah mereka. Ini menyebabkan ada lembu-lembu itu masuk dan berkumpul di halaman rumah orang.

Sape salah? Lembu ke tuan lembu bila lembu berak tengah jalan.Ke salah jalan? 

Ini menyebabkan tompokan najis lembu merata-rata di lorong-lorong jalan perumahan tersebut. Lebih teruk lagi apabila melihat lembu berada dalam kawasan rumah kita dengan tahinya bersepah di sana-sini semasa membuka pintu rumah pada waktu pagi. Keadaan seperti inilah yang menyebabkan ada yang tidak sabar lalu menyimbah lembu-lembu itu dengan cuka getah atau dipakok dengan parang.

Kesian lembu-lembu yang tak berakal tu. Ia menjadi mangsa kerana kealpaan dan kemarahan manusia. Perkara seperti ini sudah tentu menimbulkan ketegangan ketidakselesaan kepada penduduk RPS Merapoh.

Akan bersambung lagi.... Baca seterusnya. Klik!

Kerlipan di RPS Merapoh

Klik untuk baca cerita sebelumnya.

Rindu pula rasanya nak menghidupkan lampu gasoline seperti yang biasa aku buat dulu-dulu apabila menjelang senja

Pada peringkat awalnya, kemudahan elekterik juga tidak disediakan di perumahan ini. Pada waktu malam, rumah-rumah di sini hanya disinari cahaya pelita dan gasoline. Setiap kali aku balik dari masjid setelah bersolat Isyak berjemaah, dapatku lihat kerlipan cahaya pelita atau gasoline di celah dinding atau di sebalik pintu rumah-rumah penduduk kampung.

Pada masa itu, lampu suluh menjadi alat wajib bagi setiap rumah. Ayah aku mesti menggunakan lampu ini untuk berulang-alik ke masjid pada waktu malam atau ke stesen kereta api pada jam 5.00 pagi apabila setiap kali hendak ke Kuala Lipis. Tergambar lagi pada masa aku hendak ke Kuala Lipis, cahaya lampu suluh penduduk kampung yang menuju ke stesen kereta api sayup-sayup kelihatanlah di sana-sini.

Tanpa elektrik dan lampu jalan, mereka perlukan lampu suluh kerana keadaan sekeliling gelap-gelemat. Hanya apabila bulan terang sahajalah jalan-jalan di perumahan ini dapat dilihat dengan lebih jelas tanpa memerlukan lampu suluh.

Masih dapatku bayangkan keindahan suasana malam di waktu bulan menerangi kawasan perumahan itu tetapi sayang sukar pula untuk diceritakan. Sekarang ni rasanya keindahan di waktu itu tidak dapat dinikmati sepenuhnya kerana telah dikaburi oleh lampu-lampu jalan di sana-sini.

Di kampung lama dahulu apabila selepas waktu Maghrib, hanya bunyi cengkerik kedengaran di sana-sini. Di perumahan ini pula, sehingga pukul 10.00 malam tidaklah sesunyi seperti semasa di kampung lama kerana masih kedengaran suara orang berbual dan sebagainya. Kedudukan rumah yang berdekatan antara setiap buah rumah membolehkan mereka berkumpul untuk berbual dan sebagainya terutama bagi golongan remaja.

Bagaimanapun tidak berapa lama selepas berpindah, keadaan malam di RPS Merapoh berubah sedikit apabila ada di antara penduduk kampung yang berkemampuan telah membeli generator. Aku juga dapatlah menikmati cahaya lampu mentol bulat yang digantung di beberapa tempat di dalam rumahku yang wayarnya disambung kepada generator Abang Idin, jiran yang juga saudara kami.

Setiap bulan kami akan membayar lebih kurang rm15 kepada Abang Idin kerana perkhidmatan tersebut. Walaupun generator ini dipasang hanya lebih kurang 5 jam sahaja iaitu dari pukul 7.00 hingga 12.00 malam tetapi ini telah banyak membantu memudahkan kerja di rumah seperti memasak dan sebagainya.

Macam pernah nampaklah... Rasanya beginilah generator seorang lagi jiran kami yang aku panggil Abang Ninggal. Engkol diperlukan untuk menghidupkan enjin ini. 

"Kena laju sikit pusing engkol tu weh! Kalau tak kuat mana nok iduk.... Aduh... lengoh bahu keh!"

Bukan kami sahaja, ramai lagi penduduk kampung yang berkongsi begitu. Satu generator biasanya akan membekalkan elektrik kepada dua atau tiga buah rumah. Justeru, suasana malam di perumahan ini berubah dengan deruman bunyi enjin di sana-sini sehingga lebih kurang pukul 12.00 malam.

Lumrahlah, ada juga yang mengelat apabila tanpa pengetahuan tuan punya generator, mereka menambah beberapa mentol lampu atau alatan elektrik lain seperti televisyen. Akibatnya enjin generator tersangkut-sangkut kerana terpaksa membekalkan tenaga elektrik melebihi keupayaannya. Adakalanya keadaan ini menimbulkan ketegangan antara penduduk.

Akan disambung lagi.... Baca lagi? Klik!

Berpindah ke RPS Merapoh

Kali ni aku nak cerita sedikit tentang keadaan sebelum dan selepas berpindah ke RPS Merapoh khususnya keluarga aku yang tinggal di Ulu Kumbang.

Ini gambar mak aku dengan cucu-cucunya setelah berpindah ke RPS Merapoh.
Arwah Faizal, Noraini, Faizah, Mak

RPS ni kalau tak silap ialah singkatan bagi Rancangan Penempatan Semula. Tujuannya adalah untuk menempatkan penduduk kampung dalam satu kawasan supaya kemudahan infrastruktur dapat disediakan dengan kos yang lebih berpatutan. Selain itu ladang kelapa sawit juga disediakan untuk penduduk sebagai punca pendapatan.

Di kampung lama iaitu kampung sebelum berpindah ke RPS Merapoh, orang kampung tidak dapat menikmati kemudahan seperti air paip, bekalan elektrik, dan jalan raya berturap kerana mungkin kemudahan itu memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk disediakan memandangkan jarak antara setiap buah rumah penduduk kampung yang agak jauh.

Sungai dan perigi menjadi sumber  untuk mendapatkan bekalan air, membasuh pakaian dan mandi-manda. Tidak hairanlah pada masa itu kebanyakkan rumah didirikan berhampiran dengan sungai.

Semasa aku kecil, masihku ingat ketika mandi di Sungai Ulu Kumbang sambil ditemani kicauan burung, deruan air yang jernih dan pemandangan pokok buah-buahan di dusun ayahku. Di sungai inilah tempat mak dan kakakku membasuh pakaian menggunakan sabun buku yang berwarna kuning. Setiap kali aku  turun ke sungai, baldi selalu dibekal oleh emak supaya dapat membawa balik air ke rumah bagi keperluan harian kami.

Semasa aku darjah 4 (1980), penduduk kampung di sekitar Merapoh mula berpindah ke RPS Merapoh. Kampung-kampung yang ada di sekitar Merapoh seperti Kampung Tebing Parit, Tagang, Tanah Pinggir, Persit, Kumbang Hilir, Kumbang Tengah dan Ulu Kumbang.

Alhamdulillah, kemudahan air telah disediakan di kawasan perumahan baru itu. Aku tidak perlulah ke sungai lagi untuk mandi dan sebagainya. Semenjak itu, kian hari sungai-sungai dan perigi-perigi di Merapoh mula kian sepi. Hanya sesekali sahaja aku ke sungai untuk bermain, mencari siput sedut atau menangkap ikan apabila tiba musim ikan naik.

Walaubagaimanapun kemudahan elektrik dan jalan berturap masih tidak disediakan lagi di perumahan itu. Jalan yang disediakan di kawasan perumahan ini hanyalah jalan tanah merah. Elok sedikitlah daripada denai yang selalu aku lalui semasa tinggal di Ulu Kumbang dahulu tu.

Menyusuri denai nan permai

Semasa di kampung lama, kami hanya berjalan kaki di denai-denai untuk pergi dari satu ke satu tempat. Jalan denai dari stesen keretapi Merapoh ke Ulu kumbang akan melalui tapak kawasan perumahan RPS Merapoh itu.

Seingat aku denai itu akan menempuh kawasan berair atau berpaya sebelum sampai ke satu simpang yang boleh menuju rumah Pakwe Li di sebelah kanan dan ke rumah aku di sebelah kirinya. Setibanya di kawasan berpaya itu, kami akan meniti di atas beberapa batang kayu yang digalangkan di antara lopak-lopak air di situ.

Dari simpang ini menuju ke rumah aku pula akan menempuh beberapa buah rumah seperti rumah Mat Colek, Aki Hamzah, De Tijah dan Wan Cu sebelum sampai ke rumah aku. Jauh juga aku berjalan kaki kerana jarak dari stesen keretapi itu ke rumah aku adalah kira-kira 2 km.

Jika aku cerita pasal denai-denai ni rasanya panjang sangat cerita nikan. Jadi aku terus cerita pasal jalan di perumahan Merapoh sewaktu perumahan itu baru di buka. Aku cerita sedikit pasal jalan denai ni hanya untuk menggambarkan keadaan jalan denai yang selalu aku gunakan semasa tinggal di Ulu Kumbang dahulu. Masa tu untuk pergi ke mana-mana hanya melalui jalan denai yang menempuh pelbagai rintangan seperti paya, parit, lecak, sungai dan sebagainya.

Ketika aku mula berpindah ke perumahan Merapoh, hanya jalan tanah merah disediakan di sini. Walaupun ia lebih lebar daripada jalan denai tetapi masih banyak kekurangannya. Jalan-jalan tanah merah di lorong-lorong perumahan itu akan berdebu apabila musim kemarau. Debu itu akan berterbangan ke merata tempat hingga mengotorkan segala apa yang ada di dalam rumah penduduk. Biasalah kalau baju putih budak sekolah nampak kekuningan akibat debu yang melekat di baju mereka.

Ketika musim tengkujuh pula, jalan ini menjadi becak dan berselut. Motosikal yang kekuningan dengan lumpur dan selut menjadi pemandangan biasa pada waktu itu. Tayar basikal atau motosikal pula sering terlekat di tengah jalan. Biasalah jika terlihat orang mencungkil tanah selut pada tayar kenderaan mereka di tengah hujan lebat. Walaupun hujan, mereka terpaksa keluar juga untuk mencari rezeki di kebun dan sebagainya. Jika tidak, tak berasaplah dapur mereka.

Akan bersambung... Klik untuk cerita selanjutnya.

Geruh



Seingat aku lebih kurang lima belas tahun dah aku memiliki kereta sendiri. Alhamdulillah kereta pertama aku ialah sebuah kereta terpakai jenis Toyota, model KE20 yang aku beli dengan harga rm2000 sahaja. Aku beli kereta ni daripada salah seorang kakak isteri aku. Walau bagaimanapun hampir rm2000 juga duit aku habis untuk mengecat dan membaiki kereta tu sebelum ia boleh digunakan tanpa masalah. Sekarang, jenis kereta ni sudah jarang dijumpai.

Sebenarnya masa tu aku dah  tak sabar-sabar lagi nak memegang stereng setelah berjaya mendapatkan lesen memandu. Padaku tak kiralah  kereta apapun asalkan dapat dipandu. Waktu itu iaitu penghujung tahun 1995, aku baru sahaja mendapat kerja tetap dengan gaji yang tidak seberapa. Jika dibandingkan dengan pekerja kilang di Kuala Lumpur, lumayanlah lagi gaji mereka.

Dengan gaji sebegitu, mana mampu aku membeli kereta baru. Zaman tu memang sukar mendapatkan pinjaman penuh untuk membeli kenderaan. Jika hendak kenderaaan baru mesti ada sekurang-kurang 5 atau 6 ribu sebagai duit muka. Itupun bergantung pada jenis kereta. Jika kereta yang mahal, banyak lagilah duit muka yang diperlukan.

Sekarang rasanya lebih mudah untuk memiliki kereta baru. Ramai orang yang baru bekerja sudah boleh membeli kereta baru dengan kemudahan pinjaman penuh daripada bank. Namun sendiri mau ingatlah. Makin banyak berhutang, makin banyaklah bayaran bulanannya. Jangan sampai gaji yang diterima itu habis tak sampai seminggu dek kerana membayar hutang sahaja. Ini memang ada berlaku dalam masyarakat kita.

Sepanjang aku memiliki kereta sendiri, pelbagai ragam pemandu yang aku jumpa. Ada yang memandu terlalu laju, memotong secara berbahaya dan sebagainya. Tidak kurang  juga yang memandu terlalu perlahan hingga menyusahkan pemandu lain.

Bagi aku orang yang memandu terlalu perlahan terutama di jalan raya yang sibuk lebih membosankan daripada orang yang memandu laju. Pemandu jenis ni biasa sangat aku jumpa. Ada ke patut bawa kereta 40km/jam sedangkan jalan raya lurus.

Sesetengah tu memang sengaja memandu begitu. Ada yang sedang asyik berbual sambil tersengeh-sengeh menggunakan handpone tanpa menghiraukan kereta lain yang dah berderet mengikut keretanya. Ini semua jenis manusia tak berotak. Sikap-sikap yang sebeginilah selalunya mengundang kemalangan di jalan raya.

Aku sendiripun sebenarnya dah beberapa kali terlibat dalam kemalangan ni. Setakat ini adalah tiga empat kali aku terlibat dalam kemalangan kecil dan sekali kemalangan yang agak serius. Kemalangan kecil yang aku maksudkan ialah kemalangan terlanggar lembu dua kali dan keretaku disondol lori kecil sekali. Semua kemalangan ini tidak menyebabkan kecederaan kecuali lembu. Lembu tu mungkin demamlah sehari dua disebabkan perlanggaran tersebut.

Kemalangan yang agak seriaus pula berlaku di bandar Temerloh. Entah macam mana silapnya semasa aku masuk simpang, tiba-tiba sebuah motosikal melanggar bontot kereta aku. Penunggang motosikal tu patah peha dan kaki. Kesian sungguh padanya tetapi nak buat macam mana, menda dah berlaku. Oleh itu aku dengan rela hati membenarkan dia menuntut insuran kereta aku untuk kos rawatannya di hospital. 

Itulah orang kata dah nak geruh. Kalau dah geruh, berhati-hati macam manapun tetap akan terkena juga. Bagaimanapun janganlah ini menjadi alasan kita untuk memandu sesuka hati. Berhati-hati itu tetap mesti diamalkan kerana Allah menyuruh kita sentiasa berusaha mengelakkan daripada bencana. Jika kita berusaha tetapi berlaku juga, kita bersabarlah kerana itu sudah ditakdirkan Allah.   

Baru-baru ni aku ada terserempak dengan satu kemalangan semasa aku pulang ke rumah mak mertua aku di Sungai Siput, Melaka. Berita kemalangan ini ada disiarkan dalam akhbar Sinar Harian. Inilah gambar-gambar yang aku ambil dari dalam kereta semasa melalui kawasan kemalangan tersebut.

Bayangkan jika kita berada dalam kereta tu.

Aku harap gambar ini akan dapat menginsafkan kita supaya memandu dengan lebih berhati-hati

Ini pula berita daripada akhbar Sinar Harian tentang kemalangan tersebut.

Lans Koperal maut bertembung lori tangki

JUASSEH – Seorang anggota polis berpangkat Lans koperal terbunuh selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, semalam.

Mangsa, Nordin Mohd Sharif, 51, anggota polis bahagian operator, Cawangan Logistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol mati di tempat kejadian akibat tersepit pada bahagian depan kereta dan mengalami kecederaan parah bahagian kepala. 

Jurucakap polis berkata, polis menerima maklumat kira-kira jam 2.45 petang dan siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku selepas kereta Perodua kancil yang dipandu mangsa dari arah Kuala Pilah hilang kawalan lalu memasuki laluan yang bertentangan sebelum merempuh bahagian kanan depan lori tangki terbabit. 

“Lori tangki berkenaan datang daripada arah Bahau menuju ke Kuala Pilah. Bagaimanapun, pemandunya tidak mengalami kecederaan. 

“Berdasarkan siasatan awal polis, lori tangki itu dipandu seorang lelaki berumur 47 tahun,” katanya. 

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kemalangan terbabit dan meminta saksi supaya tampil bagi membantu memberikan maklumat. 

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Pilah, Ahmad Akhir ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan telefon jam 2.38 petang dan bergegas di tempat kejadian dengan sebuah jentera bomba bersama enam anggota. 

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami dapati mangsa tersepit berikutan bahagian depan kereta remuk teruk dan kami berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira setengah jam kemudian,” katanya. 

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian.

Sinar Harian
11 Jun 2010 

Tidur di pusara itu.


Agak-agaknya beranikah anda tidur di tepi kubur pada waktu tengah malam yang gelap gelita. Misalnya semasa memandu di malam hari, sanggupkah kita melelapkan mata jika didapati tempat yang kita singgah untuk tidur sekejap itu berhampiran dengan tanah perkuburan. Saya rasa tak ramai yang sanggup tidur di tempat sebegitu lalu beredar mencari tempat yang lebih sesuai.

Mengapa kita berasa takut untuk berada di tepi kubur terutama pada waktu malam? Ramai yang berasa seram sejuk serta terbayangkan pelbagai rupa hantu atau syaitan yang amat mengerikan boleh muncul pada waktu itu. Aku sendiripun macam tu. Kalau setakat seorang berdua je yang ajak aku ke tanah perkuburan pada waktu malam, sudah pasti aku menolaknya.

Walaubagaimanapun jangan terkejut jika aku kata aku pernah tidur di tepi kubur pada waktu malam. Ini memang pernah aku lakukan pada tahun lepas. Aku pernah tidur di tanah perkuburan Kg. Sungai Temau kira-kira pukul 3.00 - 4.00 pagi. Aku hanya berasa sedikit takut tetapi aku dapat tidur di tanah perkuburan itu.






Dia ni tidur waktu siang. Aku tidur waktu malam lagi... Haa ada berani?

Tanah perkuburan Sungai Temau ni berada tidak berapa jauh dari stesen keretapi Sungai Temau. Ia terletak di kawasan hutan tetapi bersebelahan dengan ladang kelapa sawit Felcra. Tempat ni memang sunyi terutama pada waktu malam. Tiada rumah orang apatah lagi lampu jalan di kawasan itu. Bayangkanlah betapa gelap dan sunyinya tempat ini pada waktu malam. Rasanya siapalah yang nak tidur di situ kalau tidak kerana terpaksa.

Mahu atau tidak, ingatlah pada suatu hari nanti akan tiba masanya kita menjadi menghuni tempat itu. Kalau tidak mahu tinggal di situ dalam keadaan kesunyian dan ketakutan, bertaubatlah segera serta jadilah hamba yang taat kepada perintah Allah. Jika kita mendapat keampunan atau kerahmatan Allah, tempat ini akan menjadi tempat yang lebih baik daripada keadaan kehidupan kita di dunia. InsyaAllah!

Maaflah ye sebenarnya aku tidur di situ semasa pengkebumian arwah pak andak aku pada tahun lepas (2009). Aku menerima berita kematian pak andak lebih kurang pukul 6.30 petang. Aku tak menyangka dia pergi pada hari itu kerana sebelah tengah harinya aku sekeluarga ada datang menziarahinya yang baru dimasukkan ke wad hospital temerloh. Sebelum itu dia sudah hampir seminggu berada di wad hospital kuala lipis kerana pembedahan usus.

Lebih kurang pukul 10.00 malam, aku dan mak menumpang kereta abang cu untuk mengiringi jenazah arwah yang sudah siap dikapankan ke kampungnya di Sungai Temau. Setibanya di Jerantut, kami menunggu pula kereta beberapa orang anak dan cucunya yang sedang perjalanan dari kuantan. Agak lama juga menunggu di situ barulah kami meneruskan semula perjalanan.

Kami tiba di masjid Sungai Temau hampir pukul 3.00 pagi. Setelah jenazah disembahyangkan, ia terus dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Pada masa tu aku memang dah rasa mengantuk sangat. Semasa talkin dibacakan, aku beberapa kali tertidur sambil duduk mengadap pusara itu.

Ok itulah ceritanya. Sebenarnya aku tertidur kerana mengantuk sangat. Kalau tak mampus aku tak berani nak tidur kat situ walaupun pada waktu siang sekalipun.

Seksa

Peristiwa yang rasanya tak akan aku lupakan sampai bila-bila ialah peristiwa di mana aku hampir lemas di "jamban sekolah" Sungai Merapoh. "Jamban" ni bukanlah maksudnya tandas tetapi bermaksud satu tempat di tebing sungai yang menjadi tempat orang mandi-manda, mengambil air, membasuh pakaian dan sebagainya. Ada masanya di situ jugalah tempat orang "buang air".  Masa tu boleh dikatakan semua orang kampung mandi kat sungai. Umur aku masa tu kira-kira 10 - 12 tahun tapi tak pastilah.

Biasalah macam budak-budak lain, aku suka sangat mandi sungai. Kat situ kita orang main macam-macamlah seperti main sorok-sorok daun, kejar-kejar dan lain-lain lagi.

Ringkas cerita ada sebatang balak besar tumbang kat sungai tu. Kami selalu menyelam di bawah batang balak tu walaupun amat bahaya. Ruang tempat menyelam di bawah balak tu amat sempit  iaitu cukup-cukup untuk telus badan sahaja.

Pada suatu hari, entah macam mana semasa aku menyelam kat situ, seluar pendek aku tersangkut pada sesuatu. Mungkin seluar tu tersangkut kat dahan atau ranting patah yang banyak tertindih di bawah batang balak tu.

Inilah Jamban Sekolah di sungai Merapoh tempat di mana aku hampir lemas di bawah sebatang balak di dalam sungai tu. Sekarang ni orang dah tak mandi di sungai lagi menyebabkan sungai ni nampak terbiar sahaja. Dahulu rasanya sungai ni lebih cantik dan airnya lebih jenih.

Aku tersekat lalu  meronta-ronta sekuat tenaga untuk melepaskan diri. Alhamdulillah, Allah masih mahu memanjangkan umurku. Akhirnya seluarku terlepas lalu sepantas mungkin aku berenang ke atas permukaan air untuk bernafas. Banyaklah aku tertelan air weh! Aku rasa kalau lama sikit je lagi aku tersangkut kat situ, Innalillah lah aku.

Apabila timbul, aku terus sedut udara sedalam-dalamnya. Walaupun dah sedut udara sebegitu banyak tetapi aku rasa macam tak cukup lagi. Yelah, bekalan oksigen dalam badan atau darah  aku dah terlampau kurangkan. Aku bernafas tercungak-cungak beberapa minit sebelum dapat bernafas seperti biasa.

Selepas itu aku berasa amat letih sekali. Tak taulah nak bayangkan macam mana keaadan aku masa tu, dahsyat! Kawan aku semua pelik sebab mereka tak perasan aku tersangkut kat bawah balak tu. Peristiwa tu tak dapat aku lupa sampailah sekarang.

Tarzan Di Merapoh


Kat merapoh ni dikelilingi gua batu kapur . Antaranya Gua Layang, Gua Bekong, Gua Tagang, Gua Lima dan lain-lain lagilah. Aku selalu teruja nak daki gua ni. Normallah kan? Budak-budakkan suka nak mencuba dan mengalami sesuatu.

Jadi, pada suatu hari, aku berpakat dgn beberapa kawan untuk mendaki gua layang, dekat dgn sekolah rendah. Kami pun daki ikut laluan yg rasa-rasanya boleh sampai ke puncak gua tu. Kami mendaki ikut satu lereng di gua tu. Ada masanya kami memanjat dan bergayut pada batu-batu yg. tajam tanpa sarung tangan atau berlapikpun. Adakalanya pula kami berpaut pada akar-akar kayu yg banyak berlingkaran di celah-celah batu gua tu. Apabila hampir ke puncak, kami berehat di satu kawasan yg agak rata.

Semasa berehat di situ, tiba-tiba selipar aku mengelonsor ke satu lurah. Tanpa berfikir panjang aku pergi mengejar selipar tu kerana takut ia terjatuh ke gaung. Masa tulah aku tergelincir atau tergelonsor sekali. Rupanya tanah di situ seperti berpasir. Aku panik dan cuba menahan atau memegang sesuatu supaya tidak terus jatuh ke gaung itu. Dalam kelam-kabut serta rasa tiada harapan lagi, terdetik di hati, "matilah aku...!"

Syukur Alhamdulillah, nyawa aku masih panjang. Dalam keadaan kelam kabut tu, tanganku tercapai sebatang anak pokok. Aku berpaut pada anak pokok tu dengan cemas kerana takut akarnya tercabut. Kawan-kawan aku hanya memandang, tak tahu macam mana nak menolong agaknya. Masing-masing cemas memerhatikan aku. Dengan berwaspada, aku mendaki naik dan Alhamdulillah aku selamat juga sampai ke atas. Selepas tu, aku termenung sekejap memikirkan perkara yg. baru berlaku.

Walaupun selipar tak dapat di selamatkan tapi biarlah. |Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan umurku. Yang hebatnya kami terus mendaki hingga sampai ke puncak.

Inilah pemandangan Gua Layang dari atas jejambat dekat stesen keretapi Merapoh. Kenangan aku hampir terjatuh ke gaung di gua itu masih menggetarkanku apabila sesekali terkenangnya. 

Inilah tempatmu


Pada malam itu aku ada kerja sikit yang perlu dibereskan. Dua laptop perlu aku format dan install semula setelah hampir seminggu tertangguh kerana pelbagai urusan. Cikgu yang menghantar laptopnya padaku dah dua tiga kali bertanya tentang laptopnya. Malu juga aku kalau lama sangat menyimpan laptopnya itu. Mungkin mereka perlukan laptop itu segera untuk menyiapkan tugas-tugas penting.

Sedang aku leka dengan kedua-dua laptop tu tiba-tiba aku terdengar bunyi handpone isteriku berbunyi. Tidak lama kemudian jelas kedengaran tangisan isteriku di bilik tidur. Terdetik hatiku, apakah peristiwa buruk yang telah berlaku sehingga isteriku menangis. Apakah yang berlaku kepada ibunya yang sedang mengidap kanser? Pelbagai persoalan timbul di benak hatiku tetapi ku diamkan sahaja.  Jam dinding di ruang tamu menunjukkan pukul 12.10 malam.

Sejurus kemudian isteriku menolak pintu bilik lalu memberitahu yang abang mat baru sahaja menghembuskan nafas yang terhakhir. Abang mat ialah suami kepada kakak sulungnya. Umurnya baru menjangkau 54 tahun. Seminggu sebelum ini kami ada balik ke Melaka dan aku lihat dia sihat dan berkeadaan seperti biasa. Terkejut juga aku, apakah yang telah berlaku?

Aku termanggu seketika memikirkan apakah tindakan yang harus aku lakukan. Kemudian, aku menyuruh isteriku bersiap untuk pulang ke rumah mak mertuaku di Sungai Siput, Lubuk China, Melaka. Perjalanan dari rumahku di Temerloh Jaya ke sana biasanya akan mengambil masa 3 jam lebih jika mengikut jalan Triang Kemanyan, Serting, Kuala Pilah hingga ke Tampin.

Walaubagaimanapun setelah berbincang dengan isteriku, aku mengambil keputusan untuk mengikut lebuh raya ke Kuala Lumpur. Rasanya ikut jalan ini lebih selamat memandang pada waktu itu hari sudah awal pagi. Dengan mengikut jalan ini, masa perjalanan akan bertambah lebih 1 jam. Takpalah, yang penting kami rasa lebih yakin apatah lagi jika terjadi suatu yang tidak dijangka seperti tayar pancit dan sebagainya seperti yang pernah berlaku di Felda Kechau dahulu.  

Hampir pukul 1.00 pagi barulah kami bertolak dari rumah. Aku mula rasa mengantuk tetapi ku gagahi juga apabila melihat isteriku tidak henti-henti teresak. Setelah hampir sejam memandu akhirnya aku berhenti untuk tidur selepas tol Karak. Oleh kerana mengantuk, lebih 7.00 pagi barulah aku sampai ke rumah mertuaku. Aku terpaksa berhenti di beberapa tempat lagi untuk tidur. Kalau paksa memandu juga, aku takut kemalangan pula nanti.Kami solah subuh dan minum di  R&R Nilai.

Sepanjang perjalanan, aku dan isteri selalu berbual tentang kematian. Semakin hampir ke rumah mertuaku, semakin berdebar hati ini kurasa. Setibanya di perkarangan rumah mertuaku, kereta telah banyak di situ hingga aku terpaksa mencari tempat parking yang lebih jauh.


Sejurus membuka pintu kereta, aku terus melangkah ke rumah mertuaku. Jelas kelihatan sekujur tubuh terbaring diselimuti kain di ruang tamu semasa melangkah di pintu rumah.  Beberapa orang kelihatan membaca Yassin untuk arwah. Aku terus sahaja ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Kemudian, aku terus ke sisi jenazah untuk membaca Yassin. Aku pandang wajah abang mat yang ditutupi kain jarang. Dapatku lihat di balik kain itu mukanya pucat dan kaku.

Begitulah kehidupan ini. Makhluk yang hidup pasti akan binasa. Apa yang ada pada kita? Semuanya hanya pinjaman. Harta, pangkat, muka yang elok, ilmu, kepandaian, kecerdikan dan sebagainya semuanya anugerah Allah.

Sebagaimana abang mat, begitulah akan kita lalui nanti. Jika melihat pada keadaan abang mat, tiada siapa menyangka dia akan pergi. Sebelah pagi dia boleh melakukan rutin hariannya seperti biasa. Pergi ke kedai, datang ke rumah mertuanya, membeli surat khabar dan kuih dan sebagainya. Tanpa di duga sebelah malamnya dia pergi untuk selama-lamanya dengan hanya tampak sakit dalam masa tidak sampaipun 3 jam.

Apa guna kesombongan ini? Apa yang ada padamu? Apa yang boleh kamu lakukan? Lihatlah lubang kubur itu. Sempit dan sendirian. Mampukah kita menghalanginya. Emmm tidak sama sekali bukan? Beranikan kamu membuat onar sedangkan sudah pasti kamu akan tewas di lubang yang sempit itu. Insaflah...  

Mengapakah begitu ramai yang bongkak dan berbuat maksiat sedangkan dia tahu dia tidak berdaya langsung suatu hari nanti. Adakah dia menyangka apa yang dia dapat daripada usahanya? Jika itulah anggapannya, cubalah usahakan daripada terlepas daripada mati.  Pergi jahanamlah sama bongkak itu. Aku ingin menjadi hamba yang amat merendah diri padamu Ya Allah. Selamatlah aku daripada seksaanmu. Kasihanilah hambamu yang lemah ini.

Jadi imam


Selain daripada cerita imam membaca khutbah tersalah baca komited, tersebut kometot, isteri aku juga ada cerita tentang seorang imam yang terlupa baca Fatihah. Cerita ni juga berdasarkan pengalaman cikgu anak saudaranya Mira. Tak taulah cerita ni betul atau tidak. Cerita ini juga tidak kurang lucunya kepadaku. 

Pernah tak anda mengalami stuasi di mana perlu menegur Imam semasa solat berjemaah. Aku pernah juga sekali dua menegur dan di tegur semasa solat berjemaah tetapi itu semasa zaman persekolahan dulu. Masa tu ada juga aku sesekali menjadi imam di surau asrama. Sekarang ni, berada di saf pertama pun jarang, apatah lagi menjadi imam di surau atau masjid.

Ceritanya begini, pada suatu hari cikgunya bersama kawan-kawan pergi sembahyang berjemaah di sebuah surau. Mungkin mereka dalam perjalanan ke sesuatu tempat. Salah seorang daripada  kawannya menjadi imam solah tersebut.

Ketika sedang solah, entah macam mana kawannya yang menjadi imam tu terus membaca 'Tabbattiyadaa abilahabiwwatab' tanpa mebaca surah Fatihah terlebih dahulu. Salah seorang daripada mereka tegurlah dengan menyebut 'Subhanallah....' Mendengar amaran itu maka imam mengulangi bacaan itu semula kerana sangkanya mungkin dia tidak membaca ayat tersebut dengan betul.

Makmum menyebut lagi 'Subhanallah' supaya imam tersebut menyedari yang dia perlu membaca Fatihah dahulu tetapi dia masih tidak faham maksud teguran itu dan cuba membetulkan bacaan Surah Lazim itu lagi. Keadaan itu berlaku beberapa kali.

Akhirnya mereka berhenti menegur dan ada yang tergelak apabila imam mengubah bunyi bacaannya menjadi 'Tebbettiyedee abilahabiwwatab.' Selepas itu imam terus berhenti sembahyang dan terpaksalah mereka solah sekali lagi.

Ha ha itulah macam-macam ragam manusia ni. Kalaulah cerita ni betul sudah tentu kawan cikgunya jenis kuranglah ilmu agamanya. Kalau tidak takkanlah dia main bantai je ubah bunyi bacaan ayat tu. Ingatlah kalau nak jadi imam tu biarlah berilmu. Nanti kena macam ni kan naya!

Ok, sebenarnya aku cerita ni untuk berkongsi pengalaman lucu yang mungkin pernah berlaku dalam kehidupan seharian kita. Anggaplah ini sebagai hiburan je ok!

Kometot

Pada suatu hari semasa aku berada rumah mak mertua aku kat Melaka, tiba-tiba je isteri aku datang dekat aku sambil tergelak terkekeh-kekeh. Rupa-rupanyanya dia baru mendengar satu cerita daripada anak saudaranya Mira tentang pengalaman benar seorang cikgunya semasa khutbah Jumaat. Dia nak ceritalah padaku pula cerita yang sangat menggelikan hatinya tu.

Ha ha ha akupun tergelak sakan hingga keluar air mata apabila mendengar cerita tu. Padaku cerita itu amat melucukan. Rasanya kalaulah aku ada di situ semasa kejadian, mungkin akupun sama tak dapat menahan ketawa.


Menurut ceritanya, kejadian lucu ni berlaku di sebuah masjid semasa imam sedang membaca khutbah Jumaah. Imam yang membaca pada kali itu sudah berumur. Setelah beberapa minit imam membaca khutbah, tiba-tiba je imam tu tergagap-gagap. Semua makmum memberi tumpuan untuk mendengar apa sebenarnya yang ingin disebut oleh imam tersebut.

Imam tu menyebut koo.. kooo... .... komee.  ko..metot! Apabila terdengar je imam tu menyebut kometot, ramai makmum yang tak dapat menahan ketawa walaupun mungkin masing-masing sudah mencuba untuk menahannya. Makmun tahu bahawa sebenarnya perkataan yang sepatutnya disebut oleh imam itu ialah komited tetapi disebutnya kometot pula. Maklumlah imam dah tua, dia mungkin tak biasa dengan istilah ini, lebih-lebih lagi apabila ejaannya dalam tulisan jawi.

Sehinggakan semasa solat, masih terdengar sikit-sikit orang terketawa termasuklah cikgunya kerana teringat peristiwa tu.

Agaknya pada hari tu ramailah orang yang terbatal solat Jumaat kerana Imam salah menyebut komited tetapi tersebut kometot!

Wallahuaklam!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mohlah ikut aku!

Catatan Popular

Mohlah jengok!

  • 9 March 2024 Sabtu. Santai2 je gi melaka . short vacation 2 hari 1 malam . gi berlapan ngan anak, menantu, besan dan cucu. Gerak dari bangi dalam ku...
  • [image: TRADISI MENUBA IKAN SUNGAI PAHANG 1930AN] [image: TRADISI MENUBA IKAN SUNGAI PAHANG 1930AN] [image: TRADISI MENUBA IKAN SUNGAI PAHANG 1930AN] [ima...
  • Halo…Slot Mudah Menang (nonton channel Youtube Slot Mudah Menang)…nice to meet you bagi seluruh pembaca blog ini. Bersama ini penulis sharing informasi pen...
  • بسم الله الرحمن الرحيم Ibu mengandung mati dibunuh... kejamnya manusia... UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPAT...
  • [image: https://drive.google.com/file/d/1gARq5pZPyhDgD94uQfTTxQGasdWyWma6/view?usp=sharing] Assalamualaikum kaum keluarga dan para sahabat semua. Sila klik...
  • *Seei Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2020 SK St Mary Kuala Lumpur* *Tarikh : 6.3.2020* *Hari : Jumaat * *Tempat : Dewan St Mary*
  • *Ogawa BG330DT Brush Cutter * Tu dia brand or model mesin rumput yang aku beli baru baru ini. Ini hasil mentelaah pak cik google dan menginterview abam aba...
  • selamat mengundi pada 9 mei 2018
  • APO DAH JADI BLOGSPOT NI MARIN KOBA NAK TUTUP TGK2 ADO LAIE SERUPO IDUP SOGAN MATI TAK MAU TAPI LOBIH TORUK DARI PARTI SUCI TERKONTUT PUN TIDAK..SENDAWO P...
  • Pohpalehh.... Melantung baunye. Dah bubuh bagei gaye dak Awang. Tak amboh ilang jugek. Sabun cak kapok te dah pipih sentei dak Awang ghate ke seme badan ny...
  • Makmur Guesthouse turut menyediakan bilik-bilik untuk disewa. Bilik-bilik ini terletak di kawasan rumah pemilik. Lokasi Makmur Rooms adalah di Kampung Ba...
  • Assalamualaikum Salam Dari Raja Beloot Saje nak bagitau yang aku... MASIH HIDUP LAGI Hahahahahahahahahahaha
  • Assalamualaikum.. Saya rasa terpanggil untuk berkongsi sesuatu di sini tentang suami saya seorang penghidap "migrain" ...Saya tak pasti ,sejak bila dia mul...
  • Baru-baru ni ramai orang terutamanye yg duduk di Dekroh Bere tersedok kuih bila buletin utama memaparkan berita mengenai pencerobohan kawasan hutan seluas ...
  • 27 - 31 Dis 2012 - percutian musim sejuk. Apa taknya - kesejukan teramat sangat bawah 10 degre C.Sebelum berangkat, saya telah dimaklumkan untuk bersiap se...
  • *6 Disember 2012* *setelah selesai makan tengahari kami sekeluarga menunggu speed boat untuk kembali ke Sibu dan seterusnya kembali ke Semenanjung* * Ting...
  • ِإن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُ...
  • Assalamu alaikum. Selamat Hari Raya maaf zahir batin kepada semua kengkawan blogger. InshaAllah panjang umur saya akan kesini lagi. Take care. Pegi open h...
  • *KEBUN HAYAT* *menanam budi* *sekebun hayat* *tumbuh harapnya* *mekar kasih.* *menyiram kasih* *sekebun hayat* *mekar budinya* *seluas sayang.* *menuai ci...
  • Air hujan yang bersih dan segar akan mengalir ke sungai-sungai yang jauhnya berbatu-batu sebelum ia berkumpul dalam empangan di mana ia akan dirawat dan...
  • Pemandangan depan rumah Mertua AbgAji di kampung. Takda rezeki balik kali ini semua buah-buahan belum masak lagi. Perdu buluh(baka rebung madu) yang bar...
  • Untuk panduan yang pertama malam ni saya nak beri panduan berkenaan bagaimana ingin setting shoutmix agar masa yang tertera sama dengan jam yang ada di Mal...
  • Jumaat yang lepas, CP berpeluang menonton Teater Natrah Musim Kedua di Istana Budaya.. Sedikit sinopsis teater tersebut seperti di bawah: *Teater Natrah...
  • *...orang senang tambah-tambah senang ......(isi tempat kosong)* Kad Kredit 1. Pakai dulu bayar kemudian 2. Lambat Bayar Kena late charge dan kena intere...
  • *Boya* Korang kenal boya? Sejenis pengangkutan air yang digunakan untuk menyeberang sungai. Rupanya seperti sampan bersaiz besar dan diperbuar dari kelul...
  • Letter from India My dear Bala, I am in a well here and hoping you are also in a well there. I'm writing this letter slowly, because I know you cannot r...
  • Sumber: Malaysian Fishing Net Teman pernah kena usik masa kat Sungai Tekam, tempatnya selepas jambatan kedua Tasik Banding akan sampai ke simpang RPS Banun...
  • *Pemilihan besi untuk dibakar, untuk dibuat mata parang, perlu teliti. Antara yang aku sukai ialah papan chain saw. Ia perlu dbelah, dipotong ke bentuk yan...