Ingin ikuti cerita ni dari mula? Sila klik!
Sedapnya gulai lemak daging salai ni. Di Temerloh banyak lagi kedai makan yang menyediakan masakan daging salai ni. Silalah berkunjung ke Temerloh jika nak merasa. Carilah warung-warung di tepi sungai Pahang atau warung tepi jambatan Sungai Pahang, InsyaAllah jumpa.
Zaman aku tinggal di Ulu Kumbang, mak aku tak boleh nak menyimpan lauk lama-lama. Kalau dapat lauk terlalu banyak sangat seperti dapat ikan berguni semasa ikan naik, mak aku akan perkasam atau salai ikan tu supaya menjadi lebih tahan lama.
Jika hanya untuk tahan dalam sehari dua sahaja, ikan itu akan digaul dengan sedikit asam gelugur dan garam sebelum direbus dengan hanya sedikit air sehingga hampir kering. Dalam masa sehari dua tu bolehlah ikan tu tahan untuk digoreng atau digulai tanpa basi atau rosak. Rasa ikan tu pula padaku lebih sedap kerana kemasam-masaman sedikit rasanya.
Selain itu, ada juga ikan-ikan tu mak aku buat sambal atau serunding. Bolehlah bertahan lauk tu hingga berminggu lamanya. Begitu jugalah kalau ada daging berlebih, daging tu akan disalai hingga betul-betul kering supaya ia masih boleh dimakan walaupun sudah berminggu.
Bagi sayur-sayuran dan buah-buahan pula, tiada cara lain yang boleh dibuat untuk menyimpan menda-menda ni supaya tahan lama. Dalam dua atau tiga hari, menda ni akan kecut atau rosak jika tidak habis dimakan. Setahu aku hanya sayur maman sahaja yang boleh boleh dijeruk. Maman jeruk ni bolehlah tahan dalam sebulan sebelum ia rosak jika tidak dimakan atau di gulai lagi.
Setelah berpindah ke RPS Merapoh, dalam beberapa tahun tu cara mengekalkan keelokkan makanan ini masih tetap tidak berubah kerana orang Merapoh tidak boleh menggunakan peti sejuk lagi. Bagaimana nak membeli peti sejuk jika sumber elektriknya daripada generator persendirian yang dipasang selama empat lima jam sehari sahaja.
Aku tak pasti bila bekalan elektrik 12 jam mula beroperasi di RPS Merapoh. Rasanya semasa aku dalam tingkatan 4 (1987), bermulalah bekalan elektrik selama 12 jam di perumahan itu. Elektrik hanya dibekalkan pada waktu malam sahaja iaitu bermula pukul 7 malam hingga 7 pagi setiap hari. Dengan kemudahan ini, semakin hari semakin ramailah orang Merapoh membeli pelbagai peralatan elektrik seperti peti sejuk, radio besar, tv warna dan sebagainya.
Suasana perumahan itu telah berubah dengan kemudahan ini. Lampu-lampu jalan mula menerangi jalan-jalan diperumahan itu. Bunyi generator persendirian sudah tidak kedengaran lagi pada waktu malam. Gangguan bunyi mesin itu seperti telah berakhir kerana beberapa buah generator besar yang digunakan untuk membekalkan elektrik selama 12 sehari pula terletak agak jauh daripada perumahan itu.
Peti sejuk adalah antara peralatan yang paling dahulu dibeli oleh penduduk perumahan itu kerana keperluannya untuk menyimpan makanan. Selain itu, bilangan orang yang memiliki tv juga semakin bertambah menyebabkan budaya berkunjung ke rumah orang untuk menonton tv semakin terhakis.
Di rumah aku sendiripun sudah mula ada peti sejuk, mesin basuh dan tv. Radio pula memang dah lama ada sumbangan daripada Abang Teh aku. Aku hormat betul ke arwah abang teh ni kerana padaku dia ni seorang yang sangat ingat untuk membantu keluarga terutama mak ayah. Memang banyaklah sumbangan dia ni lebih-lebih lagi daripada segi kewangan terutamanya semasa membantu membesarkan rumah ayahku diperumahan itu. Semoga rohnya dicucuri Rahmat Allah.
Pada tahu 1992 lebih kurang, bekalan elektrik 24 jam sehari mula diterima oleh penduduk Merapoh. Lama juga tempohnya kami menggunakan kemudahan elektrik 12 jam sebelum menerima bekalan elektrik berterusan sepanjang masa ni. Setelah itu, macam tiada masalah langsunglah orang perumahan ni menggunakan pelbagai peralatan seperti orang di bandar. Ada juga yang memasang pendingin hawa di rumah mereka. Canggih...
Selain itu, ramai juga yang berminat dengan radio besar-besar. Biasalah aku dengar orang pasang radio kuat-kuat mengikut lagu kegemaran masing-masing. Ada yang pasang lagu nasyid, lagu rock yang memang popular masa tu, lagu hindustan, dangdut dan termasuklah juga lagu dikir barat. Pening juga kepala aku apabila mendengar bermacam-macam lagu yang dipasang kuat ni.
Sebelah kanan rumah pasang lagu nasyid klasik atau hindustan, sebelah kiri rumah pula pasang lagu dikir barat atau slow rock melayu, rumah lain pulak pasang lagu dangdut dan dikir barat. Peliknya ada yang beli speaker copong letak menghala keluar rumah. Macam-macam pesen orang ni, macam nak bertanding "bunyi radio paling kuat" je.
Kadang-kadang rasa nak marah juga. Macam ayah akulah, petang-petang dia ni nak berehatlah sekejap. Biasanya adalah dalam setengah jam dia tidur sebelum waktu Asar. Mana boleh tidur weh kalau macam-macam bunyi radio sekeliling rumah. Nak tegur karang takut jadi bergaduh pula. Akhirnya buat pekak jelah. Cuba fikirlah kalau orang ada anak kecil, atau orang sakit, tak kesian ke?
Ada juga pasang radio kuat macam nak berlawan dengan laungan azan. Ingat-ingatlah ye, kuat macam manapun bunyi radio kita, kuat lagi bunyi pekikan malaikat Mungkar dan Nangkir.
Akan bersambung... Baca lagi? Klik!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan