Pemandangan Stesen Kereta api Merapoh dari jejambat ke Perumahan Merapoh (Ogos 2010)
Weh hingga tahun 70-an, susah sungguh kalau nak keluar ke mana-mana dari Merapoh ni. Jalan yang menghubungkan Merapoh ni dengan bandar-bandar seperti Kuala Lipis dan Gua Musang hanyalah jalan keretapi. Kalau nak pergi ke bandar lebih besar seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur, Butterworth atau Kota Bharu pula kena naik keretapi mel yg. lalu sekali sahari. Selain itu keretapi local pula disediakan untuk perjalanan ke kampung-kampung di sepanjang jalan keretapi antara Pekan Gua Musang hinggalah ke Gemas.
Satu-satunya cara orang Merapoh nak keluar ke bandar pada masa itu ialah melalui jalan keretapi.
Seingat aku, keretapi local yang pertama lalu setiap hari ke Kuala Lipis tiba pada pukul 5.00 pagi. Keretapi seterusnya pula pada pukul 11.00 pagi dan yang akhir sekali yang digelar keretapi ikan tiba pada pukul 3.00 petang. Selain itu, keretapi mel dari Tumpat ke Kawasan Pantai Barat pula tiba di Merapoh ni kira-kira pukul 5.30 petang.
Manakala untuk ke Gua Musang pula, keretapi local terawal untuk ke sana tiba di Merapoh dari Kuala Lipis pada pukul 7.30 pagi. Keretapi seterus tiba pada pukul 1.00 petang dan 4.30 petang. Keretapi Mel dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru untuk ke Tumpat pula tiba di Merapoh kira-kira pukul 9 pagi. Begitulah jadual ketibaan keretapi di Merapoh pada masa itu jika aku tidak silap.
Jalan masuk ke Taman Negara melalui jalan Merapoh terletak bertentangan dengan Stesen Keretapi Merapoh.
Mungkin jadual tu sekarang ni dah banyak berubah. Dengarnya keretapi ekspres pun 2-3 kali berhenti di Merapoh ni untuk menurunkan pelancong yang hendak ke Taman Negara. Akupun tak pasti sebab dah berpuluh tahun tak naik keretapi sejak pakai kereta sendiri ni.
Stesen Keretapi Merapoh ( 2010 )
Jika kami hendak ke Kuala Lipis dengan keretapi pagi, aku akan dikejutkan oleh mak ayah seawal 4.00 pagi lagi. Bayangkan mengantuknya masa tu tetapi dilawan sahaja kerana itulah peluang sekali sekala keluar ke bandar.
Selepas membasuh muka dan bersiap, kami terus ke 'slow’ untuk menunggu keretapi yg. dijadualkan tiba pada pukul 5.00 pagi. Berbekalkan lampu picit (lampu suluh) atau adakalanya menggunakan karuk (nyalaan dari buluh), kami meredah denai melalui belukar dan kebun getah untuk ke slow. Masa tu sejuk tak terkatalah. Habis muka aku basah kerana meredah embun di kegelapan pagi itu.
Stesen Kereta Api Kuala Lipis ( Ogos 2010 )
Jarak antara Merapoh dengan Bandar Kuala Lipis ni agaknya 100 km. Kira-kira pukul 7.00 pagi, tibalah kami di Kuala Lipis dengan menaiki keretapi pagi ni. Biasanya di sepanjang perjalanan tu, aku tidur jelah di atas kerusi berspan yg. berwarna hijau atau merah. Greeeng!, greeeng! bunyi getaran kipas syiling di dalam gerabak keretapi tu bersama malap cahaya lampu keorenan serta ayunan keretapi hanyut bersama lenaku. Walaupun dalam keadaan yg. kurang selesa, aku tetap lena hinggalah cahaya matahari mula bersinar setibanya di Stesen Keretapi Kuala Lipis.
Kepala keretapi masa tu.
Di setiap gerabak keretapi memang ada disediakan tandas. Di situlah mak ayah aku mengambil air sembahyang untuk Solat Subuh di kerusi yang semuat-muat untuk sujud sahaja. Bersama dendangan keretapi kedekuk! Kedekek! ...,kedekuk! Kedekek....! mereka menunaikan kewajipan dengan penuh tawadhuk. Sesekali aku ternampak kelibat mak ayah aku sedang bersolat kerana tidurku yang sesekali terjaga diganggu bunyi riuh orang ramai serta ayunan kuat keretapi itu. Mereka tak memaksaku untuk turut bersolah kerana aku masih kecil ketika itu.
Pada masa tu, macam-macam barang yang orang bawa bersama menaiki keretapi local ni. Lebih-lebih lagi pada hari pekan sehari di Bukit Betong, di Padang Tengku atau di Kuala Lipis. Guni dan bakul sayur-sayuran dan buah-buahan berlonggok di sana sini sama ada di depan pintu atau di laluan tengah keretapi itu hingga aku terpaksa melangkah panjang atau mengelak-elak untuk ke sesuatu tempat.
Selain itu, barang-barang lain seperti getah keping atau getah sekrap turut dibawa oleh penduduk kampung untuk dijual di bandar Kuala Lipis menggunakan keretapi pagi ini. Walaupun bau getah itu busuk menusuk hidungku tetapi akhirnya bau itu bagaikan tidak menggangguku langsung kerana mungkin sudah menjadi sebati denganku .
Sila klik tajuk "Kuala Lipis" untuk baca sambungan cerita ini .
koi pun pernah duduk di Lipis sekitar tahun 70 an
BalasPadamkoi amik
BalasPadamYe.. entah-entah kita pernah berjumpa yedak?
BalasPadamAmiklah weh. Jgn malu2!