Ini Tanah Getah Pinggir Mak Ayah Aku
Masa aku sekolah rendah, aku selalu mengikut mak ayah ke tanah pinggir. Masa tu mak ayah aku dah berpindah ke Perumahan Merapoh dari Ulu Kumbang. Mak ayah aku akan menoreh di tanah pinggir ini jika mereka tak buat kerja lain. Jika mereka ada projek lain seperti buat padi atau buat cerang, tanah getah ni akan ditoreh oleh orang lain dan hasilnya nanti dibahagikan separuh-separuh.
Jika mak ayah aku menoreh di tanah pinggir, seawal pagi lagi ketika cahaya masih samar-samar, aku dah bertolak mengikut mereka ke situ. Sebelum itu, aku bersarapan dahulu di rumah. Biasanya aku makan nasi putih dengan berlaukkan sambal dan ikan masin.
Aku ke situ dengan berbasikal atau berjalan kaki sahaja. Setelah hampir sejam berjalan kaki, sebelum pukul 8.00 pagi aku sudah sampai ke situ. Masa tu kabus masih tebal manakala daun-daun pokok masih dibasahi embun. Masih sejuk sangat masa tu weh! Kalaulah tak ke mana-mana, nampaknya masa begitulah tengah sedap tidur...
Setibanya di bangsal mesin getah di tanah pinggir itu, seperti juga dengan mak dan ayah, aku akan menyalin pakaianku dengan baju basan (basahan) yang memang disimpan di bangsal itu. Malah stokin dan kasut getah khas untuk menoreh juga disimpan di situ. Stokin dan kaki seluar akan disembur dengan racun serangga seperti Ridsect atau Baygon bagi mengelakkan pacat yang memang banyak di kebun getah itu daripada memanjat pakaianku.
Pacat tidak suka bau racun serangga ini. Aku juga sering terjumpa pacat yang dah mati di kaki seluar atau stokin. Inilah pentingnya racun ini, untuk menghalang pacat daripada cuba memanjat ke badanku. Terimalah akibatnya pacat jika cuba menghisap darahku.
Luas juga tanah getah pinggir mak ayah aku tu. Adalah dalam 7 ke 8 ekar. Biasanya ayah aku menoreh separuh manakala separuh lagi ditoreh oleh emakku. Aku pula terpulanglah, sama ada nak ikut mak atau ayah. Tugasku hanya menolong membetulkan mangkuk susu getah di pokok-pokok getah dan memastikan susu getah mengalir betul ke dalamnya. Awal-awal tu rajin jugalah tetapi biasanya tidak lama kemudian, mulalah aku bermain.
Di dalam kebun getah ni ada sebatang anak sungai. Pada musim kemarau biasanya anak sungai ni kering. Air dalam anak sungai ini hanya ada pada masa hujan atau musim tengkujuh. Airnya sangat jernih dan banyak anak ikan bermain di dalamnya. Aku selalu bermain di tepi anak sungai ni apabila dah bosan menolong membetulkan mangkuk-mangkuk susu getah.
Ini Gua Bekong sebelah kebun getah pinggir tu. Dahulu, masa aku mengikut mak ayah aku menoreh, selalu aku dengar ayam hutan berkokok kat situ.
Kebun Getah Tanah Pinggir mak ayah aku ni terletak di tanah hujung sekali bersebelahan dengan Gua Bekong. Selepas tanah ini ialah hutan tebal dan di situlah terdapat sebuah gua yang tinggi di panggil Gua Bekong.
Dahulu tepi Gua Bekong ni hutan tebal tetapi sekarang dah jadi kebun durian mak ayah aku.
Masa tu, selalu juga aku mengikut mak ayah aku ke dalam hutan tebal itu hingga ke kaki gua untuk mencari buluh atau kayu. Dari tepi gua itu aku suka melauh untuk mendengar gemaan suaraku apabila aku melauh ke arah gua tersebut. Sekarang kawasan hutan tu dah menjadi dusun durian, hasil keringat mak ayah aku "membuka tanah". Kliklah kat pautan tu kalau nak tahu macam mana mak ayah aku "buka tanah".
OK. InsyaAllah aku sambung lagi cerita Tanah Getah Pinggir ni.
Klik sini "Budak dahulu dan sekarang" untuk sambungan cerita ini.
Nostalgia midi. Aok getoh, koi sawit..
BalasPadamBila dah darjah 3 mula la koi menolak sawit setandan-setandan ke platform.. makin besor badan, makin baanyak sawit koi sumbat dalanc kereta soronc..
Ingat2..budok le ni rilek amat.. tu yang lain machanc je tu kuikui
Koi tak menjadi lalu nok noreh2 ni.Kala ngutik loh la kite....
BalasPadamKoi banyok merasa menorehlah tapi pernoh juga kerja sawit ni dari membaja, mengecop, menolok sampailah mengutik buah relai.
BalasPadamGitulah gayanya budok2 kampung dulu-dulu.. Nok tak nok kenalah menolong mok ayoh kerja. Sekarang ni ramai sangat yg. rasa berat nok menyuruh anok buat kerja. Suruh anok belajo jelah...