Masjid Bahagian Kuching, Sarawak. Aku penah beberapa kali bersolat di masjid ini.
Masa tu aku baru belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SHOAW) Kuching, Sarawak. Pada suatu hari, pelajar yang tinggal di asrama telah dibawa ke masjid ini kerana pada hari itu masjid ini mengadakan suatu majlis. Aku tak pasti majlis apa tetapi rasanya majlis sempana Sambutan Maulidul Rasul.
Kami dibawa ke sana dengan menaiki bas. Waktu Maghrib sudahpun hampir masuk setibanya aku ke masjid itu. Aku lihat ramai betul orang datang ke masjid ini pada malam itu. Setelah mengambil air sembahyang, aku terus menuju ke bahagian depan masjid untuk mendapat saf yang paling hampir dengan imam. Walaupun aku lihat orang dah memenuhi saf di bahagian itu tetapi aku berjaya juga mencelah ke satu tempat yang agak dekat dengan tempat imam.
Dari situ aku terlihat seseorang yang rasanya aku pernah lihat. Beliau kelihatan amat dihormati dan berada di saf yang dihadapan sekali bersama beberapa orang kenamaan lain. Setelah diamat-amati, rupa-rupanya orang itu ialah Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu iaitu Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Tan Sri Abdul Taib Mahmud
Orang-orang kenamaan lain pula aku tak camlah sebab waktu tu aku bukan ambil tahu sangat akan sesiapapun. Kalau orang yang ada kaitan dengan apa yang aku belajar kat sekolah tu mungkin aku kenallah. Tan Sri ni aku kenallah sebab beliau jadi ketua menteri. Kalau beliaupun aku tak kenal juga, teruk sangatlah pengetahuan semasa aku nikan.
Setelah solat Maghrib, aku mendengar ceramah tentang Maulidul Rasul. Setelah solat Isyak, satu jamuan diadakan. Aku yang baru pertama kali datang ke sini agak terpinga-pinga kerana tidak tahu di mana tempat jamuan itu. Budak-budak yang satu sekolah denganku juga tidak kelihatan berdekatan denganku. Aku ikut arus sahajalah. Ke mana orang ramai pergi, ke situlah aku tuju.
Sampai di suatu tempat, aku nampak orang seperti berebut untuk mendapatkan bungkus makanan. Akupun berebut jugalah tetapi sayangnya aku tak dapat bungkusan makanan itu. Mungkin bungkusan makanan yang lain sedang diambil untuk diedarkan kepada para jemaah yang belum dapat. Orang yang dah dapat makanan pula duduk bersila sebaris sebaris di dalam masjid itu untuk menikmati makanan masing-masing.
Meleleh air liur aku melihat orang lain makan. Perut aku dah lapar sangat ni tetapi makanan tak sampai-sampai lagi. Masa tu aku berada berdekatan dengan tangga dalam masjid menuju ke tingkat atas masjid. Tiba-tiba aku nampak ada beberapa orang naik ke tingkat atas tu. Akupun ikutlah sekali kerana aku sangka orang yang tak dapat makanan lagi kena naik ke tingkat atas untuk makan di sana.
Setibanya di atas, aku lihat satu meja panjang yang dipenuhi dengan pelbagai masakan yang tampak menyelerakan sekali. Masa tu tempat tu masih kosong lagi dan aku di antara orang yang terawal masuk ke bilik yang istimewa tu. Walaupun rasa hairan melihat keadaan itu tetapi aku teruskan juga memilih satu tempat duduk apabila aku lihat orang-orang lain mula mengambil tempat duduk masing-masing.
Kerusi dan meja tempat ini juga dihias cantik. Ada beberapa orang yang sedang sibuk menyusun hidangan. Agaknya mereka ni adalah pelayan yang dikhaskan untuk melayan tetamu semasa jamuan di sini. Hidangannya pula dihias cantik. Ini sudah pasti untuk orang kenamaan sahaja ni, fikirku.
Perasaanku mula rasa tak menentu. Adakah aku tersilap masuk bilik ni? Gayanya ini tempat yang dikhaskan untuk orang kenamaan sahaja. Kalau aku turun balik, malu pula rasanya. Nanti jadi perhatian orang pula bila sorang-sorang je turun ke bawah semula.
Tidak lama kemudian, ketua menteri dengan beberapa orang lagi masuk ke bilik itu melalui sebuah pintu di suatu sudut bilik tersebut. Melihat kepada orang-orang yang mengiringinya itu, aku rasa tak lain tak bukan orang yang bersamanya tu adalah kaum keluarganya sendiri selain orang-orang kenamaan negeri. Ohh, rupanya isterinya orang putih. Anak-anaknya pun, putih dan cantik-cantik belaka. Semua yang masuk ke bilik itu berpakain kemas dengan berbaju melayu bersampin dan berbaju kurung. Aku sorang je yang berbaju melayu putih dan bersampin biru, pakaian seragam sekolah. Nampak benar lainnya.
Tiba-tiba aku dengar pelayan tu bercakap perlahan " Tak cukup satu kerusi, ambil satu kerusi lagi,". Berdebar juga aku. Ini tentu sebab akulah tak cukup satu kerusi ni.
Setelah imam membacakan doa makan, akupun makanlah dengan berselera sekali. tau-tau jelah, perut tengah lapar manakala lauk pula sedap-sedap belaka. Walaupun ada juga terdetik perasaan malu tetapi aku makan buat tak tau jelah. Nasiblah orang nak cakap apa! Bukannya aku sengaja! Inilah namanya rezekikan. Allah dah tetapkan rezeki aku kat situ malam tu.
Aku tak taulah dia orang perasaan atau tak aku tersalah masuk kat bilik tu. Bagaimanapun aku ucap terima kasihlah kepada semua yang makan bersamaku waktu itu kerana tak menyebabkan aku berasa janggal makan di situ. Aku dilayan dengan mesra dan dipelawa mengambil pelbagai hidangan oleh orang di sebelah kanan dan kiriku walaupun mereka mungkin tahu aku tetamu yang tidak dijemput.
Aku selesa di situ sehingga kenyang. Bukan senang nak dapat makan dengan Ketua Menteri Sarawak dengan layanan VVIP oooo! Terima kasih semua.
Nak baca satu lagi ceritaku tentang peristiwa yang berlaku tanpa diduga ni silalah klik tajuk ini "Hotel Percuma".
Buat tak kabor je la yek...
BalasPadamJangan hirau ke orang. Tengah lapo makan jelah. ha ha ha.
BalasPadam