Dulu ayah aku ada tanam pisang kat Bekong sebagai tanaman sampingan sementera menunggu pokok buah-buahannya besar. Pada masa tu aku ada kat kampung kerana sedang menunggu result STPM maka sempatlah aku menolongnya menanam pisang-pisang tu. Antara jenis-jenis pisang yang ditanam ialah pisang berangan, pisang emas, pisang nangka dan sebagainya lagi.
Apa yang paling penting untuk menanam pisang ni ialah mendapatkan benihnya dahulu. Benih ni bukanlah maksudnya ayah aku kena semai benih pisang tu tetapi dia kena cari anak-anak pisang daripada orang-orang kampung yang ada bertanam pisang di serata merapoh ni. Ayah aku kena belilah daripada mereka tetapi aku tak pastilah berapa harganya bagi setiap anak pokok pisang pada masa tu.
Ada kalanya ayah aku kena pergi sendiri ke kebun orang kampung untuk menggali anak-anak pisang ni. Anak pokok pisang ni biasanya memang banyak tumbuh dicelah perdu pokok pisang yang dah besar. Biasanya penggali digunakan untuk membuang tanah di sekeliling anak pokok pisang tu supaya ia senang dicabut atau dicungkil. Setelah anak pisang ni berjaya dicabut, bahagian atasnya akan dipotong hingga tiada lagi daun pada anak pokok pisang tu. Pelepah kulit luarnya juga akan dibuang menyebabkan anak pisang tu kelihatan putih togel je akhirnya. Akar-akar yang bercerotek pada anak-anak pisang ni juga perlulah dibuang.
Setelah cukup anak-anak pisang yang diperlukan digali, ia akan dimasuk ke dalam guni untuk dihantar ke kebun kami di bekong dengan menggunakan motosikal yang aku tunggang.
Walaubagaimanapun ada juga anak-anak pisang ni sudah disiapkan oleh tuannya dan terus dihantar ke kebun kami. Mungkin anak pisang yang dah siap ni mahal sikitlah harganya daripada anak pisang yang ayah aku gali sendiri.
Sebelum menanam anak-anak pisang ni, lubang perlulah digali di antara pokok buah-buahan yang sedang membesar tu. Kebanyakkan pokok buah-buahan tu masih rendah menyebabkan kawasan kebun ni nampak terang sahaja. Apabila matahari mula meninggi, berpanaslah kami semasa menggali lubang untuk menanam anak-anak pisang tu. Kedalaman lubang tu lebih kurang sekaki lebih lah. Nasib baiklah tanah di sini agak lembut menyebabkan kerja-kerja menggali lubang ni dapat dilakukan dengan lebih mudah. Ini kerana tanah di sini masih baru diperun yang asalnya daripada kawasan hutan yang telah ditebang tebas.
Setelah semua lubang siap digali, anak-anak pisang ni akan dibawa untuk dimasukkan ke dalam lubang tu dan dikambus hingga terkambus semua bahagian pangkalnya. Apabila anak-anak pisang ni selesai ditanam satu demi satu, ia perlu dijirus sedikit air untuk membasahkan tanah dipangkal anak pisang tu supaya akarnya lebih mampat dengan tanah disekelilingnya, Ini membolehkan anak pisang itu menerima bekalan air serta baja yang secukupnya lalu mendorongnya tumbuh dengan segera.
Klik di sini untuk sambungan cerita ni seterusnya
*26/9/2024-29/9/2024 Khamis-Ahad(Throwback) *
*السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ*
27 Sept 2024 Bersambung dari cerita di *Sini*. Mala...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan