Inilah Stesen Keretapi Sungai Temau. Sekarang stesen ni nampak macam terbiar aje. Dulu stesen ni menjadi pusat penduduk Sungai Temau kerana di sinilah sahaja tempat untuk mereka pergi atau keluar ke bandar seperti Kuala Lipis selain menjadi tempat untuk mereka membeli makanan dan keperluan harian. Berdekatan dengan stesen ni ada dua buah kedai runcit merangkap kedai kopi iaitu kedai mak saudara aku mak andok dan sebuah lagi kedai yang dimiliki oleh ketua kampung pada masa itu yang aku dah lupa pula namanya.
Selain di Merapoh, aku juga pernah tinggal di sungai temau. Masa tu aku kecil sangat lagi, belum pun sekolah rendah. Rumah aku di sungai temau tu terletak di atas tebing tepi jalan keretapi berdekatan dengan signal keretapi menghala ke Kuala Lipis.
Semasa aku bersekolah di sekolah menengah agama di padang tengku, kawasan tu mula dimajukan menjadi ladang getah Fecra. Apabila aku lalu di tempat tu dengan keretapi semasa bersekolah di padang tengku, aku akan teringat akan beberapa peristiwa semasa kecilku di rumah tu.
Sejak aku bekerja dan mempunyai kereta sendiri, dah lama aku tak melalui tempat itu. Mungkin tempat ni masih ladang getah lagi kot.
Ada beberapa peristiwa yang masih aku ingat semasa aku tinggal di sini. Rumah kami di situ umpama pondok sahaja. Banyak strukturnya diperbuat daripada buluh dan kayu bulat sahaja. Di sebelah dapurnya ada sebuah lambo (barender) yang menjadi tempat mak ayah aku menyidai pakaian, menjemur benih lada dan sebagainya.
Peristiwa yang paling aku ingat di lambo ini ialah semasa aku, abg cu dan abg cik bertanding pancut air kencing paling jauh. Lambo ni agak tinggi. Semasa pertandingan tu, kami bertiga berdiri menghala ke tanah. Siapa yang pancut paling jauh dikira menang. Masa tu kami budak sangat lagi, bukannya tau malu. Nak pula bersama adik-beradik sahaja. Apa yang kami fikir hanyalah untuk berseronok sahaja.
Rumah ni agak dekatlah dengan sebatang sungai yang namanya sungai temau. Namanya sama dengan nama kampung ni. Mungkin juga kampung ini mengambil sempena namanya.
Seingat aku pernah sekali laluan untuk ke sungai ni ditumbuhi dengan lalang. Mungkin kerana kawasan ni dulu pernah dibakar kemudian ditinggalkan kerana kami balik ke merapoh. Apabila kami kembali semula ke sini setelah seminggu dua, kawasan ni sudah ditumbuhi lalang.
Apabila melalui laluan ni untuk ke sungai, gatal-gatallah tangan aku terkena lalang-lalang tu. Kebetulan ayah aku ada menyimpan sebuah tong dram kosong berdekatan rumah ni. Tong dram ni kami gunakan untuk melenyekkan lalang di situ. Sambil bermain tong tu, dapat juga kami menerangkan laluan ke sungai.
Aku disuruh duduk dalam tong dram tu oleh abang-abang supaya tong tu lebih berat semasa mereka menggoleknya nanti. Bila berat, lagi eloklah laluan tu nanti. Aku tak membantah malahan berasa seronok pula. Masa tu aku tak terfikir akan akibatnya. Apa yang aku fikir hanyalah bermain sahaja. Aku bayangkan duduk dalam tong tu macam aku naik keretalah.
Apabila abang cik dan abang cu menggolekkan tong tu, apa lagi tunggang-tunggiklah aku di dalam tong itu. Jauh juga tong tu digolek. Apabila keluar je dari tong tu, terhuyung-hayanglah aku berjalan kerana berasa berpusing-pusing. Abang-abang aku hanya menggelakkan sahaja melihat keadaanku itu. Walaupun begitu, aku berasa amat seronok lebih-lebih lagi apabila melihat laluan ke sungai dah jadi cantik.
Golek tong ter sokmo juge koi main.Seronok amat weh.Mende jaman tengoh baber
BalasPadamhahahaha!
BalasPadamkala aok xcriter, koi xingat lalu dah. sape menang lawan pancut tu?
Haha, zaman hari tu menda ginilah jadi permainan. Nok main menda lagi.
BalasPadamKoi dah tak ingat sapa menang. Agoknya sapa yang paling lama tak kencinglah menang. Org baru kencing mana boleh pancut laju ha ha ha.
Saya menjadi Ketua Stesen keretapi di sini pada tahun 1967. Waktu tu tak ada kampung. Cuma pada tahun 1968 ditempatkan orang2 Siam membuka kampung di belakang stesen ini.
BalasPadamStesen ini dibina oleh sebuah syarikat Tahan Mines Co. untuk membawa keluar bijih besi tetapi dibatalkan kerana didapati tidak menguntugkan dah diganti dengan pengeluaran kayu balak. Terdapat sebuah sungei berhadapan stesen penuh dengan ikan dan airnya jernih dan dingin.
Rumah kongsi untuk pekerja lombong terletak sebatu lebih dari stesyen dan mereka ini merupakan perkampungan terdekat. Tidak ada apa jenis pengangkutan selain keretapi.