Alahai terlebih-lebih pula mukadimah ni, macam ustaz pula. hi, hi!
Berkait dengan hari raya ni, teringat masa aku zaman kanak-kanak dulu. Masa tu nak beraya ke rumah sapa-sapa pun tiada masalah langsung. Tak terfikirpun pasal tuan rumah itu bersedia atau pun tidak untuk melayan kami beraya. Bagi aku apabila hari raya, masuklah rumah sapa-sapapun untuk beraya sama ada orang yang aku kenal atau tidak. Yang penting aku dapat menghilangkan dahaga atau lebih beruntung lagi kalau dapat duit raya walaupun cuma 20 sen. Biasanya banyak itu jelah yang aku dapat daripada tuan rumah sebagai duit raya dalam tahun 70-an di kampung aku Merapoh.
Apa taknya, dulu-dulu pergi beraya dari rumah ke rumah dengan berjalan kaki je. Naik kereta taklah sebabnya jalan raya pun tak da. Jalan yang cantik sikitpun hanya jalan tanah merah atau jalan balak. Kedudukan di antara setiap rumah pula agak jauh hingga kadang-kadang terpaksa berjalan kaki 15 hingga 20 minit untuk sampai. Letih juga weh! Nak-nak pula kalau masa tengah hari buta. Berjeruklah peluk di badan dan rasa macam nak terjelir lidah menahan dahaga. Masa tulah bila nampak je rumah orang, terus pergi bagi salam nak beraya. He, he, yang sebenarnya sebab haus tulah.
Tuan rumah pula melayan kami dengan seadanya. Kuih baulu, lemang, rendang, dodol dan beberapa jenis kuih lain menjadi hidangan biasa. Biasanya mak cik, pak cik tuan rumah tu bertanyalah ini anak siapa, ini anak siapa? Sekurang-kurang mereka kenal kami anak siapa di kampung tu dan akhirnya mengeratkan lagi sailaturrahim masyarakat kampung.
Sekarang ni lain pula jadinya. Antara jiranpun tiada kunjung-mengunjung di hari raya. Masing-masing buat hal sendiri walaupun pada bulan raya. Aku rasa macam tak sedap pula nak datang ke rumah jiran-jiran atau kawan-kawan saja-saja macam tu kalau tiada rumah terbuka. Mereka pun agaknya macam tu juga. Beratlah nak datang ke rumah kalau aku tak buat rumah terbuka...
Kalau macam inilah, rasanya dah lari jauh daripada tujuan kita meraikan hari raya. Bukankah pada hari ini kita amat digalakkan kunjung-mengujung dan saling bermaaf-maafan. Tak kan apabila buat rumah terbuka baru nak datang menziarah...
Tujuan hari raya ni untuk memudahkan kita ziarah-menziarahi, bukannya untuk makan sedap sahaja. Habis tu kalaulah aku tak mampu nak buat rumah terbuka, hanya sekadar menghidangkan kuih raya, tak dalah kawan-kawan beraya ke rumah aku ya. Entahlah! Sebenarnya jadi macam malu pula untuk mengajak kawan-kawan berkunjung ke rumah kalau tak menyediakan makanan istimewa seperti semasa rumah terbuka. Pelik betul! Aku rasa tak perlu ajak-ajaklah! Dah hari raya, datang jelah…
Aku pula nak datang ke rumah kawan-kawan kena tunggu mereka buat rumah terbuka dululah ye! Nak terus datang beraya nanti takut tuan rumah terganggu atau kurang selesa pula. Rumah terbuka ni rasanya bukan semua orang mampu buat, apatah lagi wang sudah banyak dihabiskan untuk membeli pakaian anak-anak dan sebagainya. Aduh, serba salah jadinya...
Inilah keadaan sekarang yang semakin menjadi ikutan masyarakat terutama di kawasan-kawasan perumahan atau di bandar-bandar. Aku rasa keadaan ini harus dielakkan kerana dibimbangi akan menjadikan amalan ziarah menziarahi pada musim perayaan semakin janggal dilakukan. Tak perlu rumah terbuka, rasa nak beraya datang jelah walaupun dihidang dengan kuih-muih biasa sahaja. Tujuan kita lebih tertumpu untuk ziarah-menziarahi dan mengeratkan silaturrahim. Di hari yang mulia itu, datanglah ke rumah kawan-kawan kita tanpa perlu tunggu rumah terbuka. Manakala tuan rumah pula tak perlulah memaksa diri berbelanja besar untuk hidangan istemewa hingga mungkin merana selepas itu sementara menunggu gaji.
Cukup sekadar termampu sudah memadai. Kembalilah kepada tujuan sebenar kita berhari raya. Jangan pula akhirnya mendapat kemurkaan Allah pada hari raya yang mulia ini kerana menjadikannya sebagai medan untuk kita saling tunjuk-menunjuk atau bermegah-megah dengan kemampuan masing-masing.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Dan Batin.