6 orang pemuda Indonesia di Ka'bah

Terkilan rasanya apabila telah berada di tanah suci Mekah untuk melakukan umrah tetapi tidak dapat mencium Hajarul Aswad. Oleh itu, aku mahu mencuba lagi pada hari esok selepas selesai melakukan umrah kali kedua nanti. Itu niat ku.

Keesokan harinya selepas sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim, aku menuju ke arah Hajarul Aswad yang sesak dengan manusia yang sama-sama berhajat seperti aku. Jauh lagi nak sampai ke Hajarul Aswad tetapi aku mula berhimpit-himpit dengan tubuh-tubuh besar. Namun, aku tak lemah semangat. Aku terus berusaha untuk mencapai niat ku itu.


Tiba-tiba aku disapa mesra oleh seseorang dengan bahasa yang aku faham. Aku menoleh dan mendapati ada 6 orang pemuda yang berjubah dan berserban sedang merapati aku. Mereka ingin membantu aku untuk mencium Hajrul Aswadnya. Rupa dan tutur mereka aku ketahui yang mereka dari Indonesia. Bicara mesra bagai ustaz yang mahu membimbing manusia mencapai kesempurnaan ibadah. Mulia sungguh hati mereka sehingga bersusah payah mahu menolong ku. Mungkin mereka lihat aku bangsa serumpun dengan mereka lalu ingin menolong aku dengan seikhlasnya. Fikirku dalam kehairanan.

Mereka menyuruh aku berdiri di tengah mereka, manakala mereka disekeliling aku. Kami terus bergerak menuju ke Hajarul Aswad dengan berhimpit dengan tubuh-tubuh besar yang sesak berhampiran Hajarul Aswad itu. Aku tidak berasa sesak dada seperti percubaan ku secara bersendirian pada hari semalam. Malah, aku bagaikan mudah sangat untuk sampai ke hajarul aswad dengan pertolongan hamba-hamba Allah yang berhati mulia ini.

Aku bagai tidak percaya kerana dalam masa tak sampai 5 minit, kepala ku telahpun berada di Hajarul Aswad. Aku mencium sepuas-puasnya batu itu sambil berdoa. Mereka menyuruh aku mencium dan berdoa sepuas-puasnya di Hajarul Aswad. Walaupun terasa ada tolah menolak di belakang ku tetapi aku dapat melakukannya dengan agak selesa. Mungkin aku boleh lama lagi mencium Hajarul Aswad pada waktu itu tetapi aku berasa kasihan kepada orang lain yang turut berhajat seperti aku. Selepas aku rasa hajat ku telah tertunai, aku pun meminta mereka membawa aku keluar dari situ untuk memberi laluan kepada orang lain pula.

Aku berundur ke balakang semula bersama-sama mereka. Sungguh ku tak sangka, kali ini aku dapat mencium Hajarul Aswad dengan mudah sekali. Allah telah tunaikan hajat ku dengan asbab 6 insan yang berhati mulia ini. Aku bersyukur tidak terhingga.

Mereka menghampiri ku dengan tersenyum sambil mengucapkan syabas kerana telah berjaya mencium Hajarul Aswad. Aku pun mengucapkan terima kasih yang teramat sangat kerana sudi membantu melunaskan hajat ku itu. Tiba-tiba seorang daripada mereka meminta 500 riyal kerana bantuan mereka itu. Terkejut aku. Bukan aku mengupah mereka. Seingat aku, mereka datang tadi kerana mahu menolong ku sahaja.

Aku tidak mahu membayar upah yang tidak sepatutnya itu. Mereka rupanya mahu mengambil kesempatan untuk mengaut untung ke atas orang yang teringin sangat mencium Hajarul Aswad. Pertolongan mereka rupanya tidak seikhlas yang aku sangka. Aku telah ditipu dihadapan Ka'abah.

Mereka tetap meminta wang upah daripada ku. Aku tetap berdegil dan berlalu dari situ. Mereka mengekori ku. Aku mula berasa rimas. Aku berhenti dan menghulurkan 50 riyal sahaja sebagai saguhati kerana pertolongan mereka. Mereka cakap itu tidak cukup kerana mereka ramai. Aku membalas, itu sahaja yang dapat aku berikan dan terus berlalu dari situ menuju ke arah seorang polis atau pengawal di kawasan itu. Mujurlah selepas itu mereka tidak mengekori aku lagi.

Adakah aku hanya berjaya mencium Hajarul Aswad kerana pertolongan 6 orang hamba Allah ini?? Tunggukan jawapannya dalam posting ku seterusnya nanti.

Masih muda dan bertenaga??

Syukur ke hadrat Allah yang Esa atas rahmatNya yang mengizinkan diri ku untuk melaksanakan ibadah umrah pertama yang diwajibkan kepada muslimin dan muslimat. Jika ikutkan kewangan, aku kurang mampu lagi untuk ke sana pada waktu itu.


Aku mahu sekali mencium Hajarul Asswad walaupun aku tahu mungkin amat sukar untuk melakukannya. Ramai betul orang  berebut-rebut untuk mencium hajarul aswad itu. Tubuh mereka besar-besar dan tinggi-tinggi. Bolehkah aku bersaing dengan mereka untuk mencium hajarul aswad sedangkan tubuhku kecil dan agak pendek. Aku menyakinkan diriku sendiri yang aku pasti boleh menciumnya kerana aku masih muda dan bertenaga. Aku akan himpit sedikit-demi sedikit tubuh-tubuh besar itu sehingga aku berjaya mencium hajarul aswad.

Tanpa bertangguh lagi aku mula bersaing dengan tubuh-tubuh arab yang berbadan sasa. Aku cuba mendekati hajarul aswad dengan mencelah-celah tubuh-tubuh sasa itu. Tidak lama selepas itu, aku mula merasa sesak nafas. Namun, aku terus bertahan sehinggalah aku betul-betul hampir dengan hajarul aswad. Aku mesti terus bertahan kerana tak sampai sekaki lagi aku dengan hajarul aswad. Aku berasa bangga kerana kejap lagi tentu aku akan mencium hajarul aswad. Mesti boleh, fikir ku.

Dah dekat sangat dah ni. Inilah masanya untuk aku mencium  hajarul aswad. Tiba-tiba kepala ku tertarik ke belakang semula. Aku cuba lagi menciumnya. Kali ini ada tangan lain yang memaut tubuh ku. Aku cuba lagi tetapi tetap tidak berjaya juga.

Dah berkali-kali mencuba tetapi aku tetap gagal menciumnya walaupun dah hampir benar dengan batu itu. Setiap kali mahu mencuba, kepala ku akan ditolak atau ditarik dari situ. Aku rasa tak dapat bertahan lagi. Lebih baik aku mengalah sahaja sebelum sesak dada ku semakin teruk. Jika aku tumbang di sini, tentu parah nanti.

Aku mengambil keputusan untuk berundur daripada persaingan itu. Kini baru aku sedar bukan mudah untuk mencium hajarul aswad. Tak terlarat aku bersaing dengan mereka rupanya walaupun aku rasa masih muda dan bertenaga.

Tunjuk hebat.



Sampai sekarang aku rasa ayah akulah paling hebat. Sebabnya daripada aku kecil sampailah aku jadi muda belia, aku cukup kagum melihat kecekapannya membuat sesuatu kerja. Contohnya mengasah pisau getah. Tajam sungguh pisau yang diasah oleh ayah aku walaupun aku tengok taklah lama mana dia mengasah.

Peliknya apabila aku mengasah pula,  pisau getah tu tak akan jadi setajam macam pisau getah yang ayah aku asah. Puas dah aku cuba mengikut cara dia mengasah tapi tetap sama juga. Itulah salah satu contoh kehebatan ayah aku ni. Macam tulah juga dengan kerja-kerja lain seperti buat lukah, buat jerat kancil, buat dulang meriau mas dan lain-lain lagi. Cepat je disiapkannya dengan sempurnanya. Memang tak terlawanlah aku akan kehebatannya itu.

Sekarang ayah aku dah lama pergi menyahut panggilan Ilahi. Aku juga akan begitu juga nanti. Tapi sekarang ni aku adalah seorang ayah. Jadi aku kena tunjuk hebat dengan anak aku supaya mereka juga kagum dengan kehebatan ayahnya . 

Aku biasa cerita kat anak aku tentang kehidupan aku zaman muda-muda dulu. Kekadang terlopong juga anak aku mendengar cerita hebat aku tu sebab zaman dia mana nak jumpa pengalaman macam tu lagi. Antara minat aku zaman muda dulu-dulu ialah meneroka gua-gua berdekatan di Kampung Merapoh ni. Antara gua yang pernah aku panjat ialah Gua Bekong yang terletak bersebelahan dengan dusun ayah aku. Aku pernah panjat gua tu sampai ke puncak seorang diri sekali, manakala sekali lagi aku ajak kawan sekampung yang aku panggil Ali.

Pada hari Sabtu, 13 Ogos 2016 lepas, aku yang dah menetap di Temerloh, sempat ke dusun peninggalan ayah aku tu sempena musim durian. Sampai di situ, timbul pula keinginan nak cuba sekali lagi memanjat Gua Bekong tu. Inilah masanya aku nak tunjukkan kehebatan aku pula memanjat gua seperti cerita-cerita aku tu. Aku nak dia rasa sendiri bagaimana pengalaman memanjat gua tu. Jadi aku ajaklah dia.

Nak tunjuk kepada kawan-kawanlah tu.
Aku nampak dia amat teruja sekali dengan pelawaan aku tu. Manakala aku pula sebenarnya berasa cuak juga menghadapi cabaran ini. Hai, maklumlah umur dah 46 tahun, apatah lagi dah lama sangat tak berjalan dalam hutan atau semak samun seperti zaman aku muda-muda dahulu. 

Bagaimana pun aku sentiasa menunjukkan keyakinan tinggi supaya aku nampak sebagai seorang ayah yang hebat. Sepanjang perjalanan kami memanjat gua tu, macam-macamlah aku cerita pasal pengalaman aku memanjat gua ni masa dulu. Antaranya aku pernah diekori oleh sekumpulan kera masa memanjat gua ni seorang diri tapi aku tetap teruskan pendakian. Kebetulan kali ini, ada juga kedengaran bunyi dahan bergegar, mungkin kera agaknya tu yang sedang mengikut kami. Nampak takut juga anak aku dengan situasi itu tapi aku mestilah tunjuk hebat!! Buat tak heran je dengan kera-kera tu. 

Namun apa kan daya. Kali ini dengan masa yang terhad dan persediaan yang kurang, kami tak berjaya memanjat Gua bekong hingga ke puncak. Aku dah lupa mana jalan naik yang aku lalui dulu. Lagi pun, aku rasa semak tepi gua dahulu lapang sikit, senang je nak lalu. Tapi sekarang ni rapat benar semaknya. Apa tidaknya, beberapa meter sahaja dari tepi Gua Bekong tu dah terang sebab pokok-pokok dah ditebang untuk dibuka tanah kebun.

Tak banyak dah pokok besar di tepi gua ni. Tengoklah di belakang pokok tu, terang je tanpa pokok besar lagi.
Dulu redup je tepi gua ni kerana dilindungi oleh pokok-pokok besar daripada pancaran cahaya matahari. Keadaan yang teduh itu meyebabkan pokok-pokok renek tak banyak tumbuh di tepi gua ni. Sekarang ni, pokok-pokok renek tumbuh dengan banyaknya di situ apabila pokok-pokok besar yang meneduhkan tempat itu telah tiada lagi. Itulah sebabnya semak di situ menjadi amat rapat dan tebal hingga amat sukar kami rentasinya.

Panorama di tepi gua tu aku dapati tak seindah masa aku muda-muda dulu. Keliling gua dah jadi kebun sahaja. Tiada lagi pokok hutan asal yang telah hidup beribu tahun dahulu. Sedih juga dengan perubahan ini tapi nampaknya tiada siapa yang dapat menghalang keadaan ini daripada terus menjadi semakin teruk. 

Nampaknya anak aku tak dapatlah mengalami sepenuhnya pengalaman memanjat gua seperti aku dulu-dulu. Namun aku tetap puas hati setelah melihat kegembiraan anak aku menerokai pengalaman memanjat gua seperti zaman aku muda-muda dulu. Semoga keindahan Merapoh dahulu yang sering aku gambarkan kepada anak aku akan terus terpelihara.   

Pengemas Homestay



Masalah besar ni! Siapalah yang sanggup jadi pengemas atau penjaga homestay aku ni? Tak kan aku nak tutup je homestay ni sedangkan dah banyak duit aku laburkan untuk melengkapkan homestay ni. Bukan sedikit modalnya! Beribu ringgit dah aku habiskan untuk segala kemudahan di homestay ni sebab aku mahu orang berpuas-hati dan rasa berbaloi dengan sewa yang mereka bayar.

Dulu Ok lah sebab kakak ipar aku tu sanggup jaga. Ha.. ha!, Dialah yang acah-acah cabar aku buat homestay rumah aku di Taman Rembia Perkasa, Alor Gajah tu. Dia sanggup jaga, cabarnya. Dia ingat aku cakap main-main untuk buka homestay agaknya. Bila aku dah beli semua kelengkapan homestay, baru dia tau yang aku serius dan mulalah dia salahkan aku sebab katanya aku tak faham yang dia gurau-gurau atau main-main je. Nasib baiklah pada masa tu dia nak juga jaga walaupun dalam keadaan yang terpaksa kerana berasa malu dah terlepas cakap agaknya. Akhirnya berjayalah aku membuka Hasidi Homestay dengan kesanggupan kakak ipar aku dan saudara-mara yang lain menjaganya bermula awal tahun 2013.

Namun sekarang ni mereka dah tak berapa sanggup lagi. Mereka tak larat lagi katanya sebab masing-masing semakin sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Kakak ipar aku tu bekerja sebagai cikgu, sebagai GPK 1 pula tu. Memang dia tak sanggup dah sebab kerja di sekolah semakin hari-semakin banyak. Saudara-mara yang lain juga begitu. Ada yang dah berpindah tempat kerja ke Seremban yang sampai ke rumah pun pada waktu hampir Maghrib. Aku memang faham masalah mereka tapi itulah!!, tak kan aku nak tutup je homestay ni!

Jadi di sini aku nak iklanlah kepada sesiapa yang tinggal berhampiran dengan Taman Rembia Perkasa, Alor Gajah, Melaka untuk menjadi penjaga Hasidi Homestay. Upah jaga kita rundinglah dengan sepatutnya. Sesiapa yang berminat tu bolehlah call aku melalui nombor phone homestay aku ni -014-841 3707 (Midi). Ini pula link blog homestay aku - http://hasidihomestay.blogspot.my

Jadikan diri Insan yang baik.


Ingat! Doa dan Tawakkal mesti seiring
dengan usaha kita.  
Weh lama dah aku tak menulis kat blog ni. Malas betullah sampai takde  idea nak tulis apa-apa. Tapi sebenonya aku sayang blog ni lagi. Aku buat blog ni pun dulu untuk mengisi masa lapang je dengan cara yang lebih berfaedah sikit. Mudah-mudahan tulisan, luahan atau pandangan aku terhadap sesuatu perkara atau isu dalam blog ini boleh mendatangkan berfaedah kepada  umum. Tapi jika tersilap tu minta maaflah. Teguran amat dialu-alukan tapi biarlah dengan cara yang baik.

Sekarang ni aku berada di Sg. Siput, Alor Gajah, Melaka, kampung isteri aku. Dulu balik kampung ni ada mentua tapi sekarang dia dah tiada lagi. Memang cukup terasa perbezaan suasananya masa dia ada berbanding sekarang. Namun inilah putaran kehidupan, setiap yang hidup pastikan mati. Kita juga akan melaluinya juga. Insaflah Wahai Diri.

Hari ni aku tulis jelah apa-apa yang aku terfikir untuk memeriahkan kembali blog ni. Bantai jelah.

Sesiapa pun ingin sentiasa berada dalam stuasi aman dan bahagian. Namun kenyataannya stuasi tersebut sering bertukar, ada masanya kita gembira dan pada waktu lain kita akan berasa sebaliknya. 

Bagaimanapun aku percaya kita sebenarnya boleh mengawal keadaan tersebut untuk mengecapi kebahagian yang berpanjangan jika ada usaha yang sewajarnya. Usaha tersebut antaranya kita mesti mengenal pasti apakah kelemahan kita untuk mebolehkan kita memperbaiki kelemahan tersebut dengan cara yang paling sesuai. Kedua, kita harus mengetahui apakah keistimewaan atau kelebihan yang kita miliki supaya kita dapat menghargai, memelihara dan menggunakannya sebaik mungkin bagi mengatasi dugaan atau cabaran yang kita hadapi. Ketiga, kita janganlah putus asa berusaha memperbaiki diri ke arah  yang lebih baik dari masa ke semasa.

Aku memang yakin jika kita amalkan 3 perkara tersebut, InsyaAllah kita akan lebih banyak mengecapi keamanan dan kebahagiaan.

Namun usaha ini senang diungkapkan tetapi sebenarnya amat payah untuk diamalkan. Realitinya usaha ini akan sering digagalkan oleh kecuaian dan istiqomah diri. Masalah ini berkaitan dengan disiplin dan keazaman diri seseorang.

Keazaman yang "hangat-hangat tahi ayam" takkan berjaya. Tiada disiplin pasti usaha kita gagal. Oleh itu, pastikan dahulu 2 perkara ini betul-betul mantap dalam diri kita bagi menjamin usaha kita berterusan bagi membolehkan diri kita dapat menikmati kebahagian yang berpanjangan. 

Oshin

Assalamualaikum... sudah terlalu lama aku tak bercerita dalam blog aku ini. Bukan malas nak menulis tetapi memang malaslah sebenarnya.. hahaha.. Kerja kalau nak diikutkan tak pernah habis.. lepas satu.. satu kerja menunggu kita.. Apatahlah lagi kalau kerja yang ada tertangguh.. lagilah pening apabila memikirkannya..

Tak kiralah ada kerja atau tidak... malam ni aku nak taipkan juga satu peristiwa yang agak menarik dalam hidupku.. 

Dulu aku ada cerita tentang seekor kucing peliharaan yang dipanggil Citam.. Namun telah ditakdirkan pada suatu hari Citam hilang kat Melaka semasa aku balik ke sana..


Beberapa bulan selepas itu iaitu dalam bulan 12. 2014, aku mengambil seekor anak kucing lagi. Aku minat sangat kucing tu kerana melihat ibunya daripada baka berbulu panjang dan gebur (gebu) walaupun kucing kampung. Aku berhajat mendapatkan kucing betina kerana senang ambil bakanya nanti. Awal-awal lagi aku menanda anak kucing yang ingin aku miliki iaitu seekor kucing yang cantik pada pandanganku.


  

Setelah bercerai susu dengan ibunya, aku secara rasmi mengambil anak kucing itu untuk dipelihara dengan perasaan yang sangat gembira. Oleh kerana kucing itu betina, aku perlu memilih nama yang sesuai dengan jantinanya. 



Isteri aku mencadangkan namanya Oshin. katanya dia minat sangat dengan watak cerita jepun tu. aku ikut jelah walaupun aku sendiri tak ingat langsung tentang watak cerita itu.



Aku berazam untuk menjaga Oshin sebaik mungkin. Sememang aku gembira melihat Oshin membesar dengan sihat dan lincah sekali. Hari demi hari Oshin semakin comel dan bulunya semakin gebur ( Ada tak perkatan 'gebur' ni. jika tiada lagi bermakna ini  istilah aku reka sendiri sebab 'gebu' bagi aku tak sesuai untuk bulu. Nanti orang bahasa boleh ambil istilah ini sebagai istilah standart dalam bahasa Melayu ya) dan lebat. 



Aku rasa sungguh bertuah kerana bukan senang nak dapat kucing yang secomel ini. Ramai orang melihatnya mengatakan harga di pasaran untuk kucing secantik ini mencecah ratusan malahan boleh mencecah ribu. Jadi kecomelannya memang akui kerana boleh dikatakan semua orang yang melihatnya akan mengakui kecantikan dan kecomelannya itu.. Wah bertuahnya aku mendapat Oshin...


2 atau 3 bulan selepas itu, aku mula perasaan sesuatu yang ganjil berlaku pada Oshin... Walaupun Oshin betina tetapi kenapa macam timbul telor je.. setelah diamati barulah aku perasan yang Oshin memang ada telor.. Hiss... hiss... his...! Kucing jantan rupanya.


Apalah nasib! Nak kucing betina tetapi dapat pula kucing jantan. Macam manalah aku boleh tak perasaan yang Oshin ni kucing jantan dulu. Kalau tidak boleh aku pilih anak kucing lain. Ada 4 ekor anak kucing tu dulu. Sekarang dah terlambat. Semua anak kucing tu dah diambil orang. Ibunya pula dah mati dilanggar kereta. Aku rasa sedikit kecewa tetapi aku tetap bersyukur... Walaupun jantan, nama Oshin biarlah kekal sebab kami dah biasa dengan panggilan itu..


Hey macamana nak ambil baka Oshin ni.. susahlah nak pastikan Oshin kawin dengan betina mana... Kalau Oshin betina senanglah..  Ada sapa-sapa yang boleh tolong..      


Ceramah di Masjid Temerloh Jaya

Alhamdulillah malam tadi aku berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz di Masjid Temerloh Jaya. Antara perkara yang aku tertarik dalam ceramahnya ialah:

Cerita Nabi Musa AS

Pada zaman Firaun dahulu, ada seorang pemuda yg. Raja Firaun suka sangat kepadanya kerana perbuatannya suka bergaya dan berpakaian seperti Nabi Musa. Setiap kali Firaun melihat gelagat pemuda itu, dia akan ketawa bersama pembesar-pembesarnya kerana bagi Firaun itu satu penghinaan kepada Nabi Musa.

Semasa peristiwa Firaun dan tentera-tenteranya tenggelam ke dalam laut semasa mengejar Nabi Musa, hanya pemuda ini sahaja yang terselamat, lalu Nabi Musa bertanya kepada Allah akan sebabnya. Allah memberitahu bahawa pemuda itu terselamat kerana dia suka berpakaian dan bergaya seperti Nabi Musa.

Oleh itu, cintailah Rasul kita dan cuba ikuti sunnahnya semampu mungkin agar kita menerima syafaat Nabi di akhirat nanti. Jangan sesekali kita memperlekehkan janggut, serban, jubah dan sebagainya yang menjadi sunnah Rasul kerana itu akan menyebabkan kita terhalang daripada menerima syafaatnya di akhirat nanti.

Jika kita belum mampu mengamal sesuatu sunnah, jgn pula kita memperlekehkan org yang cuba mengamalkan sunnah Rasul. Sebaliknya kagumi dan galakkanlah mereka untuk terus mengamalkan sunnah Rasulullah.

Cerita Nabi Salleh AS.

Nabi Salleh yang mempunyai 2 buah perigi. Sebuah perigi untuk kaumnya yang ingkar manakala sebuah lagi untuk minuman untanya.

Pada suatu hari, datang sahabat baginda ke tempatnya dan memasak menggunakan air perigi kaum ingkar tanpa pengetahuan Nabi Salleh. Apabila baginda menyedari hal itu, baginda menyuruh sahabatnya itu membuang masakan yang menggunakan air perigi tersebut dan meminta menggunakan air perigi unta utk memasak makanan.

Sahabat baginda kehairanan lalu bertanya. Baginda menerangkan jangan mengunakan atau bercampur dengan kaum yang ingkar kerana Allah melaknati mereka. Nabi bimbang orang yang mendampingi mereka akan dilaknati sekali.

Oleh itu elakkan bercampur dgn orang suka melakukan kemungkaran kecuali untuk berdakwah atau terpaksa, kerana bimbang kita juga akan turut dilaknati Allah atas penglibatan kita itu.

Contohnya masa kita berjalan kemudian terjumpa majlis yang melalaikan seperti karaoke dan sebagainya. Elakkan mendakati majlis seperti itu kerana Allah tidak menyukai majlis seperti itu.

Wallahuaklam.

Hasidi Homestay & Guest House

Aku ada beli sebuah rumah di Melaka, lebih kurang 3 tahun lepas. Aku beli rumah tu sebagai aset je sebab aku dan pun tinggal di rumah sendiri di Temerloh. Masa tu adalah duit lebih sikit-sikit setiap bulan. Memang betul duit tu boleh simpan tapi biasanya mudah sangat keluar. Aiy.. maklumlah, bila duit rasa banyak sikit, mana fikir panjang sangat apabila nak berbelanja.

Lama-kelamaan aku rasa elok aku beli sesuatu yang boleh dijadikan aset untuk masa depan aku sekeluarga terutamanya anak aku. Rumahlah paling baik kan sebabnya nak beli tanah takut terbiar je jadinya, nak-nak kalau tanah tu jauh dari tempat tinggal. Oleh kerana isteri aku orang Melaka, eloklah rumah tu dibeli di Melaka sebabnya apa-apa hal senang dia balik bersama keluarga dia. Kita ni bukan tau nasib kita macam mana kan?

Besar juga bagi aku membayar rumah tu bulan-bulan. 800 lebih woooo... gaji macam aku ni kira besar dah sedang tu. Lebih-lebih lagi kita tak duduk di situ, lagilah rasa besarnya. Bayar saja...  je! Nok sewa sayangkan rumah takut rosak. Lagipun lepas tu kita kena serah 100 peratus lah kepada penyewa selagi dia menyewa rumah kita. Tak cekok juga rasanya. Paling baik rasanya adalah dengan menjadikan rumah tu sebagai homestay je kerana aku masih lagi boleh guna rumah tu jika mahu. Selamat sikit sebabnya orang duduk pun tak lama. Di samping dapat menampung sedikit bayaran bulanan rumah tu.

Aku bincang dengan isteri tapi nampaknya dia keberatan sangat. Lagipun takda sapa yang sanggup nak menguruskan homestay tu nanti. Dah minta kepada ipar-ipar menolong tapi semuanya menolak.

Pada satu hari masa makan bersama-sama ipar, aku saya je cakap lagi rumah tu nok buat homestay. Akak ipar aku sorang tu dengan selamba mencabar aku, katanya dia sanggup jaga. Aku tau dia bergurau je tu tapi aku saja ambil serius, ha ha. Bukan senang nak dapat orang rapat sanggup jaga homestay aku nanti. Lepas pada tu aku terus beli perabot-perabot dan sebagainya untuk menyiapkan homestay tu. Akak ipar aku bukan main marah lagi, katanya aku tak faham orang bergurau je. aku terus buat tak faham hingga dia akhirnya alah malu kerana mencabar aku dulu dan akhirnya dia sanggup juga jaga homestay aku tu. Yahoo..

Aku namakan homestay tu dengan nama Hasidi Homestay & Guest House. Bantailah dua-dua nama sekali aku ambik.

Lepas tu aku publishkan dalam mudah.my, buat blog, dan halaman facebook seperti di bawah:

http://hasidihomestay.blogspot.com/
https://www.facebook.com/hasidi.rembia
http://alorgajahhomestay.wordpress.com


Aku tetapkan harga untuk semalam 150 ringgit je dengan 1 bilik tidur dilengkapi pendingin hawa dan 2 bilik lagi ada kipas siling 5 bilah. Setiap bilik juga ada almari. Bilik air pula ada 2 iaitu 1 dalam bilik tidur utama, manakala 1 lagi di dapur.


Di dapur pula lengkap dengan dapur gas, peti sejuk, meja makan dan pinggan mangkuk. Bolehlah nak memasak jika mahu.


Manakala di ruang tamu ada sofa, tv astro, dan meja setarika. Mesin basuhpun ada tapi aku letak di depan atau halaman rumah sebabnya malas tebuk-tebuk rumah aku ni untuk buat macam-macam saluran paip pula. Kalau letak kat halaman rumah tak payah tebuk-tebuk dah, sambung je paip tu ke mesin basuh tu. Buat sendiri je, jimat sikit.

Pandangan dari hadapan Homestay aku. Boleh park 2 buah kerata Waja. Dah test dah.

Aku rasa strategik kedudukan homestay aku ni. Terletak di tengah-tengah Melaka. Kira mudahlah nak pergi ke mana-mana di Melaka ni sebab hampir sama jauh je. Bukalah blog yang aku beri tadi kalau tak caya. Kat sini malaslah nak cerita panjang-panjang nanti nampak sangat aku nok promosi homestay aku ni.. hehe memang nak promosi pun... Dah buat mesti nak lakukan... kalau tak sia-sia jelah.

Oklah itu jelah cerita aku kali ni. Aku sangat-sangat berharap lakulah homestay aku ni.. Jadi saudara dan saudari sudilah menginap di homestay aku ni ya. Memang aku berazam nak bagi yang terbaik untuk pelanggan. InsyaAllah sapa menyewa di sini nanti akan berpuas hati. Kalau ok nanti semua bilik aku masukkan aircond dengan harga sewa yang sama. InsyaAllah.

Eloklah kita bantu-membantu sesama kita kan... mudah-mudahan kita semua sama-sama dimurahkan rezeki..

Hubungi no h/p ni untuk booking:  014 - 841 3707 / Midi

Maaflah jika ada tersilap kata.

Citam!!! Pergi mu satu kehilangan.

Meoww.. meowww... meowww.. boleh dikatakan setiap pagi aku mendengar suara itu. Suara itu datangnya daripada Si Citam, kucing peliharaan ku yang aku pelihara sejak ia baru lahir lagi. Pada waktu itu seperti kebiasaannya pada hari cuti sekolah, aku akan keluar ke gerai untuk membeli sarapan. Semasa aku menghampiri rak kasut, tiba-tiba seekor kucing berwarna putih melompat keluar dari belakang rak kasut tersebut. Selepas diperhati, rupanya dinding belakang rak kasut tersebut telah terkopak. Patutlah ada kucing berselindung di sini.

Aku lihat di situ juga ada beberapa ekor anak kucing. Kucing beranak rupanya. Aku membiarkan anak-anak kucing itu di situ dengan harapan ibunya akan kembali mengambil anak-anaknya. Dinding belakang rak kasut kasut yang terkopak itu sengaja ku biarkan supaya ibunya dapat menyusu atau mengambil anak-anaknya berpindah ke tempat yang lebih selamat. Aku juga berharap begitu kerana aku perlu membaiki rak kasut itu supaya ia terus boleh digunakan.

Pada tengaharinya, aku pergi melihat semula anak-anak kucing di rak kasut tersebut. Eh dah tinggal seekor je... Emm, ibunya tengah memindahkan anak-anaknya ni. Biarkanlah, nanti takut pula ibu kucing tu nak ambil seekor lagi anaknya ni. Aku terus masuk semula ke dalam rumah sambil berlidung di sebalik pintu cermin selisih untuk memerhati ibu kucing yang mungkin sekejap lagi akan datang mengambil seekor lagi anaknya itu. Namun hampir 5 minit menunggu, ibunya tak juga muncul-muncul. Dek kerana jemu menyebabkan aku membiarkan sahaja kucing itu lantas membuat kerja-kerja lain.    

Selepas Asar, anak kucing itu masih di situ. Dia mula bising, mungkin kerana kehausan dan kelaparan kerana tidak dijengok ibunya. Apasal ibu kucing ni. Anak lain diambil, yang ini ditinggalnya pula. Aku mencubit tengkok anak kucing itu untuk dipindah ke dalam kotak. Aku cuba menitiskan beberapa titis air putih untuk menghilangkan dahaganya. Kemudian aku mengeluarkan semua kasut di dalam rak kasut itu kerana aku akan menterbalikkan rak kasut ini untuk membetulkan dinding belakangnya semula.

Sementara itu, anak kucing itu terus mengeow-ngeow. Anak aku pula sudah beberapa kali memujukku agar mengambil sahaja anak kucing ini untuk dipelihara. Akhirnya aku setuju setelah memikirkan kemungkinan anak kucing ini telah ditinggalkan oleh ibunya. Aku menyuruh anakku membuat susu.

Keesokan harinya, anak kucing ini cirit-birit kerana meminum susu yang tidak sesuai. Lantas aku membeli susu khas untuk anak kucing di farmasi walaupun dengan harga yang agak mahal. Dan bermula daripada itulah aku memelihara anak kucing itu yang aku namakan Citam. Pelbagai cabaran yang ku tempoh untuk membesarkannya kerana Citam seekor kucing yang mudah dijangkiti penyakit kulit. Walaupun makanannya ku beli daripada makanan yang terbaik tetapi Citam sangat sensitif apabila luka. Kucing jantan biasalah asyik bergaduh je untuk merebut betina. Bukan sedikit duit ku habiskan untuk rawatannya walaupun kadang-kadang ditegur oleh isteriku.

Tapi itu semua telah menjadi kenangan. Kini Citam hilang entah ke mana. Tak pernah dia hilang selama ini. Kemungkinan besar dia dah menemui ajalnya. Dia hilang  semasa aku membawanya balik ke Melaka. Masa itu Citam berkudis di telornya. Dah berminggu aku biarkan dia dirawat disebuah klinik haiwan di Mentakab. Namun kudisnya tak baik sepenuhnya. Sebelum bertolak ke Melaka, aku lihat Citam hanya banyak tidur dan berehat di rumah sahaja. Biasanya Citam suka merayau-rayau diluar. Aku bertolak dari rumah di Temerloh kira-kira pukul 9 malam. Semasa perjalanan tersebut, Citam sering mengeow menyebabkan beberapa kali aku terpaksa berhenti kerana aku fikir Citam nak terberak. Tapi anehnya, bila berhenti.. tak pula dia berak, malah amat takut keluar dari bekasnya.

Setibanya di rumah aku di Melaka, aku terus membiarkan dia keluar kerana mungkin dia dah tidak tertahan menahan berak. Aku lihat dia terus berjalan ke rumah sebelah, manakala aku tidak menunggu lama kerana perlu mengangkat barang-barang. Aku yakin dia akan balik semula nanti kerana sebelum ini pun Citam dah biasa dibiarkan merayau di kawasan tersebut. Namun sangkaan ku meleset. Sampailah waktu aku mahu berangkat ke Temerloh semula, Citam tak muncul-muncul juga.

Dari segi tanggungjawab aku berasa sedikit lega kerana tak perlu lagi memikirkan pasal Citam tetapi sebenarnya aku berasa satu kehilangan tanpa kehadiran Citam dalam hidup keluarga kami.  

          

Melancong ke Kota Kinabalu lah pulok… Part 1



Dah lama tak berjalan ni… Rasa nak pergi melanconglah pulak… Tapi nak melancong ke mana ya, yang kosnya murah sikit… Hai maklumlah, kalau dah nama melancong, mestilah perlukan duit… dan biasanya memang banyak duit terpaksa diperabiskan untuk melancong ni. Tapi macam manapun aku kena pergi melancong juga sekali-sekala. Kalau tak jadi macam serba tak kenalah. Teringat nak berjalan.. je!

Akhirnya aku cadangkan kepada anak dan isteri aku untuk bercuti ke Kuala Sepetang dalam 2 atau 3 hari. Di sana khabarnya ada sesuatu yang istimewa terutamanya pemandangan matahari jatuh pada waktu senja….dan mee udangnya yang berbeza dari di tempat-tempat lain.. Paling mustahak ialah kosnya tidak terlalu membebankan. Aku jangkakan untuk bercuti ke sana habislah dalam rm 1000 lebih sahaja atau mungkin tak sampaipun. Alhamdulillah.. kalau kurang daripada itu.

Namun semangat aku ke sana menjadi hambar apabila mendengar cerita seorang kawanku yang baru sahaja melancong ke Kota Kinabalu. Mendengar tempat-tempat menarik yang telah dilawatinya di sana menjadikan aku amat teruja. Apatah lagi aku sememangnya sudah lama ingin melancong ke sana tetapi terpaksa dipendamkan sahaja apabila menjangkakan kosnya yang amat tinggi… Aku menunggu duit betul-betul cukup barulah aku sekeluarga melancong ke sana…

Tapi itulah, nak tunggu duit betul-betul cukup tu bila…. haha, dan berapa ribu agaknya baru cukup untuk aku sekeluarga ke sana… Kalaulah nak tunggu duit betul-betul cukup… entah bilalah aku dapat bercuti di sanakan… Lebih baik aku pergi je sekarang… Korek jelah mana-mana duit yang ada… hehehe…
Selepas itu tanpa berfikir panjang lagi, aku terus tempah tiket ke sana melalui on-line… setelah aku membuat perbandingan antara Mas dan Air Asia, akhirnya aku memutuskan untuk menaiki pesawat Mas. kerana beza harga tambangnya taklah begitu ketara ketika itu iaitu dalam rm100 sahaja. Baik aku naik Mas, kerana rasanya Mas lebih selesa dan dapat makan percuma… emmm entahlah… 

Lagi satu, pramugari Airasia ni pakai seksi sangat tau… Elok sikitlah pramugari Mas walaupun masih tidak bertudung. Tak sesuailah bagi aku yang rasanya selalu memilih keadaan yang lebih bermoral walaupun tahu, aku juga tidak terlepas daripada melakukan dosa…. Hehe.. sekurang-kurangnya aku adalah niat dan sedikit usaha ke arah yang lebih baik. Lebih daripada itu, aku masih dapat menilai mana yang lebih baik dan sebaliknya berdasarkan nilai-nilai agama Islam yang amat aku syukuri… 

Kesian sungguh aku tengok pramugari-pramugari tu… walaupun mereka daripada orang-orang Islam tetapi masih memakai skirt dengan pelbagai alasan yang mudah diberikan oleh seseorang yang sudah tipis keimanannya. Itulah jadinya apabila kita melihat keuntungan dunia semata-mata tanpa diimbangi janji balasan di akhirat kelak. Akhirnya kita akan melanggar segala batasan agama demi menikmati dunia yang nyata sementara ini. Aku harap perkara ini tidak terus berlarutan atau dilihat sebagai perkara biasa sahaja sedangkan kita semua telahpun mengaku beriman. 

Mereka sewajarnya tidak perlu berpakaian begitu sebagai seragam wajib mereka. Sekurang-kurangnya pramugari-pramugari ni  diberi pilihan memilih seragam yang lebih sesuai dengan nilai agama Islam yang kita anuti. Apa masalahnya jika pramugari itu menutup aurat. Apatah lagi jika kebanyakan  penumpangnya terdiri daripada orang-orang Islam. Kecualilah jika mereka sudah diberi pilihan tetapi mereka masih memilih pakaian begitu lagi… Itu lainlah, asalkan tidak sampai memaksa mereka berpakaian begitu demi pekerjaan… Malanglah kerana ini berlaku di negara yang diwar-warkan sebagai sebuah negara Islam.

Alamak terbabas pulak cerita aku ni. Nak cerita pasal pergi melancong tetapi hal lain pulak yang aku ingat... Takpalah.. dah tulis tu, terbitkan jelah...

InsyaAllah.. aku sambung cerita pelancongan aku ni sampai habis apabila ada kelapangan nanti.. esok kot!

Penyakit kanser penyakit melara

Ramai juga orang baca blog keh ni gayanya. Sebabnya masa berborok dengan kawan-kawan terutama kawan-kawan lama,  ada sahaja yang bertanya tentang blog keh ni... kenapa tak update dah? Bukannya apa... keh malas menulis sebabnya sibuk sangat dengan urusan-urusan lain... dan bercampur dengan malas sekalilah...

Hari ini koi nok bercerita sikit tentang penyakit kanser. Keh rasa kanser ni penyakit lebih menakutkan daripada penyakit HIV. Apabila kena kanser, nampoknya memang takda harapanlah untuk menikmati hidup dengan sempurna. Walaupun dah dirawat. dikimo, dibedah dan sebagainya... kanser iti akan kembali aktif dalam masa yang agak singkat... walaupun sudah mematuhi segala pantang, makan ubat dan sebagainya.

Pandangan aku ni berdasarkan pemerhatian aku ke atas beberapa kes penyakit ini yang dihadapi dalam keluarga aku sendiri. Setelah mereka terkena kanser, bermulalah perubahan yang ketara dalam kehidupan mereka. Mereka tidak sihat sepenuhnya walaupun telah mendapat rawatan yang sepatutnya. Nok makanpun susah kerana banyak hek pantang-larang. Habis menda nok makan weh dah semua tak boleh. Kesian sungguh....

Walaupun berpantang dan makan ubat yang sepatutnya.. ditambah dengan makanan-makanan supplement lain, penyakit itu akan kembali juga dalam masa tak sampaipun setahun.... Setelah itu mereka akan dikimo kembali dan tahanlah sikit dalam 3 atau 4 bulan sebelum merasai kembali kedatangan kanser dalam diri mereka. Begitulah keadaannya bahkan penyakit itu akan menjadi semakin kronik sehinggalah mereka menemui ajal. Innalillahiwainna ilahirajiun...

Berbanding dengan HIV, pengidap boleh menikmati lagi kehidupan mereka jika mereka makan ubat dengan patuh dan teratur. Mereka tidak perlu menjalani rawatan kimo yang menyakitkan dan membosankan itu. Cuma yang menjadi masalah besarnya pula ialah persepsi masyarakat yang cepat melabelkan pengidapkan penyakit ini daripada golongan nagetif, tanpa mereka memikirkan ada di antara mereka itu mengidap berpunca daripada pemindahan darah dan sebagainya. 

Jadi pengajarannya.. apabila terkena penyakit tu kita kena insaflah yang kedatangannya itu sebagai amaran yang kita semakin hampir menemui Allah. Setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya dan sebagai hamba kita dituntut untuk bersabar dan terus bertaqwa kepada Allah. Ini kerana apabila kita bersabar nescaya kita akan mendapat ganjaran yang tidak terhitung iaitu Syurga.... InsyaAllah  

Perlukah rumah terbuka!


Masih dalam bulan Syawal jadi sempat lagi untuk aku mengucapkan selamat hari raya aidil fitri dan maaf zahir dan batin kepada semua terutama yang mengenaliku. Aku pun sentiasa memaafkan sesiapa sahaja yang mungkin pernah dengan sengaja atau tidak membuatkan aku tersinggung dan sebagainya. Bagi aku memang lumrah kita bergelar manusia ini akan melakukan kesilapan. Itu tidak menjadi hal asalkan kita sedar dan sentiasa membaiki diri dan terus berusaha mendekati diri kepada Allah. Mudah-mudahan kita semua nanti ditempatkan di kalangan orang-orang yang Allah redhai. Amin!!!

Alahai terlebih-lebih pula mukadimah ni, macam ustaz pula. hi, hi!

Berkait dengan hari raya ni, teringat masa aku zaman kanak-kanak dulu. Masa tu nak beraya ke rumah sapa-sapa pun tiada masalah langsung. Tak terfikirpun pasal tuan rumah itu bersedia atau pun tidak untuk melayan kami beraya. Bagi aku apabila hari raya, masuklah rumah sapa-sapapun untuk beraya sama ada orang yang aku kenal atau tidak. Yang penting aku dapat menghilangkan dahaga atau lebih beruntung lagi kalau dapat duit raya walaupun cuma 20 sen. Biasanya banyak itu jelah yang aku dapat daripada tuan rumah sebagai duit raya dalam tahun 70-an di kampung aku Merapoh.

Apa taknya, dulu-dulu pergi beraya dari rumah ke rumah dengan berjalan kaki je. Naik kereta taklah sebabnya jalan raya pun tak da. Jalan yang cantik sikitpun hanya jalan tanah merah atau jalan balak. Kedudukan di antara setiap rumah pula agak jauh hingga kadang-kadang terpaksa berjalan kaki 15 hingga 20 minit untuk sampai. Letih juga weh! Nak-nak pula kalau masa tengah hari buta. Berjeruklah peluk di badan dan rasa macam nak terjelir lidah menahan dahaga. Masa tulah bila nampak je rumah orang, terus pergi bagi salam nak beraya. He, he, yang sebenarnya sebab haus tulah.

Tuan rumah pula melayan kami dengan seadanya. Kuih baulu, lemang, rendang, dodol dan beberapa jenis kuih lain menjadi hidangan biasa. Biasanya mak cik, pak cik tuan rumah tu bertanyalah ini anak siapa, ini anak siapa?  Sekurang-kurang mereka kenal kami anak siapa di kampung tu dan akhirnya mengeratkan lagi sailaturrahim masyarakat kampung.

Sekarang ni lain pula jadinya. Antara jiranpun tiada kunjung-mengunjung di hari raya. Masing-masing buat hal sendiri walaupun pada bulan raya. Aku rasa macam tak sedap pula nak datang ke rumah jiran-jiran atau kawan-kawan saja-saja macam tu kalau tiada rumah terbuka. Mereka pun agaknya macam tu juga. Beratlah nak datang ke rumah kalau aku tak buat rumah terbuka...

Kalau macam inilah, rasanya dah lari jauh daripada tujuan kita meraikan hari raya. Bukankah pada hari ini kita amat digalakkan kunjung-mengujung dan saling bermaaf-maafan. Tak kan apabila buat rumah terbuka baru nak datang menziarah...

Tujuan hari raya ni untuk memudahkan kita ziarah-menziarahi, bukannya untuk makan sedap sahaja. Habis tu kalaulah aku tak mampu nak buat rumah terbuka, hanya sekadar menghidangkan kuih raya, tak dalah kawan-kawan beraya ke rumah aku ya. Entahlah! Sebenarnya jadi macam malu pula untuk mengajak kawan-kawan berkunjung ke rumah kalau tak menyediakan makanan istimewa seperti semasa rumah terbuka. Pelik betul! Aku rasa tak perlu ajak-ajaklah! Dah hari raya, datang jelah…

Aku pula nak datang ke rumah kawan-kawan kena tunggu mereka buat rumah terbuka dululah ye! Nak terus datang beraya nanti takut tuan rumah terganggu atau kurang selesa pula. Rumah terbuka ni rasanya bukan semua orang mampu buat, apatah lagi wang sudah banyak dihabiskan untuk membeli pakaian anak-anak dan sebagainya. Aduh, serba salah jadinya...

Inilah keadaan sekarang yang semakin menjadi ikutan masyarakat terutama di kawasan-kawasan perumahan atau di bandar-bandar. Aku rasa keadaan ini harus dielakkan kerana dibimbangi akan menjadikan amalan ziarah menziarahi pada musim perayaan semakin janggal dilakukan. Tak perlu rumah terbuka, rasa nak beraya datang jelah walaupun dihidang dengan kuih-muih biasa sahaja. Tujuan kita lebih tertumpu untuk ziarah-menziarahi dan mengeratkan silaturrahim. Di hari yang mulia itu, datanglah ke rumah kawan-kawan kita tanpa perlu tunggu rumah terbuka. Manakala tuan rumah pula tak perlulah memaksa diri berbelanja besar untuk hidangan istemewa hingga mungkin merana selepas itu sementara menunggu gaji.

Cukup sekadar termampu sudah memadai. Kembalilah kepada tujuan sebenar kita berhari raya. Jangan pula akhirnya mendapat kemurkaan Allah pada hari raya yang mulia ini kerana menjadikannya sebagai medan untuk kita saling tunjuk-menunjuk atau bermegah-megah dengan kemampuan masing-masing.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Dan Batin.

Ajaibnya Kucing


Lama dah weh aku tak menulis di blog ni. Tak taulah kenapa, malas betul aku nak menulisnya walaupun kadang-kadang ada juga aku teringat kisah-kisah lama yang menarik daripada pengalaman hidup aku.

Walau bagaimanapun hari ni aku nak tulislah sikit satu cerita yang berlaku baru-baru ini. Agak menarik juga cerita ini kerana menyebabkan aku terfikir akan kebesaran Allah.

Entahlah aku dah pernah cerita atau tidak tentang kucing ni. Aku ada pelihara seekor kucing yang aku jumpa depan rumah aku.Masa tu, anak kucing ni berjalanpun tak berapa betul lagi. Kenapalah ibunya tinggalkan anaknya kat sini. Nasib baiklah anak kucing, kalau anak orang, lagilah naya. Sekarang ni kucing tu dah besar. Kalau manusia agaknya sedang sekolah rendahlah. Tengah nakal bermain.

Pada suatu pagi, aku agak kelam kabut kerana banyak perkara yang perlu aku buat sebelum aku pergi kerja. Aku kena sidai baju dan belikan sarapan untuk mak sebelum meninggalkan rumah.Macam biasa semasa aku sidai baju, aku akan lepaskan Si Citam dari sangkarnya. Meouww! Meouww! bunyi Citam apabila nampak sahaja orang keluar rumah. Boring sangat dah agaknya kena kurung semalaman, sebab tulah bising je nak minta keluar. Kadang-kadang apabila pasang je lampu masa bangun subuh, dengar dah Citam mengiau. Tahu sangat nak minta tolong dengan orang untuk lepaskannya dari sangkar.

Sementara, menyidaikan kain, aku akan start dahulu kereta kancil untuk panaskan enjinnya. Citam ni pula selalu sangat melompat masuk sebaik sahaja aku membuka pintu kereta kancil tu. Mungin Citam nak jalan-jalan agaknya. Aku biarkan sahaja, malah aku seronok melihat gelagatnya tertinjau-tinjau di dalam kereta kancil tu.

Lepas sidai baju aku terus pandu kancil untuk membeli nasi lemak mak aku. Citam dalam kereta tu aku biarkan sahaja. Citam nak berjalan sangat, bawalah sesekali, fikirku. Setibanya aku di gerai, aku terus membuka pintu dan sepantas itu juga Citam melompat keluar. Citam terkejut mendengar bunyi deruman kereta dan terus lari entah ke mana. Aku cuba carilah juga tapi tak nampak langsung Citam kat mana. Oleh kerana aku nak cepat, aku tinggalkan jelah Citam kat situ. Lagipun malu juga rasanya dilihat orang ramai gelagat aku yang ke sana sini mencari Citam. Aku berharap jelah moga Citam akan balik kerana ramai dah orang cerita kucing ni pandai balik sendiri ke rumah tuannya walaupun ditinggalkan agak jauh dari rumah tuannya.

Sesampainya di rumah setelah habis bertugas, aku terus melihat-lihat kalau-kalau Citam dah ada kat depan rumah aku. Malangnya Citam tak kelihatan sampailah ke malam. Dah dua hari tetapi Citam tak balik-balik lagi. Sedih aku sekeluarga mengenangkan Citam. Tak tau kenapa akupun rasa sayu sangat kerana aku menyangka Citam dah mati kelaparan atau dilanggar kereta. Citam ni hanya makan palet, nasi atau ikan rebus tidak dijamahnya langsung walaupun aku pernah cuba berikan.

Pada Subuh Jumaat itu, tiba-tiba sahaja aku terdengar anak aku seperi memanggil Citam. Meauw! Meauw! Anak aku menjerit Citam dah balik abah. Citam dah balik! Serentak dengan itu aku mengucapkan Alhamdulillah...

Itu sahaja yang aku nak ceritakan. Yang aku nampak itulah kehebatan kekuasaan Allah mencipta makhluknya. Kucing yang kita anggap tak tahu apa-apa itu rupa-rupanya dapat mencari rumah tuannya. Macam mana kucing ni boleh cari jalan pulang sedangkan masa pergi ke gerai, kucing ni duduk dalam kereta sahaja.

Bagaimana pula dengan kita ni, diberikan akal untuk berfikir menjadi pandai dan cerdik daripada makhluk-makhluk lain. Adakah kita dapat jalan pulang jika kita tersesat daripada jalan kebenaran. Elok fikir-fikirkan lah takut nanti sesat kita terus ke neraka.

Ha ha! Jangan marah.....

Makin ganas

Rasa bimbang juga aku dengan berita keganasan yang semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Tindakan ganas ini bukanlah dilakukan oleh penjenayah tetapi dilakukan oleh individu atau kumpulan yang tidak berpuas hati kepada pihak lain atas dasar bebeza fahaman politik dan sebagainya. Aku  rasa perkara sebegini  agak jarang berlaku sebelum ini.

Kenapa mereka terlalu berani melakukan perkara yang melanggar undang-undang? Adakah mereka ini mempunyai lesen besar untuk membuat apa sahaja termasuklah mencederakan dan menjahanamkan harta benda orang lain?

Adakah tindakan seperti ini menunjuk satu keberanian atau hanya satu tindakan yang bodoh!

Jangan ganas dik!



Aku yakin ini tindakan yang tidak wajar sama sekali. Negara kita ada undang-undang. Oleh itu, undang-undang ini harus dikuatkuasakan tanpa memilih orang. Kita tidak boleh mengambil sesuatu tindakan dengan mengenepikan undang-undang yang ada. 

Orang yang melakukan tindakan seperti ini  tidak patut dibiarkan dan mereka mesti diambil tindakan berdasarkan undang-undang. Jika ini dibiarkan, sudah tentu akan memburukkan reputasi penguatkuasa atau pihak polis. Keganasan sebegini juga akan menular dan ini sudah pasti menggugat keamanan negara kita yang berbilang kaum dan bangsa.

Media massa utama pula mesti memainkan peranan untuk menonjolkan berita keganasan ini sebagai suatu tindakan yang ganas dan melanggar undang-undang supaya gejala seperti ini tidak menjadi suatu ikutan.  

Sebagai seorang warga negara Malaysia, aku terpanggil meluahkan pandanganku tanpa prejudis kepada mana-mana kumpulan. Aku berpegang yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah walaupun kepada keluargaku sendiri. 

Misteri: Air menitis dari siling rumahku pada masa terik matahari

Ini memang misteri betul, bagaimana air boleh menitis dari siling rumah aku sedangkan waktu tu panas terik. Kalau masa hujan tu bolehlah aku agak yang bumbung rumah aku bocor. Ini tengah panas terik dan tak hujan tapi siling basah dan air menitik ke atas tilam dalam bilik anak aku. Habis cadar, bantal dan tilam di katil anak aku tu basah.

Semasa aku baru sampai ke rumahku lebih kurang pukul 7.30 malam dari balik bercuti di rumah mak mertua aku di Melaka sempana Cuti Tahun Baru Cina 2012, terkejut juga aku apabila terlihat siling bilik anak aku tu begitu basah sekali hingga basah sampai ke dinding dan ada air yang menitis. "Lebat betul hujan kat Temerloh Jaya kali ni, tak pernah-pernah jadi basah bilik anak aku sampai macam ni sekali," fikir ku.

Keesokannya pada hari Selasa, isteri aku beritahu siling kat bilik tu masih basah sangat lagi. hai pelik juga jadi begitu sedangkan malam tadi tak hujanpun. Isteriku suruh panjat ke atas siling tetapi aku memberi alasan tak guna panjat sekarang kerana bukannya boleh kesan di mana bocornya. Tunggulah masa hujan nanti, barulah dapat lihat sendiri air yang mengalir di tempat bumbung yang bocor tu. Sekarang ni mungkin air kat siling tu belum betul-betul kering lagi. Nanti apabila dah betul-betul kering, oklah siling tu. Aku cuba menenangkan keresahan isteriku tetapi akupun sebenarnya naik hairan kenapalah lambat sangat siling ni kering. Macam tak masuk akal je kerana basahnya bukan sedikit tetapi siap menitis lagi airnya hingga terpaksalah isteriku menadah tempat tu dengan besen.

Keesokan harinya lagi iaitu hari Rabu, siling bilik anakku itu masih basah seperti mula-mula kami sampai ke rumah pada hari Isnin dahulu. Weh, misteri sungguh ni! Takkanlah tak kering-kering lagi sedangkan panas terik pada siang hari sejak aku sampai ke Temerloh ni. Apa dah jadi!!!


Oleh kerana aku rasa misteri sangat perkara ni. akupun terpaksalah memanjat ke atas siling rumah untuk mengetahui apa sebenarnya telah berlaku di atas tu. Lama dah aku tak buat kerja panjat memanjat ni. Badan aku bukan ringan seperti dulu lagi. Dahulu kalau setakat memanjat ke siling ni kira mainan aku je tetapi sekarang dalam usia aku yang hampir 42 tahun ni, jadi bimbang juga sebab berat badanku mungkin dah bertambah lebih 10 kg berbanding masa aku umur dalam 25 tahun.

Di atas siling, aku hairan kerana aku lihat siling tu basah betul sedangkan bumbung rumah aku kering amat. Biar betul! mana datangnya air ni!

Berbekalkan lampu suluh kecil yang tak berapa terang, aku cuba mencari punca basah tu tetapi gagal. Aku suluh kat paip air di atas siling itu tetapi tidak kelihatanpun sesuatu kebocoran. Misteri betullah. Oleh kerana tak selesa kepanasan di atas siling itu, akhirnya aku mengambil keputusan untuk mengelap sahaja siling tu dengan kain buruk dengan harapan mudah-mudahan siling ni lebih cepat keringlah nanti.

Pada keesokan harinya lagi iaitu pada pagi Khamis, aku jadi betul-betul hairan kerana siling bilik anak aku tetap basah seperti biasa. Aku panjat semula ke atas siling tetapi masih tidak juga mendapat jawapannya. Lantas aku memanjat pula bumbung rumah aku dan terpaksa memijak genting yang panas itu tetapi masih tidak tahu puncanya.

Fikiranku mula mengagak perkara-perkara yang misteri. Adakah ini perbuatan syaitan? Aku panjat siling sekali lagi. Apabila sampai di kawasan siling yang basah tu, aku membaca Ayat Kursi beberapa kali dan menghembuskan ke siling basah tu supaya syaitan lari sambil menyuluh ke sana-sini untuk mencari tanda-tanda yang menyebabkan siling ini basah. Tiba-tiba aku terlihat sesuatu pada sebatang kayu di bumbung rumahku. Kenapa tempat ni basah! Adakah ada air yang mengalir dari atas bumbung ke sini... tetapi mustahil...! Kan bumbung kering kontang masa ku memanjat bumbung tadi!

Aku menyentuh kawasan kayu yang basah dan aku dapat rasa sesuatu sentuhan di belakang tapak tanganku. Cepat-cepat aku suluh tanganku, aku nampak kabus berada di belakang tapak tangan aku. Weh, mana datangnya kabus ini? Aku terus menyuluh dan akhirnya aku dapati kabus itu berpunca daripada pancutan air dari paip di atas siling rumahku. Lah... inilah sebabnya rupanya....!

Ha ha ha ha ha! Lucu betullah. Aku ingat apalahhh tadi... Emmm takpalah!

Itulah bukti kebesaran Kalamullah. Alhamdulillah Allah telah selesaikan misteri itu setelah aku membaca kalam Mu. AllahuAkbar. Aku ambil peristiwa ini sebagai iktibar untuk meningkatkan keimananku. Selepas membaca Ayat Kursi dan berharap, Allah telah bukakan jalan. Kan itu suatu bukti kekuasaan MU.








Halus betul bocornya. Manalah aku nampak kat atas siling yang gelap ni. Nampak terang ni sebab aku guna flash kamera.










Inilah peralat yang aku gunakan untuk menyelesaikan masalah siling basah ni.

Allah mengasihimu

Agak lama peristiwa ini berlaku tetapi berat rasanya untuk ku luahkan kerana tak sanggup rasanya untuk mengenang kembali peristiwa yang menyedihkan itu. Itulah dunia, tiada siapa yang hidup untuk selama-lamanya.

Ya Allah tempatkanlah abang bong ku bersama-sama orang yang Engkau Rahmati. Walaupun aku sedih tetapi secara jujur terdetik di hatiku sedikit kelegaan dek kerana tak sanggup melihat penderitaanmu yang bagai tiada penghujungnya sejak dihinggapi kanser. Aduhh! alangkah azabnya bernafas tanpa hidung. Sedih sangat melihat abang terpaksa bernafas menggunakan sejenis tiub yang dilekatkan dileher hampir dua tahun lamanya. Selepas itu, rutin harianmu pun berputar 180 darjah daripada sibuk ke sana ke sini berceramah kepada duduk terperap di wad atau atau di rumah sepanjang hari.

Pada waktu jenazah mu dimandikan, aku terpegun melihat wajahmu bagaikan orang sedang tidur. Tidak nampak pun wajah seorang yang menanggung kesakitan seperti yang biasa aku lihat apabila menziarahi mu dalam 2 atau 3 tahun ini. Malah, Aku lihat wajahmu tenang dan berseri seperti abang baru menerima sesuatu anugerah. Tidak terdetik di hati ini perasaan takut seperti mana biasa apabila aku menolong memandikan jenazah. Aku begitu berani menyentuh, memegang dan menggosok tubuh mu dan aku rasakan tubuhmu begitu bersih dan lembut bagaikan engkau masih hidup.

Aku amat kagum dengan kesabaran mu menghadapi bermacam-macam ujian Allah. Mungkin Allah menguji mu kerana Allah mengasihi mu. Tak perlulah aku nak ceritakan segala-galanya ujian itu tetapi cukuplah kalau aku nyatakan yang ujian itu amat berat. Hanya orang-orang tertentu sahaja terus sabar dan bertakwa kepada Allah menghadapi ujian seperti itu.

Sesungguhnya peristiwa pada pukul 5 pagi, 19 Disember 2011 itu sungguh pedih untuk aku ingati tetapi aku bersyukur kerana aku yakin abang dalam golongan orang yang Allah Redhai. Amin!

Mak mahu ke Pulau Pinang

Kesian sangat pada mak aku ni. Semakin hari semakin uzur. Dulu masa di rumah aku, boleh juga dia pergi ke ruang tamu menonton televisyen jika bosan dengan berjalan perlahan-lahan berpapah kat dinding tetapi sekarang ni dia hanya terbaring di katil di biliknya sahaja. Kalau bangunpun untuk buang air atau makan. Makanannya kami kena hantar kat bilik kerana dia tak larat nak duduk lama-lama di kerusi.

Penyakit kencing manis dan jantungnya semakin teruk. Dulu ubatnya pil sahaja tetapi sekarang doktor kata mak aku perlu disuntik insulin. Masa di rumah aku ni, aku tolong suntik insulinnya dua kali sehari. sekali pagi dan sekali petang. Memang aku rasa ngeri untuk menyuntiknya tetapi apa nak buat, dah terpaksa.

Baru-baru ni mak aku dimasukkan ke wad semula setelah dibawa ke hospital oleh abang cik aku. Semasa aku balik ke Merapoh pada Hari Raya Haji baru-baru ni, aku memang dah perasan yang mak aku nampak macam tak berdaya sahaja. Aku ajak dia ke rumahku di Temerloh tetapi dia enggan dengan alasan kerja-kerja membuat bilik dan mengubahsuai bahagian depan rumahnya di Merapoh ni belum siap sepenuhnya. Dia kena tunggu sehingga selesai semua urusan itu barulah boleh ambilnya. Walaupun keberatan meninggalkannya dalam keadaan begitu tetapi aku tak bolehlah memaksanya.

Beberapa hari kemudian aku bertambah bimbang selepas menelefonnya di kampung. Suaranya memang macam tak sihat sangat lalu aku sms semua adik beradik aku yang jauh untuk memaklumkan keadaan mak aku itu. Abang cik aku di Keratong dengan penuh perihatin terus balik ke Merapoh untuk melihat mak aku. Kemudianm dia membawa mak aku ke Hospital Temerloh lalu mak dimasukkan ke wad. Terima kasihlah abang cik atas keperihatinan itu. Semoga menjadi contoh dan teladan kepada kita semua.

Setelah hampir dua minggu di wad, barulah mak aku dibenarkan keluar. Masa di wad kami semua bergilir-gilir menemaninya di wad itu. Kakde, Kakjang, Kakdak, dan abang cik tidur di wad lebih kurang tiga malam seorang. Bila tiba giliran aku, Alhamdulilah mak dibenarkan dibawa pulang dan aku membawa mak ke rumah aku di Taman Temerloh Jaya.

Aku memang dah lama merancang untuk pergi berjalan atau melancong ke Pulau Pangkor dalam cuti sekolah hujung tahun ini. Aku tertarik mendengar aktiviti snorkeling seperti yang diceritakan oleh seorang rakanku yang pernah pergi ke sana. Sebelum ke situ aku merancang untuk menziarahi abang bong aku yang sudah lama sakit di Penaga, Pulau Pinang. Tempat jauh ni susahlah nak datang melawat kerana bukan sahaja jaraknya yang jauh tetapi kita juga kena bersedia dengan masa dan wang ringgit. Memang sudah lama aku tak melawat abang bong aku yang sakit tu tetapi apakan daya, keadaan tidak mengizinkan aku ke sana selalu.

Aku ceritakan hasrat aku itu kepada mak aku. Aku juga beritahunya tidak dapat membawanya sekali dengan alasan dia masih terlalu lemah untuk ke sana. Aku ingin menghantar mak aku ke rumah abang cu aku di Bagau Parit sementara aku berjalan ke sana. Sebelum itu aku ada bercerita kepada abang-abang dan kakak-kakak aku tentang perkara itu dan mereka semua melarang aku membawa mak aku berjalan sekali memandangkan dia masih terlalu lemah.

Aku lihat mak aku diam saja setiap kali aku beritahu akan menghantarnya nanti ke rumah abang cu di Bagau Parit. Sehari sebelum aku bertolak ke Pulau Pinang, aku ajaklah mak aku ke rumah abang cu tetapi rupanya mak aku ingin mengikutku walaupun keadaannya seperti itu. Puas aku memujuknya supaya tinggal sahaja di rumah abang cu tetapi dia tetap bertegas untuk mengikut kami ke Pulau Pinang yang memakan masa 6 hingga 7 jam perjalanan dari Temerloh. Aku risau nanti dia tidak larat duduk di dalam kereta selama itu,  apatah lagi dia baru sahaja beberapa hari keluar dari wad. Bagaimanapun akhirnya aku dengan rela hati membawa juga mak aku memandangkan kesungguhannya untuk mengikutku ke sana walaupun mungkin menerima risiko mak jatuh sakit dek kerana terlalu keletihan berjalan. Aku cukup tersentuh apabila dia berkata "Nak risau apa, kan awok ada!". Aku bertawakkal kepada Allah, semoga mak aku selamat pergi dan pulang.

Kenapa mak aku beria-ia sangat nak mengikutku ke Pulau Pinang?

Sebenarnya mak aku tu terlalu rindukan abang bong. Abang bong memang dah tak berdaya untuk datang menjengoknya. Khabarnya penyakit abang bong semakin teruk sekarang. Entah kenapa bahagian belakang dan lehernya membengkak tanpa diketahui sebabnya.

Setibanya kami di rumah abang bong kira-kira pukul 4.30 petang. Di muka pintu rumahnya, aku terus nampak abang bong tersenyum sambil memandangku. Aku memberi salam dan terus menuju kepadanya yang tersandar di kerusi malas untuk bersalaman. Aku melihat wajahnya, dia lebih kurus dan cengkung daripada masa aku datang ke rumahnya hampir setahun lalu. Aku melihat dan merasa tempat bengkakan di leher dan di belakangnya. Bengkak itu agak besar dan rasanya keras bagai ada tulang di dalamnya. Katanya tempat itu memang sentiasa terasa sakit bagai ada duri yang menusuk. Ada masa rasa sakitnya terlalu kuat dan ada masanya agak reda. Masa redalah dia dapat terlelap sesekejab di kerusi malas itu. Cubalah bayang jika kita berada di tempatnya sekarang yang sentiasa menanggung sakit dan tidak dapat tidur secukupnya sudah lebih setengah tahun. Adakah kita terus bersabar dan mampu tersenyum sepertinya...

Dia memberitahuku di kerusi inilah dia duduk setiap hari termasuklah pada waktu malam. Dia tidak dapat tidur di katil kerana bengkak di belakang dan lehernya itu akan lebih terasa sakitnya apabila berbaring di atas katil. Di kerusi inipun bukanlah dapat tidur lena sangat tetapi dia berasa lebih selesa dan dapatlah terlelap juga sekali sekala...

Kucing



Dah lama aku minat memelihara kucing ni tetapi tak jadi sebab beberapa masalah. Pertama aku ni duduk kat kawasan taman, susahlah kucing tu kalau nak cari tempat untuk berak. Kalau di kampung, kucing boleh cari sendiri tempat di luar rumah kalau nak berak. Kawasan taman ni tanahnya terlalu terhad sebab semuanya dah bersimen atau bertar.

Kedua kalau nak pelihara juga kucing di kawasan taman ni boleh tapi terpaksa banyaklah sikit belanjanya. Bekas najis dan pasir kucing mesti kena beli. Itu dah berapa puluh ringgit sebulan. Nak ajar kucing berak kat tandas pula rasanya susah, apatah lagi kedua-dua tandas kat rumah aku ni tandas duduk. Boleh ke ajar kucing tu nanti berak kat tandas duduk tu. Selain tu rasanya aku kena beli makanan kucing sebab ramai orang kata kalau kita bagi makan nasi, bulu kucing tu akan gugur. Lecehlah kalau macam tu.

Sebenarnya dulu aku pernah sekali pelihara kucing. Aku dah lupa macam mana aku dapat kucing tu tapi tak silap aku, anak kucing tu aku jumpa kat depan rumah aku, tempat parking kereta. Mungkin anak kucing tu ditinggalkan ibunya jadi aku kesianlah takut dia kebulur nanti. Anak aku pun memang suruh sangat aku jaga kucing tu. Aku jaga kucing tu dalam sebulan dua tetapi lepas tu terpaksa aku bagi kucing tu kat abang cu aku. Ini kerana kucing tu asyik berak di tanah kat laman rumah jiran aku je. Rumah akupun ada juga sikit kawasan tanah tetapi kucing tu lebih minat berak kat laman rumah jiran aku. Aku naik malulah sebab setiap kali aku balik kerja, aku tengok jiran aku tu sedang membuang najis kucing aku kat dalam tanah laman rumahnya. Akhirnya kucing tu aku serahkan kepada abang cu aku. Anak kucing tu warna putih dan kami panggilnya Comel.

Baru-baru ni dalam sebulan dua, ada lagi seekor anak kucing ditinggalkan oleh ibunya kat depan rumah aku. Anak kucing ni halus sangat lagi. Berjalanpun tak berapa betul, terhengkang-hengkang. Pada mulanya aku letak dia dalam sebuah kotak dan biarkan kat luar rumah. Aku harap ibunya akan datang ambil anaknya nanti. Beberapa hari berlalu tetapi ibunya tak datang juga. Akhirnya aku ambil keputusan untuk menjaga anak kucing ni sebab rasa kesian sangat.

Pada mulanya aku bagi dia susu biasa je tetapi masalahnya anak kucing ni cirit pula. Nampaknya terpaksalah aku keluar belanja untuk anak kucing ni. Habis duit aku dekat rm50 membeli susu khas untuk anak kucing serta puting susunya sekali. Ha ha ha, semenjak itu jadilah aku bapa angkat anak kucing ni. Kemudian aku beli pula sangkar kucing, pasir kucing, makanan kucing dan lain-lain lagi. Ada sekali tu dia monyok je, terpaksalah bawa kucing ni ke klinik. Kalau balik kampung pun aku bawa anak kucing ni balik sekali. Selalu juga aku terpaksa tumpangkan anak kucing ni di rumah abang cu kalau kami berjalan tak lama. Terima kasihlah abang cu sekeluarga. Anak aku namakan anak kucing jantan ni Si Citam kerana warnanya bertompok tiga iaitu warna hitam, putih dan kelabu.

Memang susah jaga kucing ni tetapi sebenarnya ia menyeronokkan. Aku rasa aku nak terus jaga kucing ni, InsyaAllah...

Satu perkara yang aku terfikir sangat-sangat apabila aku menjaga kucing ni ialah kehebatan Allah Yang Maha Agung. Aku pelik melihat kejinakkan kucing ni seperti memang diciptakan Allah sebagai binatang manjaan manusia. Kucing ni memang ada tindak balas secara langsung dengan manusia seperti boleh bergurau, bermain, dan sebagainya yang cukup menenangkan kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Pencipta yang menciptakan pelbagai-bagai makhluk dengan pelbagai-bagai peranan. MasyAllah....  

Ini link video aksi Si Citam, anak kucing aku tu...

Tua

Apabila aku teringatkan akan hari tua, kecut rasanya hatiku. Aku kerap terfikirkan hari itu lebih-lebih lagi melihatkan ibuku yang semakin uzur dari hari ke hari. Badannya semakin lemah dan tak berdaya, kesihatannya sering terganggu serta kemampuan diri untuk berdikari semakin terhad. Deria pendengaran pula semakin lemah, manakala lutut sentiasa menjadi masalah kepadanya untuk bergerak.  


Nak atau tidak banyak urusan termasuklah hal-hal peribadinya terpaksa dibantu oleh orang lain terutamanya anak-anak. Jika hendak ke bandar contohnya, anak-anak atau cucu-cucu mesti sentiasa ada berhampirannya kerana dia selalu perlu dipimpin atau dipapah. Bagiku, selagi dia ada keinginan untuk bersiar-siar dan sebagainya, selagi itulah aku harus melayannya dengan penuh tanggungjawab seikhlas mungkin mengikut kemampuanku. Itulah yang aku sentiasa harapkan dan berdoa agar tidak timbul rasa malas atau payah untuk melayannya dengan keadaannya itu. Sesungguhnya itu semua adalah dugaan besar kepadanya dan semua anak-anaknya.



Apakah aku nanti akan menempuh keadaan itu. Mungkin jika aku panjang umur. Siapa tahu umurnya berapa?

Selain kematian rasanya itulah keadaan yang juga amat digeruni oleh semua orang iaitu 'hari tua'. Aku rasa ibuku lebih beruntung daripada aku kerana dia mempunyai anak yang ramai dan masing-masing mengambil berat tentangnya. Nasibku nanti tak tahulah bagaimana jika sampai ke saat itu. Semuanya dugaan Allah dan aku berharap akan sentiasa tabah menghadapi saat sedemikian.

Walaupun dikelilingi anak-anak yang mengambil berat, padaku itu sebenarnya masih tidak memadai untuk melegakan beban yang ditanggung oleh seorang tua.  Mereka perlu betul-betul tabah untuk menghadapi ujian yang berat itu. Mungkin pada masa itu mereka sering merasa kesunyian dan dipinggirkan. Apatah lagi jika anak-anak kurang mengambil berat tentang perasaan mereka.

Mungkin ramai anak-anak kurang mengambil berat soal perasaan mereka ini dan melayan ibu bapa seperti pada waktu mereka sihat dahulu. Mereka sering sendirian dan kurang berbual untuk meluahkan masalah atau perasaan kerana anak-anak dan cucu-cucu bosan dengan cara perbualan mereka. Apatah lagi jika perbualan itu diganggu oleh kelemahan pendengaran mereka hingga terpaksa bercakap dengan suara yang tinggi dan diulang-ulangi.    

Zaman muda dahulu mereka boleh ke sana ke sini untuk menemuai dan berbual rakan-rakan tanpa halangan tetapi sekarang mereka perlukan anak-anak untuk melayan luahan mereka. Jangan sampai ibu bapa kita yang sudah tua berasa berat untuk meluahkan masalah mereka kerana sikap kita yang sering mengelak daripada berbual denga mereka.

Bagaimanapun sebagai peringatan semua, elakkan daripada berbual tentang keburukan orang lain. Alihkan kepada perkara-perkara lain jika sekira mereka berbual tentang salah anak itu, salah anak ini atau jika perlu, tegur atau nasihatkan mereka dengan lembut dan penuh hormat. InsyaAllah semuanya akan diberkati Allah.

Polis, Saman dan Along

Siapa suka kena saman? Semua orang tak suka kena samankan? Tapi kenapa ramai sangat yang kena saman jalan raya ni? Tak lain tak bukan kerana tidak mematuhi peraturan jalan rayalah. Tak kiralah peraturan tu bagus atau tidak, peraturan tetap peraturan.

Apabila kena saman, ramai orang yang tak puas hati. Apatah lagi jika kena saman ekor. Mereka kata tak patut saman ekor ni. Cara ni zalim dan tak bertimbang rasa.

Akupun sependapat begitu. Saman ekor ni memang tidak adil dan satu peraturan yang zalim, bukan bertujuan untuk mendidik rakyat mematuhi  peraturan jalan raya. Ada beberapa sebab aku beranggapan saman ekor tu begitu.

Pertama saman ekor ni akan terus dikenakan tanpa diberi amaran. Jika benar tujuannya untuk mendidik rakyat, kenapa kesalahan pertama di laluan itu tidak diberi surat ingatan atau amaran sahaja dahulu. Sepatutnya, jika melakukan kesalahan kedua, di tempat yang sama barulah dikenakan saman. Jika lakukan lagi untuk kali yang seterusnya, nilai saman boleh digandakan atau dinaikkan dengan alasan orang itu degil atau sengaja melanggar peraturan. Aku rasa cara ni lebih berhemah dan berperikemanusiaan.

Kedua, apa yang aku tahu saman tak boleh dibatalkan. Jika itu benar, aku rasa cara ini satu tindakan yang tidak perihatin kepada masalah orang ramai.Ini kerana kadang-kadang mereka memandu melebihi had laju kerana sesuatu yang memaksa seperti hal-hal kecemasan. Aku kira pihak berkuasa perlu mendengar dahulu rayuan mereka untuk dipertimbangkan.  Jika ada alasan serta bukti-bukti yang kukuh, apalah salahnya saman itu dibatalkan atau dikurangkan.

Aku dahulu pernah disaman ditempat yang sama dalam masa tidak sampaipun setengah jam. Saman pertama masa perjalanan mengambil anakku di sekolah. Manakala saman kedua pula semasa aku dalam perjalanan balik semula ke rumah. Kenapa satu daripada saman ini tidak boleh dibatalkan sahaja.

Memang aku memandu melebihi had laju 60/kmj tetapi jalan selepas jambatan Temerloh ke Mentakab tu lurus. Akupun bukan bawa laju sangat, dalam 70 ke 80 kmj sahaja, sesuailah dengan keadaan jalan raya yang begitu. Aku rasa dalam keadaan begini sepatutnya aku diberi peluang untuk membuat rayuan. Sekurang-kurangnya satu daripada saman itu dibatalkan sahaja. Barulah orang ramai tidak rasa dizalimi dengan peraturan jalan raya.

Ketiga, kenapa tindakan kepada orang yang tidak membayar saman tidak dilakukan secara berperingakat-peringkat. Aku rasa tiba-tiba sahaja semua orang kena bayar saman sebelum tarikh tertentu sedangkan ada orang lama dan ada orang yang baru kena saman. Sepatutnya tindakkan yang lebih tegas untuk orang yang dah lama kena saman. Selain itu orang ramai mesti dibenarkan membayar saman secara ansuran kerana ramai di antara mereka yang nilai samannya mencecah beribu-ribu ringgit. Cara ini sudah tentu lebih bertimbang rasa.

Bukan salah mereka tetapi dahulu pihak berkuasa seperti tidak mengambil tindakan setegas ini. Pada masa itu ramai yang menganggap jika tidak membayar samanpun tidak akan diambil apa-apa tindakan. Janganlah terburu-buru dalam bertegas sehingga menggunakan pendekatan ala-ala along menuntut hutang.

Bagiku penguatkuasaan peraturan jalan raya amat penting. Saman mesti dikenakan kepada pesalah jalan raya tetapi mestilah caranya lebih bertimbang rasa dan perihatin akan masalah orang ramai.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mohlah ikut aku!

Catatan Popular

Mohlah jengok!

  • [image: MISTERI PERJANJIAN 100 TAHUN TUN MUTAHIR PAHANG: FAKTA SEJARAH ATAU SEKADAR LEGENDA?] Sejarah negeri Pahang sarat dengan kisah kebangkitan, peper...
  • sagameเล่นเว็บเก่า ทางเลือกของผู้เล่นที่ชื่นชอบความคุ้น […] The post sagameเล่นเว็บเก่า ทางเลือกของผู้เล่นที่ชื่นชอบความคุ้นเคยและใช้งานง่าย appeared fir...
  • SAHABAT Sahabat Kutahu jiwamu tercalar luka Sesak nafasmu bagai hilang hela Namun kau gagahi jua Menahan tangis yang kian menyucuk hujung mata Hatimu ke...
  • Assalamualaikum semua, apa khabar? Pada suatu hari dalam bulan April 2026, makcik dengan Daus jalan-jalan cari tempat makan sekitar Subang Jaya… sekali ...
  • Sila muat turun "Syair Perang Musuh Bisik" versi Jawi dalam format PDF, kik DI SINI Untuk muat turun syair dalam bentuk aplikasi Android di Google Play, s...
  • Alhamdulillah... Akhirnya tercapai juga hasrat untuk membina sebuah rumah untuk isteri aku walaupun hanya rumah kampung je, syukur. Hasrat keluarga mentua a...
  • Hujan lebait enjak malang semalang lagi. Sampei ke siang tak beghenti. Bingit bunyi atak zing. Ander kecak-kecak air ataih lantei. Taghih sikit. Mok s...
  • Koi Orang Pahang ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2016. Semoga tahun baru 2016 akan membawa kita kemajuan dan perubahan yang diharapkan.
  • Harga Terbaru Tiket Tambang Bas 1 April 2015 Semua barang naik, harap gaji pun akan naik jugak ah...hahaha..doa banyak - banyak k...
  • *https://www.youtube.com/watch?v=IbldsUPVveo&list=UU4zhKrEaSXjd6pcVgCgGHwA&index=5* https://www.youtube.com/watch?v=MzqNnxmdTGk&list=UU4zhKrEaSXjd6pcVgCgGHw...
  • Assalamualaikum.. Saya rasa terpanggil untuk berkongsi sesuatu di sini tentang suami saya seorang penghidap "migrain" ...Saya tak pasti ,sejak bila dia mul...
  • Baru-baru ni ramai orang terutamanye yg duduk di Dekroh Bere tersedok kuih bila buletin utama memaparkan berita mengenai pencerobohan kawasan hutan seluas...
  • 27 - 31 Dis 2012 - percutian musim sejuk. Apa taknya - kesejukan teramat sangat bawah 10 degre C.Sebelum berangkat, saya telah dimaklumkan untuk bersiap se...
  • *6 Disember 2012* *setelah selesai makan tengahari kami sekeluarga menunggu speed boat untuk kembali ke Sibu dan seterusnya kembali ke Semenanjung* * Ting...
  • ِإن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُ...
  • Assalamu alaikum. Selamat Hari Raya maaf zahir batin kepada semua kengkawan blogger. InshaAllah panjang umur saya akan kesini lagi. Take care. Pegi open h...
  • *KEBUN HAYAT* *menanam budi* *sekebun hayat* *tumbuh harapnya* *mekar kasih.* *menyiram kasih* *sekebun hayat* *mekar budinya* *seluas sayang.* *menuai ci...
  • بسم الله الرحمن الرحيم Al ikhlas Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; be...
  • Air hujan yang bersih dan segar akan mengalir ke sungai-sungai yang jauhnya berbatu-batu sebelum ia berkumpul dalam empangan di mana ia akan dirawat dan...
  • Pemandangan depan rumah Mertua AbgAji di kampung. Takda rezeki balik kali ini semua buah-buahan belum masak lagi. Perdu buluh(baka rebung madu) yang bar...
  • DEERLAND KUALA GANDAH HOSPITAL TEMERLOH  ELEPHANT SANCTUARY KUALA GANDAH PEKAN SEHARI TEMERLOH HUTAN LIPUR GUNUNG SENYUM SANGKAR IKAN PATIN...
  • Untuk panduan yang pertama malam ni saya nak beri panduan berkenaan bagaimana ingin setting shoutmix agar masa yang tertera sama dengan jam yang ada di Mal...
  • Jumaat yang lepas, CP berpeluang menonton Teater Natrah Musim Kedua di Istana Budaya.. Sedikit sinopsis teater tersebut seperti di bawah: *Teater Natrah...
  • *...orang senang tambah-tambah senang ......(isi tempat kosong)* Kad Kredit 1. Pakai dulu bayar kemudian 2. Lambat Bayar Kena late charge dan kena intere...
  • *Boya* Korang kenal boya? Sejenis pengangkutan air yang digunakan untuk menyeberang sungai. Rupanya seperti sampan bersaiz besar dan diperbuar dari kelul...
  • Letter from India My dear Bala, I am in a well here and hoping you are also in a well there. I'm writing this letter slowly, because I know you cannot r...
  • Sumber: Malaysian Fishing Net Teman pernah kena usik masa kat Sungai Tekam, tempatnya selepas jambatan kedua Tasik Banding akan sampai ke simpang RPS Banun...
  • *Pemilihan besi untuk dibakar, untuk dibuat mata parang, perlu teliti. Antara yang aku sukai ialah papan chain saw. Ia perlu dbelah, dipotong ke bentuk yan...