6 orang pemuda Indonesia di Ka'bah

Terkilan rasanya apabila telah berada di tanah suci Mekah untuk melakukan umrah tetapi tidak dapat mencium Hajarul Aswad. Oleh itu, aku mahu mencuba lagi pada hari esok selepas selesai melakukan umrah kali kedua nanti. Itu niat ku.

Keesokan harinya selepas sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim, aku menuju ke arah Hajarul Aswad yang sesak dengan manusia yang sama-sama berhajat seperti aku. Jauh lagi nak sampai ke Hajarul Aswad tetapi aku mula berhimpit-himpit dengan tubuh-tubuh besar. Namun, aku tak lemah semangat. Aku terus berusaha untuk mencapai niat ku itu.


Tiba-tiba aku disapa mesra oleh seseorang dengan bahasa yang aku faham. Aku menoleh dan mendapati ada 6 orang pemuda yang berjubah dan berserban sedang merapati aku. Mereka ingin membantu aku untuk mencium Hajrul Aswadnya. Rupa dan tutur mereka aku ketahui yang mereka dari Indonesia. Bicara mesra bagai ustaz yang mahu membimbing manusia mencapai kesempurnaan ibadah. Mulia sungguh hati mereka sehingga bersusah payah mahu menolong ku. Mungkin mereka lihat aku bangsa serumpun dengan mereka lalu ingin menolong aku dengan seikhlasnya. Fikirku dalam kehairanan.

Mereka menyuruh aku berdiri di tengah mereka, manakala mereka disekeliling aku. Kami terus bergerak menuju ke Hajarul Aswad dengan berhimpit dengan tubuh-tubuh besar yang sesak berhampiran Hajarul Aswad itu. Aku tidak berasa sesak dada seperti percubaan ku secara bersendirian pada hari semalam. Malah, aku bagaikan mudah sangat untuk sampai ke hajarul aswad dengan pertolongan hamba-hamba Allah yang berhati mulia ini.

Aku bagai tidak percaya kerana dalam masa tak sampai 5 minit, kepala ku telahpun berada di Hajarul Aswad. Aku mencium sepuas-puasnya batu itu sambil berdoa. Mereka menyuruh aku mencium dan berdoa sepuas-puasnya di Hajarul Aswad. Walaupun terasa ada tolah menolak di belakang ku tetapi aku dapat melakukannya dengan agak selesa. Mungkin aku boleh lama lagi mencium Hajarul Aswad pada waktu itu tetapi aku berasa kasihan kepada orang lain yang turut berhajat seperti aku. Selepas aku rasa hajat ku telah tertunai, aku pun meminta mereka membawa aku keluar dari situ untuk memberi laluan kepada orang lain pula.

Aku berundur ke balakang semula bersama-sama mereka. Sungguh ku tak sangka, kali ini aku dapat mencium Hajarul Aswad dengan mudah sekali. Allah telah tunaikan hajat ku dengan asbab 6 insan yang berhati mulia ini. Aku bersyukur tidak terhingga.

Mereka menghampiri ku dengan tersenyum sambil mengucapkan syabas kerana telah berjaya mencium Hajarul Aswad. Aku pun mengucapkan terima kasih yang teramat sangat kerana sudi membantu melunaskan hajat ku itu. Tiba-tiba seorang daripada mereka meminta 500 riyal kerana bantuan mereka itu. Terkejut aku. Bukan aku mengupah mereka. Seingat aku, mereka datang tadi kerana mahu menolong ku sahaja.

Aku tidak mahu membayar upah yang tidak sepatutnya itu. Mereka rupanya mahu mengambil kesempatan untuk mengaut untung ke atas orang yang teringin sangat mencium Hajarul Aswad. Pertolongan mereka rupanya tidak seikhlas yang aku sangka. Aku telah ditipu dihadapan Ka'abah.

Mereka tetap meminta wang upah daripada ku. Aku tetap berdegil dan berlalu dari situ. Mereka mengekori ku. Aku mula berasa rimas. Aku berhenti dan menghulurkan 50 riyal sahaja sebagai saguhati kerana pertolongan mereka. Mereka cakap itu tidak cukup kerana mereka ramai. Aku membalas, itu sahaja yang dapat aku berikan dan terus berlalu dari situ menuju ke arah seorang polis atau pengawal di kawasan itu. Mujurlah selepas itu mereka tidak mengekori aku lagi.

Adakah aku hanya berjaya mencium Hajarul Aswad kerana pertolongan 6 orang hamba Allah ini?? Tunggukan jawapannya dalam posting ku seterusnya nanti.

Masih muda dan bertenaga??

Syukur ke hadrat Allah yang Esa atas rahmatNya yang mengizinkan diri ku untuk melaksanakan ibadah umrah pertama yang diwajibkan kepada muslimin dan muslimat. Jika ikutkan kewangan, aku kurang mampu lagi untuk ke sana pada waktu itu.


Aku mahu sekali mencium Hajarul Asswad walaupun aku tahu mungkin amat sukar untuk melakukannya. Ramai betul orang  berebut-rebut untuk mencium hajarul aswad itu. Tubuh mereka besar-besar dan tinggi-tinggi. Bolehkah aku bersaing dengan mereka untuk mencium hajarul aswad sedangkan tubuhku kecil dan agak pendek. Aku menyakinkan diriku sendiri yang aku pasti boleh menciumnya kerana aku masih muda dan bertenaga. Aku akan himpit sedikit-demi sedikit tubuh-tubuh besar itu sehingga aku berjaya mencium hajarul aswad.

Tanpa bertangguh lagi aku mula bersaing dengan tubuh-tubuh arab yang berbadan sasa. Aku cuba mendekati hajarul aswad dengan mencelah-celah tubuh-tubuh sasa itu. Tidak lama selepas itu, aku mula merasa sesak nafas. Namun, aku terus bertahan sehinggalah aku betul-betul hampir dengan hajarul aswad. Aku mesti terus bertahan kerana tak sampai sekaki lagi aku dengan hajarul aswad. Aku berasa bangga kerana kejap lagi tentu aku akan mencium hajarul aswad. Mesti boleh, fikir ku.

Dah dekat sangat dah ni. Inilah masanya untuk aku mencium  hajarul aswad. Tiba-tiba kepala ku tertarik ke belakang semula. Aku cuba lagi menciumnya. Kali ini ada tangan lain yang memaut tubuh ku. Aku cuba lagi tetapi tetap tidak berjaya juga.

Dah berkali-kali mencuba tetapi aku tetap gagal menciumnya walaupun dah hampir benar dengan batu itu. Setiap kali mahu mencuba, kepala ku akan ditolak atau ditarik dari situ. Aku rasa tak dapat bertahan lagi. Lebih baik aku mengalah sahaja sebelum sesak dada ku semakin teruk. Jika aku tumbang di sini, tentu parah nanti.

Aku mengambil keputusan untuk berundur daripada persaingan itu. Kini baru aku sedar bukan mudah untuk mencium hajarul aswad. Tak terlarat aku bersaing dengan mereka rupanya walaupun aku rasa masih muda dan bertenaga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mohlah ikut aku!

Catatan Popular

Mohlah jengok!