Menghantar Mok Ke Rumah Abang Cik


Mok sedang mengutip pucuk peria katak depan rumah aku.
Mak aku ni memang penggemar pucuk-pucuk kayu.
Kalau nak ke rumah anak-anak mesti dia bawa sesuatu untuk anak-anaknya.
 Inilah agaknya yg. dikatakan ibu yg. penyayang

Hari ni hari Ahad. Tibalah masanya aku menghantar mok aku ke rumah abg. cik seperti yg. dirancangkan. Mok kata dia nok ke sana sebab ubat lututnya dah habis. Dia nok cari ubat lutut di tempat abg. cik di Felda Keratong 3. Weh! jauh juga tu nak mencarinya. Perjalanan dari rumah aku di Temerloh ni ke sana hampir 2 jam setengahlah. Begitulah, setiap kali ubat lutut dia habis, sokmolah mok minta aku hantar dia ke Keratong 3.

Kalau nak kira bukan susah sangat nak cari ubat tu. Tak perlulah sampai pergi mencari hingga ke Keratong 3. Rasa-rasa kat Temerloh ni pun ada. Kalau takde juga, telefon je abg. cik suruh dia pos laju, habis cerita.

Dulu pernah juga aku cakap kat mok aku macam tu tp. dia senyap je. Kali ni dia minta hantar lagi. Tak berani dah aku nak cakap lagi. Aku rasa saje je mok tu cakap nak cari ubat lutut. Tapi sebenarnya sambil-sambil tu dia nok berjalanlah. Rindu kat anak menantu dan cucu cicik dia di Keratong tu. Mungkin ada yg. istimewa menyebabkan dia selalu teringat nak berjalan ke sana.

Akupun tak sampai hati bila mok aku ajak berjalan. Seboleh-bolehnya aku ikut jelah. Pada asalnya mok ajak aku bawa dia ke Felda Sg. Pancing, nak berjumpa saudara mara pada hari Sabtu semalam. Kalau boleh dia ajak aku tidur semalaman di sana, lepas tu baru hantar dia ke Keratong 3. Tapi tak bolehlah pulak, hari Sabtu tu aku ada hal kat sekolah.

Aku pun cadanglah hantar mak hari Ahad ni jelah tapi tak dapatlah tidur di sana dan hantar sampai ke Keratong 3. Abg. cik ambilllah mak kat Kuantan pula. Maklumlah kalau dah sampai ke Sg. Pancing dan bertemu pula dgn saudara mara tentu memakan masa yg. lama. Lepas tu nak hantar pula mak aku ke Keratong 3 tentu malam entah pukul berapa baru aku sampai balik ke Temerloh. Esoknya aku terpaksa pula ke sekolah. Mana larat.

Aku pun telefon abg. cik utk. memberitahu hal tu. Sayangnya abg. cik tak dapat kerana dia terpaksa bekerja 'overtime'. Maklumlah kerja swasta. Abg. cik cadangkan aku hantar mak terus ke rumahnya. Bila ada masa nanti dia bawalah mak ke Sg. Pancing. Aku ikut jelah.

Kami bertolak ke Keratong 3 kira-kira pukul 8 pagi. Singgah kat Restoran Kasim, Temerloh dulu pekena nasi lemak dan roti canai. Kome sampai ke Keratong kira-kira pukul 11 pagi. Masa tu abg. cik tak ada di rumah. Kak Ani je yg. menyambut kami. Kak Ani pun masak utk makan tengah hari.

Lebih kurang pukul 1 petang, selepas makan tengah hari, kami bertolak balik. Sebelum tu kami singgah dulu di kedai abg. cik untuk bertemunya. berboraklah dgn dia lebih kurang 15 minit.

Kemudian kami baliklah tp. balik ikut Gambang pula. Memang lagi jauh tapi saja jalan ikut lain sambil-sambil ambil angin.


Semasa perjalanan ke Gambang, nampak pula org. Asli jual buah kelubi. Aku belilah. Isteri aku rupanya tak pernah rasa buah kelubi mentah ni. Dia ingat manis. Dia pun terus 'ngap'. Apa lagi menjeritlah dia. Masam amat weh. 


Burung Serindik pun ada kat gerai org. Asli ni.


Sampai kat Gambang terasa nak makan ikan goreng tepunglah pulak.
Kami pun pergi ke Tanjung Lumpur, Kuantan untuk merasa. 

Tengok anak aku bukan main berselera.
 Ini semua idea dialah untuk ke Tanjung Lumpur ni

Ha yg. ini aku masa berhenti sembahyang asar kat Highway Kuantan-Kuala Lumpur.
Lepas merasa ikan goreng tepung, kami terus cabut ke Temerloh.
Sampai di Temerloh dekat pukul 7 malam.
Penat weh tp. puas hati dapat tolong mak.

SMKA SHOAW, Matang, Kuching, Sarawak

Pandangan jalan masuk ke pejabat SMKA SHOAW,
semasa aku pertama sekali melangkah ke sekolah ni pada tahun 1989.

Setelah tamat tingkatan 5 di Sekolah Agama Menengah Hisamuddin, Sg. Bertih, Klang, aku mengikut abg. teh ke Kuching, Sarawak untuk naik ke tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SHOAW), Matang. Jauh bebeno aku bersekolah ye. Terpaksa naik belon utk. sampai ke sana.

Kalau baru-baru di Klang dulu, aku sukar nak mengikut gaya cakap canggih tetapi di sini aku terus tak faham apa yg. org. sini cakap. Bahasa Melayu Sarawak ni bunyinya lain sikit. Mula-mula tu entah berapa perkataan je yg. boleh aku faham. Nasib baiklah masih kat Malaysia lagi, dia orang cakaplah Bahasa Melayu biasa dgn. aku. Walau bagaimanapun sebulan dua selepas tu, aku dapat memahami dan mengikut sikit-sikit lohgat mereka. Tak ada masalah sangatlah utk. berkomunikasi dan bergaul dgn. mereka.

Aku tinggal di asrama sekolah tu. Asrama tu bangunan batu 2 tingkat. Bilik-biliknya macam sebuah bilik darjahlah yg. dimuatkan dgn. 15 ke 20 buah katil kalau tak silap aku. Ada juga asrama papan dan bertiang kayu. Aku duduk di tingkat bawah bangunan batu bersama-sama pelajar-pelajar tingkatan 6 yg. lain.

Mula-mula aku sampai ke asrama, biasalah macam-macam soalan drp. pelajar-pelajar sini. Mungkin mereka pelik kenapa aku dr. Semenanjung datang bersekolah kat sini. Aku jawablah apa-apa yg. patut. Rupa-rupanya ada seorang lagi pelajar tingkatan 6 di sini yg. berasal dr. Semenanjung. Namanya Rohaizi. Dia dah lama bersekolah kat sini kerana bapanya bekerja di Kuching. Adanya Rohaizi dapat mengembirakan sedikit perasaanku. Sekurang-kurangnya dia dapat menolongku membiasakan diri dgn. keadaan di sini.

Pandangan dr. satelit sekolah aku masa tingkatan 6.

Tak berapa lama selepas itu, aku dah boleh menyesuaikan diri dengan suasana di sini. Selain Rohaizi, aku mula rapat dengan beberapa orang kawan seperti Mohd. Nor Tuah. Di mana dia sekarang ye?


Inilah Masjid Kuching dekat dgn. stesen bas tu.

Dua minggu sekali, aku dibenarkan pulang ke rumah. Dari sekolah tu aku naik bas pergi ke stesen bas di Kuching. Tak silap aku Stesen Bas Petra Jaya. Maaflah kalau silap, aku dah lupa. Stesen  bas ni dekat dgn. Masjid Kuching, Muzium Sarawak, dan Sg. Sarawak. Kemudian aku naik bas lagi untuk ke rumah sewa abg teh di Lintang Park, Jalan Batu Lintang, Kuching.

Rasanya rumah abg. teh ni taklah  jauh sangat dr. bandar Kuching. Perumahan ni dekat dgn. Maktab Perguruan Batu Lintang, Bangunan Seberkas dan Planetarium.

Planetarium Kuching.
Suatu masa dahulu aku selalu berjogging sewaktu petang ke sini.

Pernahlah sekali tu, masa cuti sekolah, aku jalan kaki dr. rumah abg. teh ke stesen bas tu. Saja-saja aku berjalan, boring duduk kat rumah. Penatlah.., berjalan kaki lebih setengah jam. Masa nak balik, aku naik baslah. Kalau ke planetarium tu lagi dekat. Selalu juga bila balik rumah abg teh, petang-petang aku jogging sampai ke sana.

Rasa teruja sangat masa aku pertama kali dapat naik kapal terbang

Selama aku duduk kat sini, adalah 3-4 kali aku balik ke Semenanjung. Merasalah aku naik kapal terbang. Aku ni dr. kecil memang berangan-angan nak jadi pilot. Masa tu pantang ada bunyi jet, terus berlari keluar kelas takut terlepas tengok. Yelah, mana pernah tengok kapal terbang. Kalau sesekali dapat tengok helikopter landing kat padang sekolahpun seronok sangat dah. He, he, itulah antara sebab aku tidak menolak pelawaan abg. teh utk. belajar kat sini. Boleh naik kapal terbang. Kira aku datang sini untuk belajar sambil melanconglah.


Aku ingat lagi kat Kuching ni ada satu tempat membeli-belah yg. popular jugalah. Lebih kurang pekan sehari, tapi besarlah, jenuh berjalan. Namanya Pasar Satok. Aku makan mee kolok kat situ iaitu mee istimewa org. Sarawak.

Kat situ macam-macam aku jumpa yg. tak pernah aku lihat org. jual kat semenanjung. Antaranya yg. masih aku ingat ialah buah durian yg. isinya  oren kemerah-merahan, petai biji membujur dan juga ulat sagu. Ulat tu sebesar ibu jari, berwarna putih. Kata orang isinya sedap, rasanya lemak-lemah dan isinya macam telor putih digoreng, tapi tak beranilah  aku nak cuba walaupun ada orang cakap halal kerana ia ulat dr. batang sagu.
Pasar Satok

Di belakang pasar ni pula ada tempat org. jual haiwan liar seperti keluang (kelawar besar), babi hutan dan sebagainya. Aku lepak kat situ lamalah, ralik menengok org. jual keluang. Sesiapa nak beli, dia tangkap keluang yg. dikurung kat dalam sangkar tu hidup-hidup. Kemudian, ditakik lehernya dgn. parang hingga putus. Mata keluang tu terkelip-kelip lagi walaupun kepalanya dah putus. Selepas itu, keluang ni disiat kulitnya, dan disiang macam orang siang ayam lah.Merah je dagingnya. Org. islam tak boleh makan daging ni. Tak taulah sekarang ni, ada lagi ke tak tempat tu.

Aku rasa beginilah rupa keluang tu.

Masa kat sekolah ni pun, perangai aku lebih kurang sama je dgn. masa kat sekolah lain dulu. Bila dah lama sikit dan dapat ramai kawan, mulalah aku tak berapa ingat nak belajar. Kisah beginilah yg. rasa berat sikit aku nak cerita ni nanti org. kata aku seronok sangat bercerita kisah-kisah yg. tak elok. Bukan niat aku macam tu, aku cuma nak cerita ttg. kisah aku dulu-dulu jelah. Niat aku sebenarnya macam peribahasa nilah "Yang baik jadikan tauladan, yang tak baik tu jadikan sempadan".

Seingat aku, tak berapa lama lepas tu aku mula ponteng kelas. Aku malaslah nak sebut nama member aku yg. selalu ponteng dgn. aku tu, nanti jadi memburukkan nama org. pula.  Dalam sebulan tu, mungkin 2-3 hari jugalah aku ponteng kelas. Biasanya bila ponteng, kami lepak kat semak di luar asrama tu. Banyaklah pagar asrama bocor jadi tempat kami menyusup. Kat luar asrama ni banyak kebun org. Ada jugalah kami mengambil buah-buah kat kebun org. tu. Minta ampun jelah. Nak minta halal pada tuannya tak dapat nak cari dah. Selain tu ada juga kami ponteng dgn. pergi melepak kat bandar.

Satu yg. aku hairan tentang keadaan semak kat sini ialah banyak sangat tumbuh periuk kera. Kalau kat hutan Merapoh rasanya tak pernah pula aku terjumpa tumbuhan ni. Aku rasa periuk kera lebih sesuai tumbuh kat gunung, tempat sejuk sikit. Tapi kat sini, masuk je kat semak tepi asrama tu, dapat lihatlah periuk kera tumbuh merata-rata. Aku saje letak semut dalam periuk kera tu, nak tengok macam mana semut tu menghungkas naik. He, he, jadi ralik jugalah.
Periuk kera banyak tumbuh di semak sekitar asrama.
Ralik aku tengok semut memanjat dindingnya yg. licin untuk melapas diri.

Perangai aku ini tak dapat dihidu oleh abg. teh sehinggalah aku habis sekolah kat situ. Cuma adalah sesekali semasa balik apabila tiba di rumahnya, dia tanya aku merokok ke? Bau rokok kuat sangat. Aku berilah alasan yg. bau ni sebab member aku merokok dalam bas tadi. Aku duduk sebelah dia jadi bau tu melekat kat badan aku. Dia diam je tp. ha, ha, ha, aku rasa dia tak berapa percaya cakap aku.

Ada seorg. cikgu tu yg. nama Haminah tak silap aku. Dia ni cikgu Sejarah. Bersemangat sungguh cikgu ni bila mengajar. Aku selalu tak buat kerja rumah yg. dia bagi. Akhirnya dia tanya aku berapa yg. aku rasa boleh dapat STPM nanti. Aku cakap jelah, insyaallah 5A. Apa lagi dia bengang dan kondem aku. Katanya aku ni nak luluspun susah. Aku sengih jelah. Tapi cara cikgu ni aku tak marah langsung. Aku suka kat dia ni sebab dia mengajar bersungguh-sungguh. Minta-minta ramailah cikgu yg. macam ni kat Malaysia. Memang  patut pun dia kondem aku sbb. perangai aku teruk sangat. Aku rasa niat dia hanya utk. mencabar aku saja supaya aku lebih rajin belajar. Alhamdulillah, bila result keluar, subjek Sejarah aku dapat B. Aku nasihatkan budak-budak sekarang, janganlah marah atau cuba melawan cikgu. Nanti ilmu tak berkat, susah hidup nanti.

Muzium Sarawak

Masa aku sekolah kat sini, adalah beberapa tempat yg. aku lawati semasa ikut rombongan sekolah. Antaranya Muzium Sarawak. Bagi aku, ada perkara yg. menarik kat Muzium ni. Banyak kali juga aku datang ke sini. Selain ikut rombongan sekolah, aku pergi sendiripun ada. Apa yg. menarik di sini ialah banyak tengkorak manusia digantung kat para di muzium tu. Rasanya kat Semenanjung tak ada muzium macam ni.

Macam ni tengkorak-tengkorak tu digantung. Ini sikit. Aku tengok dulu lagi banyak.

Tengkorak-tengkorak tu diletak di dalam lingkaran rotan dan disangkut kat para khas. Ada juga rangka manusia disumbat ke dalam tempayan. Katanya tengkorak ni ialah tengkorak pahlawan-pahlawan perang yg. terbunuh dalam pertempuran. Mereka yg. terbunuh akan dipenggal kepalanya dan digantung di para rumah panjang atau di pokok-pokok di kampung mereka. Ini menjadi lambang keberanian dan kekuatan kaum mereka. Selain tu, ia juga untuk menakutkan musuh-musuh. Tak beranilah aku nak ulas panjang-panjang, takut tersalah fakta pula.
 
Hairannya aku takde rasa takut langsung apabila lalu kat bawah tengkorak tu. Aku dongak ke atas nampaklah lubang mata tengkorak tu, gigi dan sebagainya. Entah-entah dah ada debu atau habuk dr. tengkorak tu yg. aku dah tersedut atau tertelan. Masa kat  kg. dulu, akulah antara org. yg. penakut nak  tengok jenazah. Kat sini boleh pulak. Mungkin tengkorak ni dah lama dan dah  kering. Kemudian dijadikan bahan pameran pula, hilanglah rasa takut.


Selain tu, ada sekali aku pergi ikut rombongan ke Perkampungan Budaya, Santubong, Sarawak. Seronok jugalah kat sini. Kat sini ada model-model rumah kaum-kaum kat Sarawak. Rumahnya dibina besar-besar. Pepalih, tiang rumahnya pun sebesar tiang balak. Bapok besonya. Betul ke rumahnya besar macam tu atau model je dibuat besar. Wallahuaklam... akupun tak pernah sampai ke kampung mereka yg. sebenar.

Aku rasa sesiapa rasa nak melancong ke Sarawak, eloklah singgah ke Perkampungan Budaya ni. Boleh kata di sini dapat tengoklah belaka contoh-contoh rumah kaum-kaum di Sarawak. Selain itu, dapat pula kita tengok demontrasi menenun kain Sarawak, membuat rantai manik dan sebagainya.

Macam ni tempat permainan bergayut tu. Tapi aku rasa tinggi lagi. Ini rendah sangat. Entahlah. 

Kalau sesiapa yg. berani tu bolehlah mencuba bergayut kat tali dr. palang kayu yg. dibina khas. Tinggi palang kayu tu hampir 10m kalau tak silap. Aku dah lupa apa nama permainan tu Aku nak juga mencuba. Aku panjatlah palang tu tetapi bila sampai je kat atas, tak jadilah pulak. Apa taknya, sayup je tengok ke bawah. Kalau terlepas tali masa melompat, nahas aku. Tengok org. yg. buat demo tu, biasa je. Yelah itu dah kerja dia.  

Banyak lagi tempat yg. aku lawat kat Kuching  ni walaupun aku banyak berada kat asrama dan cuma lebih kurang setahun lebih sikit je berada di sana. Pernah juga aku mengikut kawan balik ke kampung mereka tp. takdelah sampai naik bot, dekat je. Pengalaman tu bagi aku biasa je, tak perlu tulislah. 

Satu lagi  peristiwa masa sekolah ni berlaku pada suatu petang, selepas aku main bola. Aku rasa haus sangat dan terus balik ke asrama. Aku nak cari air kalau-kalau ada saki baki dalam bekas air aku tp. rupanya dah kering. Kat hujung bilik tu aku nampak adalah  4-5 orang kawan aku sedang melepak sambil berborak. Aku tanyalah dia orang kalau-kalau ada air, aku nak sikit. Ada sorang tu cakap, "Ada!, ada!, ambil ni" sambil tunjuk satu plastik merah yg. tersangkut kat tepi katil. Apalagi aku pergilah ambil air tu, ingat air sirap ke?... Aku terus sedutlah strow yg. terkeluar kat plastik tu.

Bila dah 2-3 tegok aku telan, baru aku perasan rasa air ni semacam. Member semua ketawa sambil memerhatikan gelagat aku. Aku buka plastik tu, pepalih rupanya mereka bagi aku minum air Red Indian. Patutlah masam. Aku terus ke tandas dan muntahkan air tu. Yelah, walaupun aku ni nakal tp. aku belum pernah merasa air kencing syaitan tu. Tp. aku rasa aku tak berdosalah sebab bukan sengaja. Aku rasa Tuhan saja nak bagi aku rasa bagaimana rasa air kencing syaitan. Alhamdulillah lah, lepas pada tu aku takdelah teragak langsung nak mencuba minum arak ni.

Allah Maha Pengampun

Bukan niat aku sengaja nak menceritakan keburukan sesiapa. Cuma inilah pengalaman aku. Tak kiralah pelajar dr. Sarawak ke, Semenanjung ke, aku rasa memang ada pelajar jenis suka mencuba perkara-perkara yg. sebegini. Aku bernasib baiklah kerana paling kuatpun aku cuma cuba menghisap ganja, tak lebih drp. itu. Aku nasihatkan kepada budak-budak sekolah yg. nak mencuba atau dah tercuba minum minuman tu, bertaubatlah segera. Rosaklah hidup kita bila menagih menda tu nanti. 40 hari amal ibadat tak diterima tuhan sekali minum benda ni tau. Habislah kita kalau ditakdirkan kita mati dalam masa 40 hari tu. Itulah ada sesetengah org. terus tak sembahyang kerana dah ketagih minum menda ni.

Inilah satu-satunya gambar kenangan semasa aku menuntut
 di SMK (A) SHOAW, Matang Kuching, Sarawak.
Aku ke-3 dari kanan.

Lebih kurang 2-3 bulan sebelum aku menghadapi peperiksaan STPM, aku mula rasa bimbang. Aku takut aku gagal kerana selalu sangat culas kelas dan ponteng sekolah. Walau bagaimanapun, aku kurang minat utk. ke kelas, aku lebih rela belajar sendiri masa ponteng kat asrama atau semak kat tepi asrama tu. Aku belajarlah dgn. sorang member tu yg. perangai macam aku juga. Apabila malam, kita orang berjaga sampai pukul 2-3 pagi baca buku. Ada satu bilik kosong yg. kita orang buat utk belajar. Kira jaranglah bercampur dgn. pelajar-pelajar lain ni. Pelik perangai aku ni, jgn. tiru ye. 

Masa study kat bilik tu, kami bawa bekal rokok. Rokok tu murah je. Kotak 10 batang tu dalam seringgit je. Rasa rokok ni lebih kurang rasa rokok Gudang Garam tp. lupa dah namanya. He, he, jenuhlah aku merokok masa tu. Masa 3 bulan sebelum periksa tu kami rajinlah belajar tp. belajar cara kamilah. Ponteng tetap ponteng. Culas tetap culas.

Selain tu ada juga aku buat sembahyang hajat malam-malam. Aku berdoa dan telefon mak ayah aku supaya mendoakan kejayaan aku dalam peperiksaan itu nanti. Abg. teh pula membawa mak ayah aku yg. baru pulang dr. menunaikan haji ke rumahnya di Kuching. Bagus abg. teh ni, susah nak cari anak yg. begitu perihatin kepada ibu bapa  dan adik-beradik sepertinya. Aku sangat menghargai sifat dia ni. Semoga Allah menerima amalan baiknya dan mengampuni dosanya. Amin.

Gambar aku bersama arwah ayah, Nabil anak saudara aku, kawan baik ayah Pak Teh Hin dan aku kanan sekali. Masa ni aku tolong ayah aku menjayakan tanah di Bekong sementara menunggu result STPM

Akhirnya tibalah masa peperiksaan. Aku menjawablah kertas soalan dgn. seadanya. Nasiblah, kalau ada rezeki aku lepas, kalau tak aku tersungkur...... Selepas habis peperiksaan, aku balik ke Merapoh. Kat kampung, sementara menunggu result STPM, aku menolong ayah aku membuka tanah di Bekong. 

******************************************

SAM Hisamuddin, Sg. Bertih, Klang

Aku naik ke tingkatan 4 di Sekolah Agama Menengah Hisamuddin pada tahun 1987. Hari pertama di sini, aku berasa kekok, biasalah tempat baru. Inikan pula sekolah ni terletak di tengah bandar yg. suasananya sangat berbeza drp. SM (A) Padang Tengku yg. berada di sebuah Pekan Kecil di Ulu Pahang.

Inilah Sekolah Agama Menengah Hisamuddin. Masa aku tingkatan 5,
kelas aku tingkat atas sebelah kiri bilik yg. mula sekali kat lorong tu

Aku tinggal di asrama sekolah tu. Pada awalnya susah juga aku nak membiasakan diri dgn. tempat baru ni. Yelah, dulu aku cakap loghat Lepeh ( Lipis) tp. kat sini aku terpaksa bercakap gaya orang sinilah. Orang kg. aku cakap, cakap bandar ni cakap canggih. Ikut aku bila cakap best tu berbunyi beh. Jadi, pelik sikitlah bunyinya apabila mereka dengar aku bercakap. Selalulah aku kena tegur dan kena sindir. Pada masa tu, percakapan aku sungguh bertatatertib kerana takut terkeluar loghat Lepeh. Masa tu juga perangai aku baik sangat, maklumlah orang baru. Berdisiplin, masa sembahyang awal-awal dah pergi ke surau. Bila malam tidur ikut time.


Ini gambar aku di sebelah asrama lelaki.
Kiri: Aku, Zaifullizan

Aku rasa taklah lama sangat untuk aku menyesuaikan diri. Sesebulan lebih selepas tu, aku dah boleh bergaul dengan budak bandar ni tanpa banyak masalah. Akhirnya aku seronok bersekolah kat sini. Ramailah yang menjadi kawan baik aku. Keseronokan berkawan tu menyebabkan aku mula menjadi seperti perangai lama. Mulalah aku merokok, ponteng kelas dan sebagainya. Budak sinipun nakal-nakal juga. Cuma nakal mereka ni ada sikit perbezaan dengan nakal kawan-kawan aku kat Padang Tengku dulu. Yelah di sini budak bandar, di sana dulu boleh kata semuanya budak kampung.


Satu peristiwa yg. tak dapat aku lupakan di sekolah ni ialah apabila aku dan beberapa org. pelajar lagi diajak oleh seorang ustaz untuk berjalan ke bandar. Aku dah lupa nama ustaz tu siapa tetapi dia org. Jawa. Ustaz tu memang garang. Selepas sembahyang Maghrib, tiba-tiba je aku diberitahu yg. ustaz memangggilku. Aku takut juga kerana tentu ada sesuatu yg. tak kena hingga aku dipanggil oleh ustaz yg. menjadi guru disiplin tu. Akupun pergi berjumpa ustaz tu di bawah.

Di asrama SAM Hisamuddin, Sg. Berteh, Klang
Dari kanan: Zai, Deris, Speedy, aku, Taufiq

Rupa-rupanya ada beberapa orang kawanku juga dipanggil sama. Ustaz mengajak kami berjalan-jalan ke bandar. Tanpa menukar pakaian sembahyang, kami dibawa bersiar-siar hingga ke 'Centre Market', Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan tu, ustaz memberi nasihat kepada kami supaya mengubah sikap dan menumpukan perhatian kepada pelajaran. Dia juga meniupkan semangat supaya kami menjadi orang islam yg. dapat bersaing dengan bangsa lain lalu berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Setibanya kami di situ, ustaz mengajak kami minum di tingkat atas sekali bangunan tu yg. penuh dgn gerai-gerai minuman. Bayangkanlah masa tu kami masih lagi memakai kain, baju melayu dan berkopiah. Segan juga rasanya. Sampai kat gerai, kami pun memesanlah makanan masing-masing. Tengah berbual-bual,  sekali tu ustaz tu kata sesiapa nak merokok di sini boleh tetapi jangan merokok di asrama.

Tanpa rasa bersalah, seorang kawan aku tu dengan selambanya mengeluarkan rokok dan menghisap rokok di depan ustaz tu. Akhirnya kami semua merokok di depan ustaz tu. Tak taulah, mungkin ustaz tu tadi nak menguji kami saja agaknya tetapi kami ni yg. lurus terus hisap rokok tu tanpa rasa apa-apa. Sebenarnya aku rasa juga malu buat begitu tetapi apabila tengok kawan-kawan selamba je, akupun ikutlah.

Bila ingat balik peristiwa ni terasa kesian pula kat ustaz tu. Dia sendiripun tak merokok tetapi anak muridnya merokok di depannya tanpa rasa malu. Walaubagaimanpun peristiwa tu dah berlaku dan aku doakan semoga ustaz tu mendapat rahmat drp. Allah atas kesabaran dan kejujurannya memujuk kami menjadi insan yg. berguna.

Sepatutnya peristiwa aku di SMA. Padang Tengku dulu sudah boleh menjadi pengajaran kepadaku. Namun sebaliknya, aku seperti dahulu juga. Akhirnya aku gagal sekali lagi dalam peperiksaan SRA yg. diambil semasa tingkatan 4. Walaubagaimanapun, aku tetap boleh naik ke tingkatan 5 kerana di Selangor, sistem menunggu kelas tidak diwujudkan. Pelajar yg. ingin mengambil peperiksaan SRA sekali lagi boleh mengambil semasa di tingkatan 5 bersama SPM. Aku mengambil keputusan utk. tidak mengambil SRA lagi. Yelah, lagi pening kalau nak ambil dua-dua sekali.

Abg. teh marah apabila mengetahui keputusan peperiksaan aku tu. Yelah, sememangnya dia perlu bersikap begitu kerana dia tentu bimbang dgn. masa depan aku. Apatah lagi sekarang ini semua perbelanjaan persekolahan aku ditanggung olehnya. Dia sendiri yg. mengambil keputusan itu untuk meringankan beban ibu bapaku yg. semakin tua.

Padaku, abg teh seorang yg. tegas tetapi penuh dengan kasih sayang. Dia mengambil berat tentangku seperti anaknya pula. Dia selalu membebel dan menyuruhku belajar bersungguh-sungguh. Ada masanya pula, dia memujukku dgn. baik dan aku dapat merasai kejujurannya itu. Walaupun aku rasa tertekan dgn. tindakannya itu tetapi aku tidak pernah berasa marah kpd.nya.

Bagaimanapun, perangai lamaku masih tidak banyak berubah. Malah aku dah mula cuba menghisap ganja. Namun, aku tidak meneruskan aktiviti tu apabila ada sekali, aku termuntah hijau semasa menghisap menda tu. Member ajar suruh aku sedut dalam-dalam ganja tu kemudian tahan asap tu sekejap. Akupun buatlah. Dua tiga kali buat macam tu, aku mula rasa pening dan loya yg. amat sangat.

Aku terus ke tandas lalu termuntah hijau kat situ. Keesokan harinya, aku demam dan terpaksa berehat kat rumah abg. teh selama seminggu. Selepas itu, aku tak berani dah mencuba menda ni. Aku bertuah kerana tidak terus hanyut atau terlibat dgn. aktiviti yg. lebih teruk lagi. Mungkin ini berkat doa ibu bapa ku.

Sebenarnya dapat juga aku rasakan aku ni dah terjerat dgn keadaan masa tu. Aku cuba juga bersikap rajin belajar tetapi biasanya tidak bertahan. Masa belajar, aku tak dapat beri perhatian kerana masa guru di kelaspun kami masih lagi bergurau dan berbuat bising sehingga ada guru yg. membebel sahaja apabila masuk ke kelas atau terus keluar kerana merajuk. Bila aku nampak rajin sikit, mulalah kena sindir dgn. kawan-kawan. Jangan pula ada kawan-kawanku masa tu yg. terbaca tulisan ini terasa pula. Aku tak menyalahkan sesiapa tetapi macam tulah keadaannya pd. pandangan aku.

Jambatan Kota, Klang.
Tempat laluan kami ke Bandar Klang.
Jambatan ini menyimpan banyak kenangan semasa aku bersekolah di SAMH

Apabila peperiksaan SPM hampir tiba, aku mengambil keputusan tidak pergi study pada sebelah malam. Walaupun ini menyalahi peraturan tetapi ia terpaksa fikirku. Ini kerana jika aku terus ke sana, sudah tentu aku lebih banyak bermain drp. belajar. Aku belajarlah sorang-sorang di asrama bertemankan sebiji lampu neon.

Ringkas cerita, apabila keputusan SPM keluar, aku mendapat keputusan yg. agak membanggakan abg. teh juga. Walaupun taklah ok sangat tetapi taklah seteruk yg. abg. teh sangkakan.

Satu lagi peristiwa yg. agak pelik telah berlaku semasa perhimpunan terakhir aku di sekolah itu. Semasa perhimpunan itu, penyampaian sijil pengawas diadakan. Tanpa disangka-sangka, aku diumumkan untuk menerima Sijil Ketua Pengawas Kebersihan Asrama.

Walaupun aku tak pernah menjadi pengawas, aku ambil jelah. Mungkin cikgu nampak aku ni jenis budak yg. baik juga. Beberapa hari sebelum tu mmg. jawatan tu kosong kerana pengawas yg dilantik telah dilucutkan jawatan kerana masalah disiplin. Selepas itu, mulalah aku rasa tak berapa selesa apabila bertembung dgn ketua pengawas kebersihan asrama yg. lama.

Selepas tamat tingkatan 5 di sini, aku layak utk. naik ke tingakat 6. Kebetulan pada masa tu abg. teh akan bertukar ke UTM, Kuching, Sarawak. Dia mengajakku bersekolah di Sarawak. Aku ikut jelah...

Sekolah Menengah Agama, Padang Tengku

Lepas darjah 6 tahun 1982, aku naik tingkatan di SMA AlMaidah Addiniah Padang Tengku, Kuala Lipis Pahang. Aku masuk kelas peralihan kerana itulah syaratnya apabila masuk ke sekolah agama di Pahang pada masa tu. Sekarang ni tak taulah pula.

Sememangnya emak ayah aku akan menghantar semua anak-anaknya belajar ke sekolah agama. Sekolah ni dipilih kerana itulah sekolah agama yang paling hampir dgn. Kg. Merapoh iaitu lebih kurang 100km.  Mereka rasa sekolah agamalah yang terbaik kerana ilmu agama dan dunia semuanya dapat. Harapan mereka agar kami semua selamat di dunia dan akhirat. Begitu murninya harapan mak ayah aku hingga aku dapat merasainya sehingga sekarang.

Namun demikian,  jangan pula ada yang marah ye. Ini cuma pandangan aku terhadap mak ayah aku saja. Mak ayah orang lain mempunyai alasannya sendiri jika memilih sekolah  kebangsaan. Sudah semestinya mereka mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Asrama yang paling hampir dengan sekolah. Kesian mereka makan mengadap longkang. Di asrama inilah aku menginap semasa Tingkatan Peralihan.


Asrama tepi padang. Semasa aku tinkatan 2 dan 3, aku tinggal di sini. Kat anjung depan tulah bilik aku. Kesian, dah jadi macam ni.

Di situ aku duduk di sebuah asrama yang disediakan. Asrama tu berbangunan batu di tingkat bawahnya. Manakala di tingkat atasnya pula berdinding dan berlataikan papan. Bumbungnya pula drp. zin yg sudah berkarat. Bangunan ini berdekatan dgn sekolah iaitu lebih kurang 50m sahaja. Di belakangnya pula ada sebuah paya yg akhirnya dijadikan kolam ikan.

Berhampiran dgn. kolam itu pula terdapat dua buah perigi yg. menjadi tempat kami mandi dan membasuh pakaian.  Walaupun ada tandas, bilik air dan kemudahan air paip tetapi ramai yang suka mandi dan membasuh pakaian di tepi perigi kerana kawasan di situ lapang berbanding di bilik air yang disediakan. Setiap Sabtu, aku akan membawa sebaldi pakaian dan kasut sekolahku ke tepi perigi ini  untuk dibasuh menggunakan berus sabut atau plastik dengan sabun buku. Pada masa itu, sekolah ini tiada menyediakan perkhidmatan dobi. Sekarang ini tak tahulah pula.

Air perigi ini agak berbau sedikit airnya disebabkan perigi ini terletak di kawasan tanah paya. Namun aku suka mandi di situ kerana air di situ tak seperti air paip di bilik air yang mengalir perlahan sahaja. Apatah lagi di waktu pagi semasa ramai budak sedang mandi. Aku lebih puas mandi di perigi itu dengan air yang boleh diambil sebanyak mungkin. Masih terbayang bagaimana aku mencedok air di perigi itu menggunakan baldi yang diikat dengan tali.

Satu perkaralah yang aku tak boleh lupa masa mandi kat perigi ni iaitu aku selalu juga terjun ke dalam perigi ini yang dalamnya lebih daripada 10 kaki. Aku buat begitu selalunya  di waktu mandi pagi apabila aku terlewat bangun tidur. Oleh kerana takut terlewat ke sekolah, kerap juga aku terjun sahaja ke dalam perigi itu supaya aku dapat mandi dengan lebih cepat. Itupun jika tiada budak lain mandi bersamaku di situlah. Kalau ada budak lain, segan juga aku nak buat begitu.

Walaupun dinding perigi tu berlumut dan licin tetapi aku boleh naik ke atas semula dengan mudah. Caranya ialah aku mengangkang kaki aku untuk menekan dinding konkrit perigi itu sekuat mungkin. Kedua-dua tanganku juga aku depa lalu menekan kuat dinding perigi itu. Kemudian, aku bergeraklah sikit-sikit ke atas hingga sampai ke atas semula.

20 meter daripada kolam tu pula, terdapat sebuah lagi asrama. Asrama tu pula bersebelahan dgn. padang bola sepak awam Pekan Padang Tengku yg. bersebelahan pula dgn stesen kereta api. Setiap kali apabila aku berpeluang balik ke kampung, aku akan melalui asrama dan padang itu utk. ke stesen kereta api.

Gambarku dibilik anjung depan di asrama yang berdekatan dengan Padang Bola Sepak Padang Tengku. Masa tu aku tinggal dibilik itu. Aku bawah sebelah kanan sekali.

Selain aku, ada beberapa orang lagi kawan sekampung atau satu sekolah rendah yang memilih sekolah menengah agama itu. Antara yang aku ingat ialah yang aku panggil Atan Itam, Rosmaini, Norhayati dan Nasrul. Hari pertama aku di sekolah tu, perangaiku masih macam budak-budak sekolah rendah lagi.

Aku masih ingat lagi, aku bermain kejar-kejar naik turun tangga dengan  Atan Itam. Maklumlah bangunan kat sekolah rendah dulu langsung tak bertangga. Nak sangatlah weh bermain di tangga tu sebab baru-baru jumpa. Perangai kami yg. pelik tu menjadi perhatian pelajar senior lalu mereka menegur kami supaya tidak berbuat begitu lagi.

Bagaimanapun umur Atan Itam tidak panjang. Tak silap aku, Atan Itam meninggal tak lama selepas itu dalam satu kemalangan semasa dia balik bercuti di kampung.

Semasa di asrama, aku dibenarkan balik ke kampung hanya 2 minggu sekali. Apabila tiba masa balik ke kampung, biasanya aku makan tengah hari di asrama dahulu sebelum pergi ke stesen kereta api. Walaupun hari balik ke kampung ini hari Jumaat tetapi biasanya aku tak akan bersolat Jumaat lagi kerana bimbang tak sempat pula untuk naik kereta api ke Merapoh nanti.

Waktu kereta api tiba rasanya pukul 2.00 petang. Walau bagaimanapun biasanya kereta api ni tiba lewat hingga pukul 4.00 petang pun ada. Jerihlah aku menunggu kat stesen tu. Satu hal lagi, sepatutnya perjalanan ke kampung aku tu kira-kira 2 jam je. Jika bertolak pukul 2.00 petang, aku  akan sampai  ke Merapoh kira-kira pukul 4.00 lebih lahkan?  Tetapi biasanya tidak, aku pernah sampai ke Merapoh pukul 10 malam.

Selalunya apabila tiba di stesen Chegar Perah atau Sg. Temau, kereta api berhenti lama kerana berselisih dgn kereta api dr. Kelantan. Tercongoklah aku kat situ berjam-jam. Bosan betul lebih-lebih lagi kalau tak ada duit untuk membeli air tau makanan.   Ha, ha, itulah kereta api masa tu. Sekarang ni tak taulah dah ok ke belum.

Apabila nak pulang ke asrama pula, aku terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi. Ini kerana mengikut jadual, kereta api akan tiba di stesen keretapi Merapoh lebih kurang pukul 5 pagi. Kena bangun awallah weh sebab terpaksa bersiap dan berjalan kaki pula ke stesen yg. agak jauh juga dr. rumah kami.

Belakang, kiri: Aku, Jamil, Saharudin, Mazlan
Depan kiri: ?, Norhayati, Norhayati, Cikgu, Cikgu, ?, Jamilah.

Semasa di tingkatan peralihan, aku masih boleh mengikuti pelajaran yg. ku belajar. Boleh dikatakan rajinlah aku masa tu. Banyak surah-surah  Al-Quran dan hadis-hadis Nabi yg. aku hafaz. Begitu juga Bahasa Arab, banyak perkataan-perkataannya yang aku fahami. Aku hampir lompat kelas (melangkau kelas dr. peralihan terus ke tingkatan 2) kerana keputusan yang agak cemerlang. Mungkin kerana aku tidak dapat menjawab 2 kertas peperiksaan kerana demam teruk menyebabkan markahku tidak mencukupi untuk melayakkan aku melangkau kelas. Tak silap aku keputusan keseluruhan mesti 90% tetapi aku dapat dalam 85% je.

Bawah tu abg cu.

Apabila aku naik tingkatan satu, sikap aku mula berubah. Aku terlalu kuat bermain dan bercampur dgn kawan-kawan yg. nakal. Mana ada aku fikir tentang masa depanku. Aku suka ponteng kelas, merokok dan sebagainya. Akupun seganlah nak cerita banyak-banyak perangai yang tak elok ni. Pernah sekali aku ditampar oleh abg cu kerana dia mendapat tahu aku mula mengisap rokok. Tapi aku tak kisah langsung. Baguslah, dia dah menunaikan tanggungjawabnya sebagai abg. Perangai aku ini berlarutan hingga aku masuk tingkatan 3.

Perangai aku ini menyebabkan pelajaran aku semakin merosot terutama pelajaran yg. menggunakan Bahasa Arab. Aku malas menghafaz dan banyaklah mata pelajaran yang gagal dalam ujian seperti Bahasa Arab, Fekah, Tauhid dll. Akhirnya apabila peperiksaan SRU (Sijil Rendah Agama) tiba, aku tidak dapat menjawab lalu gagal. Manakala peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) pula, Alhamdulillah, aku lulus dengan agak membanggakan juga.

Berikutan dr. kegagalan dalam peperiksaan  SRU, aku mula tidak mahu bersekolah lagi. Ini kerana jika aku mahu bersekolah di situ, aku terpaksa mengulang (tidak naik tingkatan) utk mengambil SRU sekali lagi. Malulah aku... Ini ditambah lagi dgn. kes-kes disiplin sekolah yg. menyukarkan aku utk. terus belajar di situ.

Aku suarakan keresahan aku ni kpd. ayahandaku. Ayah berang kerana aku berhasrat utk. berhenti sekolah dan belajar Tabligh ke Pakistan macam saudaraku iaitu Muzapo (Muzaffar) yg. tinggal bersebelahan dgn. rumah kami. Ayah menyuruhku menghubungi abg. teh iaitu Sulaiman yang mengajar di UTM, Shah Alam. Akhirnya abg. teh membawa aku utk. bersekolah di SMA Hisyamuddin, Kelang. Aku dapat naik ke tingkatan 4 kerana sekolah agama kat Selangor mengadakan peperiksaan SRA (Sijil Rendah Agama) semasa  tingkatan empat.

Abg. Teh sekeluarga.

Aku terharu apabila mengingatkan abg teh ni. Dia dah meninggal pada tahun 2000 semasa usianya awal 40an. Banyak peristiwa yg. aku lalui bersamanya, isterinya Kak Kiah dan anaknya Aiman. Beliau banyak membantuku. Semoga rohnya sentiasa dicucuri Rahmat Ilahi.

Kepada adik-adik, jangan tiru perangai-perangai burukku. Jangan hampakan harapan ibu bapa, OK.

ayah dan emak

Buat semua ibu bapa, jangan lupa mendoakan kejayaan anak-anak di dunia dan akhirat. Aku ni nakal tetapi Alhamdulillah aku terhindar drp.terlibat dgn. perkara-perkara yang lebih buruk lagi. Aku yakin ini berkat drp. doa ibu dan bapaku.

Wallahuaklam.

Padi

Inilah gambaran masa tu.
Sungguh indah tp. sayang masa tu mana ada kamera. Tak bergambarlah kita

Aku nak tulis sikit cerita pasal padilah. Dah lama aku tak ke sawah menanam padi. Teringat lagi masa dulu-dulu di Ulu Kumbang, aku tolong mak ayah tanam padi. Ada satu dangau di tengah sawah tempat kami berehat, dan menunggu padi daripada diganggu musuh seperti burung pipit dan burung ciok. Masa tu aku kecil sangat lagi iaitu umur antara 4-12 tahun.

Ciak Padang

Pipit Uban
Burung-burung nilah banyak di Paya Ulu Kumbang
pd musim orang membuat padi.

Kuat sungguh angin kat dangau tu, sejuk... Terutama pada waktu petang dan malam. Berdindingkan kulit kayu, berlantaikan bilah buluh, beratap daun dan bertiangkan kayu, menjadikan dangau ni satu tempat yg sangat damai untuk berehat sewaktu petang dan malam. Bunyi burung, kridik, katak dan ungka masih terdengar-dengar apabila terkenangkan masa tu.

Pada zaman tu orang tanam `padi tahun' yg. ditanam setahun sekali mengikut musim, tak silap aku pada awal tahun dalam bulan 3. Mula-mula nak tanam padi ni kena cari tapak semai padi dulu. Bukan kat paya tapi kat tanah yang rata. Orang kampung bergotong-royonglah menebang menebas tempat yg. nak dibuat tapak semaian tu. Lepas tu kira-kira seminggu dua apabila pokok-pokok yang ditebas tu kering, bermulalah kerja memerun (bakar) kayu tu. Jadi, tanah tapak semaian tu akan jadi subur hasil sisa pembakaran kayu kat situ. Selain tu  kerja-kerja untuk memastikan tapak tu selamat drpd. musuh seperti babi juga dilakukan. Kena pagarlah kawasan tu.

Seterusnya, padi yg nak disemai mestilah direndam dulu dalam semalaman supaya lembut. Esoknya, benih tu akan ditabur kat tapak semaian. Padi yg. ditabur mesti digemburkan supaya benih padi tertanam di dalam tanah. Cangkul digunakan untuk tujuan tu. Mengembur tu lebih kurang macam merepih rumputlah. cangkul sikit-sikit. Kemudian, rasanya kena siram air. Selepas tu, orang-orang akan dipasang kat situ untuk menakutkan binatang liar dan burung.  Esoknya, bolehlah tengok anak-anak padi tu mula mencambah.

Sementara menunggu benih padi membesar, paya mesti disiapkan. Rumput-rumput dalam paya dicangkul, batas-batas diperbaiki dan tali air diperbetulkan di mana patut. Kirai digunakan untuk mengaut rumput yang ditebas tu. Pagar juga mesti diperbaiki. Masa tu mewah lauk ikanlah terutama ikan sembilang, toman, kepar dan puyu. Tangkap pakai tangguk, lukah dan tuwo. Best berkubang weh...


Ikan Kepar
Ikan Puyu
Toman Bunga




Ikan Sembilang

4-5 minggu selepas tu iaitu bila anak padi dah tinggi kira-kira paras lutut, tibalah masa ia diubah ke paya/sawah. Macam biasalah org. kg. akan bergotong-royong untuk mencabut anak padi tu. Anak padi yg dicabut tu akan disusun sama tinggi dan diikat kira-kira sebesar 3-4 cekak. Satu ikatan ni dipanggil satu unting. Hujung anak padi kat setiap unting tu akan dipotong sedikit. Daun-daun layu dan kering  juga dibuang. Akar anak padi tu juga perlu dipotong sedikit. Selepas itu, unting-unting padi itu akan dibawa dan direndam di dalam paya. Bukanlah rendam tu sampai tenggelam semua cuma setakat tenggelam pangkal padi tu selama semalaman supaya akarnya segar.

Keesokan hari, mulalah kami menanam padi. Unting-unting yg direndam dalam paya tu dibuka ikatannya. Kemudian, 2-3 batang anak padi tu ditarik keluar dan dicucuk ke dalam selut paya tu sebaris demi sebaris. Jarak antara setiap anak padi tu lebih kurang sejengkal.

Ingat lagi, awal-awal pagi lagi mak bangun menyiapkan sarapan. Biasanya makan nasi putih je dengan lauk gulai masam/tempoyak ikan atau sambal masak pedas (susah dah nak jumpa sambal gini). Wui, sedap! Kalau takpun buat pulut makan dengan ikan masim atau kelapa parut yg dibubuh gula dan garam.  Adakala kami makan ubi kayu rebus yang berganding dgn. ikan masin atau gula. Kadang-kadang ubi tu ditumbuk dan dibuat kuih.

Gulai Masam

Biasanya kira-kira pukul 10 pagi kami berehat sebentar utk. minum. Sambung balik kerja selepas itu hinggalah hampir waktu Zuhur. Selepas makan tengah hari dan sembahyang Zuhur, biasanya kami akan tidur sekejap. Sambung balik kerja dalam pukul 3 setengah hinggalah berhenti dekat-dekat pukul 7 malam. Begitulah cara bekerja yg. dah jadi rutin kami setiap hari apabila musim membuat padi.

Malamnya pula selepas solat Isya` dan makan malam, kami akan tidur awal. Berjaga selewat-lewatnya sampai pukul 11 malam je. Maklumlah penat setelah seharian bekerja. Tambahan pula masa tu mana ada elektrik, hanya pelita menjadi penyuluh. TV lagilah tak ada. 
 
Tanah paya tu adalah dalam 4-5 ekar. 2-3 minggu jugalah nak siapkan kerja penanaman padi ni. Apabila dah siap tanam padi, padi perlu dijaga daripada musuh. Banyak guni dan kain buruk yg. dijadikan orang-orang  digantung di sana-sini untuk menakutkan musuh. Tin-tin biskut disangkut kat batang-batang kayu yang dipacak kat sawah tu. Kemudian tali panjang diikat pada batang kayu tu dan ditarik terus ke dangau. Bila ada musuh je, tali tu akan ditarik-tarik menyebabkan tin tadi berbunyi.

Selain itu ada juga kami buat alat yg. menggunakan kuasa air utk. keluarkan bunyi . Kira hebat jugalah alat ni. Dengan menggunakan tali, periuk buruk atau boleh juga talam lama disangkut kat kayu yang dipacak kat aliran air di petak-petak sawah. Periuk tu akan ditolak oleh air lalu bergoyang dan berlaga dengan batu atau kayu yg diletak dibelakangnya. Berbunyilah periuk tu sentiasa tak kira siang atau malam. Ini mengurangkan sawah drp. diceroboh oleh musuh tanaman.

Kira-kira 2-3 bulan jugalah nak menanti 'padi tahun' ni masak. Dalam tempoh menunggu ni, ayah akan sentiasa mengawasi tanamannya ni supaya hidup subur dan mendapat hasilnya nanti. Paras air kat petak paya perlu disesuaikan mengikut keadaan. Ada kala air dilepaskan keluar hingga air  mencecah lumpur dan ada kalanya air dialir masuk semula ke petak paya utk. menakungkannnya. Ini cuma ayah dan mak sajalah yg. tau bila perlu dilakukannya.

Selain itu, rumput-rumput di dalam paya dan di batas hendaklah sentiasa dibuang. Mana-mana padi yg. berdaun lebat pula perlu dipotong sedikit daunnya supaya buahnya nanti tidak sambang.

Apabila padi mula menguning, burung kat sawah ni semakin banyak. Macam-macam jenis burung ada. Pada masa ni jenuhlah kami makan burung goreng. Rasa burung ni memang kurang sikit tetapi jika digoreng garing-garing, sedap juga. Burung-burung ni kebanyakkannya jenis burung yg. menyusup di celah-celah pokok padi. Cara yang ayah aku buat untuk metangkap burung ni ialah dengan cara mengiring. Ayah aku akan pasang pagar melengkung kat celah-celah padi tu. Kemudian ditengah-tengahnya diletak lukah.

Pagar tu hanya dibuat drp. ranting-ranting kayu yg. dicantas dr. pokok-pokok rendah yg. banyak tumbuh disekitar kawasan sawah. Ranting kayu yg. masih berdaun akan dicucuk rapat-rapat ke tanah lumpur paya hingga menjadi seperti pagar supaya sukar ditembusi. Apabila sudah siap buat semua tu, kami akan pergi ke sebelah kiri dan kanan lebih kurang 30m dr. pagar tu. Kemudian, kami berjalan perlahan-lahan ke arah pagar sambil membuat bising. Burung-burung yg. takut akan lari ke arah pagar tu. Tanpa disedari, perlahan-lahan burung-burung tu menuju ke arah lukah apabila sukar menembusi pagar yg. kami buat. Jarang sangatlah burung-burung ni terbang sebab mungkin rasa lebih selamat menyusup dicelah-celah padi tu. Akhirnya burung-burung ni akan terperangkap dalam lukah yg. di pasang. Apabila kami sampai kat lukah tu, burung pelbagai warna dapat dilihat terperangkap di dalamnya. Apa lagi kome tangkap dan sembelihlah... 
                                                                                                       

Masa padi dekat nak masak ni jugalah masa untuk membuat kekalu dan emping. Kekalu tu dibuat drp. padi dipangkal tangkai padi. Warna padi tu masih kehijau-hijauan tetapi dah berisi. Emping pula dibuat drp. padi dihujung tangkai padi. Warnanya kekuningan menandakan dah hampir masak. Biasanya drp. padi pulut kerana ia lebih sedap. 

Kekalu yg. dicampur dgn kelapa parut, gula dan garam.

Sebelum ditumbuk, mak aku goreng dulu padi ni. Mengitih padi tu bila mak aku goreng, "tup, tap, tup, tap".  Apabila kulit padi tu dah pecah dan nampak isi putih beras, ia akan diangkat dan ditumbuk menggunakan lesung tangan atau atau lesung hindik. Masa menumbuk tu kulit padi yg. tertanggal akan dibuang sehingga emping atau kekalu tu menjadi betul-betul bersih.

Emping atau kekalu yg. dah siap ni boleh dimakan dgn. pelbagai cara seperti dicampur dgn. kelapa parut, gula dan garam atau boleh juga dibuat bubur. Kekalu ni lebih lembut dan rasanya lebih sedap drp. emping.

Masa ni jugalah alat-alat untuk menuai padi seperti bakul, penuai padi, tikar mengkuang dan kulit kepong (kulit kayu kepong) mesti disediakan. Semua alat-alat ni dibuat sendiri. Itulah kemahiran org. dulu-dulu. Alat-alat ni akan digunakan semasa menuai padi nanti.

Setelah padi masak, mak ayah aku akan turun ke paya seawal mungkin untuk menuai padi. Aku kalau masa cuti sekolah bolehlah menolong mak ayah menuai padi tetapi lambatlah sikit. Masa tu aku kecil lagi dan biasanya mereka akan biarkan aku tidur sehingga aku terjaga sendiri. Mereka kejutpun utk. sembahyang subuh, lepas tu aku tidur balik.


Setelah terjaga dan bersarapan di dangau, aku akan turun ke paya untuk menolong emak ayah aku menuai. Ha, ha tapi sebenarnya aku lebih banyak menengok mereka dan bermain je. Masa menuai ni, penuai padi digunakan. Org. kampung aku panggil benda ni 'ketam padi'. Alat ni dibuat daripada kayu yg. diselit dengan mata pisau cukur. Alat tu akan dipegang dgn. sebelah tangan dan tangan sebelah lagi akan mencekak padi yg. dituai tu. Bila cekak dah penuh, ia akan dihantar ke dalam bakul mengkuang yg. memang diletak di atas batas paya tu.

Setelah bakul tu penuh, padi tu akan dicurahkan pula ke atas kulit kepong yg. dibentang di tempat lapang untuk dijemur di panas terik cahaya matahari. Kerja menuai ni dilakukan dr. pagi hingga ke senja. Sebelum pulang ke dangau, padi yg. sudah kering setelah dijemur itu akan dimasukkan ke dalam guni dan dibawa ke pondok padi (tempat mengumpul dan mengirai padi). Kemudian padi tu akan dicurah ke atas tikar mengkuang di pondok padi tersebut.

Kerja menuai ni berlarutan hingga berbulan juga. Setelah siap menuai padi, mulalah proses untuk mengirai padi (meleraikan padi dr. tangkainya). Di pondok padi tu memang ada satu tempat untuk melakukan kerja mengirai padi ni. Tempat tu berlantaikan bilah buluh yg. disusun rapat-rapat. Padi akan dilonggokkan di situ dan kami memijak-mijak longgokkan tu hingga padi tu lerai dr. tangkainya dan jatuh ke bawah rumah yg. sudah dibentangkan dgn. tikar mengkuang melalui celah-celah lantai bilahan buluh itu.

Inilah gadang (nyiru)

Apabila kerja mengirai padi selesai, padi tu akan dibawa ke rumah angin (tempat mengangin padi). Rumah angin ni dibina tinggi dan terbuka. Padi akan dibawa ke atas rumah tu utk. dianginkan. Kerja mengangin ni perlu menggunakan gadang yg, bentuknya macam talam tp. diperbuat drp. sulaman bilah-bilah buluh yg. diraut nipis. Padi akan diletakkan di dalam gadang tu kemudian diangkat di sisi kepala dgn kedudukan gadang tu menyenget sedikit. Kemudian, ia akan digoyang dan ditepuk perlahan-lahan supaya padi di gadang tu jatuh sedikit demi sedikit. Padi yg. jatuh tu akan terkena tiupan angin. Padi hampa akan diterbangkan jauh sedikit kerana ringan, manakala padi yg. elok pula akan jatuh di atas tikar yg. dibentangkan di sekitar pondok tu. Kena pastikanlah angin tu dari arah mana. Oleh itu, satu bendera angin dipasang kat pondok tu utk. melihat arah angin. 










 Inilah gantang. Tapi gantang ni lawa sangat. Gantang ayah aku tu biasa je









Kat bawah rumah angin pula mesti ada oranglah yang menjaga untuk menyapu hampa-hampa padi tu supaya tak bercampur dgn. padi elok. Biasanya penyapu tu diperbuat drp. pokok kenduduk. Masa tu aku kecil lagi, semua kerja tu aku cuba tp. setakat main-main jelah. Kemudian, padi yg. elok tu akan disukat menggunakan gantang. Setiap 10 gantang akan disimpulkan dgn 1 simpulan rotan.  Rotan tu rotan panjang yg. diraut nipis. Satu rotan panjang tu rasanya boleh dibuat berpuluh-puluh simpulan. Jadi ayah aku ingatlah berapa gantang padi yg. dia peroleh pada hari itu. Dari situlah zakat dikira. Kalau dapat 1000 gantang, 100 gantang akan dikeluarkan zakat. Kebiasaannya kerja mengangin ni boleh siap dalam 1 hari je.

Contoh mesin padi tp. rasa lain sikit drp.
mesin padi seperti yg.  aku tengok masa kecil-kecil dulu.

Selepas kerja mengangin, padi yg. sudah dikira bersih ni akan disimpan di dalam kepong di pondok padi sebagai bekalan beras kami selama setahun. Apabila perlu, padi tu akan dikeluarkan mengikut keperluan dan dijemur terlebih dahulu sebelum dibawa ke mesin padi.

Masa menjemur padi ni banyaklah ayam, itik, burung yg. teringin makan padi ni. Kebetulan pula masa tu mak ayah aku banyak pelihara ayam itik ni. Ambil masa juga untuk tunggu padi ni betul-betul kering dan sesuai untuk dimesin. Masa nilah kami adik beradik kena tolong mak ayah jaga padi ni drp. diusik haiwan terutama oleh ayam itik kami.

Tak silap aku ada satu je mesin padi kat kampung aku pada masa tu yg. dimiliki oleh  Aki Hj. Keria (Zakaria). Dia ni sedara jugalah dgn. kami. Menggunakan mesin ni, padi tu akan diproses menjadi beras.

Rumah mesin ni terletak di deretan bangunan kayu di slow 'Merapoh'. Ia berada di atas bukit sikit yg. paling hampir dgn. bangunan Masjid Lama Merapoh. Ia juga bangunan paling hampir dgn. bangunan sekolah TADIKA aku.

Masa mesin padi, akulah org. yg. paling ralik memerhati mesin padi tu membuat kerja memproses padi. Bunyinya bising dan ada satu cable panjang menghubungkan enjin dgn mesin pemproses padi tu. Bayarannya aku dah lupa berapa tetapi ia dikira berapa gantang yg. dimesin. 10 gantang seringgit agaknya.
Macam nilah tempat menempas padi tu.
Sayangnya cuma ada gambar kecil ihsan internet 

Masa aku darjah 5-6, cara menuai padi ni dah berubah. Mak ayah aku tidak menggunakan penuai padi lagi. Kami menyabit batang padi tu lalu diletakkan kat tepi. Sekali sabit lebih kurang secekak batang padilah. Kemudian, apabila dah banyak batang padi disabit, kami menempas padi tu kat tempat menempas padi yg. dibuat daripada kayu dan buluh. Dindingnya pula dibuat daripada kain atau guni yg. telah dikoyakkan. Cara menempas padi ni ialah dgn. memegang pangkal padi tu sebanyak yg. boleh lalu dihayun ke belakang kemudian dihempaskan tangkai-tangkai padi tu ke bilah-bilah buluh yg. disusun jarang di tempat menempas padi. Padi-padi akan gugur di takungan tempat menempas padi tu. Kerja cara ni lebih cepat dan mudah kerana padi tidak perlu melalui proses mengirai padi lagi. Kemudian, padi dalam takungan tu akan dibawa ke pondok padi untuk dianginkan. Proses seterusnya sama dgn. proses yg. aku terangkan sebelum ini.

Aku rasa setakat ini sajalah cerita aku tentang padi yg. menjadi tanaman penting kepada penduduk Merapoh semasa aku kecil-kecil dahulu. Kadang-kadang ada juga aku cerita pasal padi ni kat anak aku tp. aku tengok dia ni dengar tak dengar je. Mungkin dia tak berapa faham kerana dia tidak dapat melihat dan mengalaminya sendiri. Apa yg. dia tau nasi tu berasal drp. beras yg. banyak dijual kat kedai. Aku harap cerita aku ni nanti boleh menolong budak-budak faham bagaimana nasi itu berasal terutamanya masa zaman belum ada jentera mesin padi lagi.

Wallahuaklam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mohlah ikut aku!

Catatan Popular